Berita Harian: Dunia |
Pesta beli-belah bertukar ganas di AS Posted: 26 Nov 2011 02:46 PM PST Dunia PEMBELI berpusu-pusu masuk ke kompleks Macy di New York, kelmarin. NEW YORK: Detik bermula musim belah-belah sebelum perayaan Krismas yang digelar 'Black Friday' di Amerika Syarikat memalit tragedi hitam selepas orang ramai bersesak merebut membeli permainan video, pembuat waffle dan tuala hingga ada yang menggunakan taktik ganas. Satu daripada insiden paling luar biasa pada hari itu berlaku di Los Angeles apabila 20 orang cedera selepas seorang wanita di gedung Walmart menggunakan semburan lada untuk mendapatkan permainan Xbox. Walmart kelihatan mengalami hari paling buruk berbanding mana-mana peruncit ketika pelanggan menjerit, menolak dan menyiku antara satu sama lain semata-mata untuk berjimat. Insiden di seluruh negara termasuk seorang lelaki ditembak perompak di tempat letak kereta di luar San Leandro, kedai di California dan pelanggan disembur penyembur lada oleh pengawal keselamatan di sebuah kedai di Kinston, Carolina Utara.Perebutan untuk memiliki tuala direkodkan di sebuah kedai di Michigan hingga menjadi klip sensasi YouTube. Perebutan hingga membawa kepada pergaduhan kerana merebut tuala murah juga berlaku di sebuah gedung Walmart di Oregon, Ohio. "Mereka berebut untuk mendapatkan tuala mandi yang dijual pada harga AS$1.88 (RM6.01), sukar dipercayai," kata Sarjan Jason Druckenmiller. "Seorang wanita cuba berebut tuala apabila dia ditolak dari belakang menyebabkannya bertindak balas terhadap orang itu."
Rakaman video keganasan membeli belah memenuhi YouTube lewat kelmarin. Satu klip menunjukkan sekumpulan pelanggan merempuh dan mengoyakkan kotak telefon bimbit murah percuma untuk semua. Satu lagi menunjukkan pelanggan membanjiri kedai ketika pintu baru dibuka. "Inikah apa yang sudah manusia capai?" tanya seseorang yang mengulas secara online. Seorang lagi berkata 'keadaan seperti piranha sedang menyerbu makan dengan lahapnya." Contoh lagi saat klasik adalah klip video suasana huru hara di Arkansas untuk merebut pembuat waffle berharga AS$2 (RM6.39). Klip yang bergoyang selama 48 saat itu menunjukkan sekumpulan pelanggan lelaki mencangkung dan menjerit, wanita dan kanak-kanak memanjat antara satu sama lain, merebut dan membaling kotak dengan seorang wanita tidak perasan seluarnya terlondeh. "Oh Tuhan!" kedengaran seorang wanita menjerit dengan suara nyaring. Seorang penonton video menulis: "Inilah kemuncak tamadun Barat." Sebuah gedung Walmart di Cave Creek, Arizona, dikosongkan malam Khamis lalu selepas sebuah bungkusan mencurigakan ditemui dalam bilik rehat pekerja, kata jurucakap Maricopa County Jabatan Sherif, Christopher Hegstrom. Robot polis mengambil bungkusan itu manakala anjing pengesan bom menggeledah kedai sebelum ia dibuka. Satu lagi rakaman video yang banyak dilihat di YouTube menunjukkan seorang lelaki tua yang cedera dipukul polis di Walmart Arizona. Video menunjukkan lelaki itu tidak sedarkan diri dan berdarah pada muka ketika polis menggulingkannya dan mengelap darah. Ada yang membantah tindakan polis, menuduh mereka bertindak kejam dan menyuruh orang lain menelefon 911 untuk bantuan kecemasan. – Reuters |
Posted: 26 Nov 2011 02:46 PM PST Dunia PESHAWAR: Helikopter Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dari wilayah Afghanistan melancarkan serangan ke atas pos pemeriksaan di sempadan Pakistan semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 28 anggota tentera maut.Pasukan keselamatan Pakistan dan pegawai tentera di wilayah Mohmand, berdekatan sempadan Afghanistan, berkata pegawai berpangkat mejar adalah antara yang terkorban dalam serangan sebelum subuh itu. Jurucakap tentera berkata, helikopter ISAF/NATO melancarkan serangan ke atas pos pemeriksaan Pakistan di wilayah Mohmand awal semalam. "Tembakan menyebabkan tujuh anggota tentera dan seorang mejar terbunuh,"kata pegawai perisik tempatan. Seorang lagi pegawai mengesahkan angka kematian itu selepas serangan dilakukan terhadap pos di daerah Baizai itu.Washington menganggap wilayah berkenaan adalah kubu al-Qaeda, lokasi Taliban dan militan lain merancang serangan ke atas tentera Amerika Syarikat, termasuk anggota tentera antarabangsa diketuai Amerika yang berpangkalan di Afghanistan. Gabenor wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Masood Kausar, mengecam keras serangan itu dan menyifatkan ia tidak dapat diterima. Dalam satu kenyataan, dia berkata kejadian yang mengorbankan lapan tentera Pakistan itu adalah pencabulan ke atas kedaulatan negaranya.
Di Kabul, jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) NATO memberitahu: "Kami sedar mengenai kejadian itu. Kami masih dalam proses mengumpulkan maklumat." Hubungan di antara Pakistan dan Amerika semakin tegang tahun ini sejak komando sekutunya melancarkan serbuan yang membawa kepada kematian pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, Mei lalu. Keadaan semakin keruh selepas Washington menuduh perisik Pakistan terbabit dalam serangan ke atas Kedutaan Amerika di Kabul, September lalu. Pegawai Amerika menuduh puak di sempadan Pakistan memberi perlindungan kepada anggota Taliban yang sudah 10 tahun memerangi tentera asing itu di Afghanistan manakala rakannya, Taliban Pakistan pula kerap melancarkan pengeboman di wilayah Pakistan. Dalam satu rundingan di Islamabad bulan lalu, Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, menggesa Pakistan mengambil tindakan segera memusnahkan tempat perlindungan militan dan menggalakkan Taliban menyertai rundingan damai. – AFP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan