Berita Harian: Dunia |
Rakyat Mesir sahut gesaan terus protes Posted: 22 Nov 2011 01:45 PM PST Dunia PENUNJUK perasaan veteran memakai topeng bagi mengelak gas pemedih mata ketika menyertai protes di Dataran Tahrir, semalam. KAHERAH: Rakyat Mesir beramai-ramai menuju ke Dataran Tahrir semalam untuk perhimpunan besar-besaran menuntut menamatkan pemerintahan tentera, meningkatkan ketegangan selepas pertempuran selama beberapa hari dianggap mengancam pilihan raya perundangan minggu depan. Aktivis Perikatan Revolusi Belia dan gerakan 6 April menggesa protes bermula di Dataran Tahrir pada 4 petang waktu tempatan (12 tengah malam di Malaysia). Kerajaan awam yang dilantik tentera mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin tetapi televisyen memetik sumber Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) sebagai berkata, ia ditolak tentera.Keputusan kerajaan dan tindakan SCAF disusuli pertempuran antara penunjuk perasaan dan anggota keselamatan dekat bangunan Kementerian Dalam Negeri. Pencegah rusuhan melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang menggunakan batu dan bom petrol. Penunjuk perasaan lain membantu mereka yang cedera untuk mendapatkan rawatan di ambulans dekat situ.
"Kementerian Dalam Negeri pembunuh," laung penunjuk perasaan menjelang perhimpunan beramai-ramai itu. Pasukan perubatan berkata, dua terbunuh awal semalam, menjadikan angka yang terkorban akibat pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan sejak Sabtu lalu meningkat kepada 28. Dalam usaha menangani krisis itu, SCAF menjemput semua parti politik dan kebangsaan menyertai rundingan penting semalam, lapor media. Pertubuhan Ikhwanul Muslimin berkata, ia akan mengambil bahagian dalam rundingan itu tetapi tiada petunjuk sama ada pihak yang menggesa bantahan itu akan hadir. Amerika Syarikat berkata, ia amat bimbang dengan keganasan dan mendesak pilihan raya demokratik manakala Amnesty International menuduh rekod SCAF mencabul hak asasi manusia lebih buruk daripada era Mubarak. SCAF berkata, ia meminta Kementerian Kehakiman menubuhkan jawatankuasa menyiasat keganasan dan menggesa semua pihak dan rakyat berusaha mengembalikan keamanan, dan mewujudkan persekitaran stabil dengan matlamat mengadakan proses politik. – AFP |
Posted: 22 Nov 2011 01:44 PM PST Dunia Keluarga mangsa bunuh 2009 tuntut RM1.03jMANILA: Saudara mara 57 mangsa pembunuhan beramai-ramai di selatan Filipina pada 2009 menyaman bekas Presiden Gloria Macapagal Arroyo semalam berhubung pembunuhan itu yang didakwa mereka boleh dihalang. Sekurang-kurangnya dua sekutu Arroyo, termasuk bekas gabenor wilayah autonomi Islam itu, antara 100 suspek yang dibicarakan atas tuduhan bunuh dalam pertumpahan darah bermotifkan politik paling buruk di negara itu. Mangsa termasuk 32 pekerja media, menjadikan kejadian itu pembunuhan wartawan paling buruk di dunia.Arroyo ditahan minggu lalu atas dakwaan mengarahkan bekas gabenor, Andal Ampatuan Sr, dan seorang lagi pegawai melakukan penipuan dalam pilihan raya dua tahun sebelum pembunuhan itu berlaku. Arroyo mengutuk pembunuhan itu dan menafikan mengetahui mengenainya tetapi peguam plaintif, Harry Roque berkata, dia sepatutnya tahu Ampatuan dan anaknya memang berbahaya. Roque memfailkan saman semalam, menuntut ganti rugi 15 juta peso (RM1.03 juta) menuduh Arroyo sengaja tidak mempedulikan pencabulan hak asasi manusia selama sedekad di wilayah itu dan sebaliknya menjalin hubungan baik dengan Ampatuan yang terbukti penting untuk dia terus berkuasa dalam politik.
Keluarga Ampatuan adalah sekutu politik Arroyo tetapi selepas pembunuhan itu, mereka disingkirkan daripada partinya. Arroyo turut mengisytiharkan undang-undang tentera di wilayah Maguindanao, membolehkan tentera dan polis menangkap suspek dan cuba memulihkan keamanan. Roque berkata, walaupun tiada bukti Arroyo adalah dalang di sebalik pembunuhan beramai-ramai itu, bekas pemimpin itu bukan saja membiaya dan memberi senjata kepada keluarga Ampatuan tetapi turut melindungi mereka. – AP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan