Sabtu, 8 Oktober 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Abbas jelajah Amerika Latin

Posted: 08 Oct 2011 07:40 AM PDT

Dunia

SANTO DOMINGO: Presiden Palestin Mahmud Abbas memulakan jelajahnya di Amerika Latin dengan melawat Republik Dominica kelmarin untuk mula mencari sokongan dalam cubaan kerajaannya memenangi tempat sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Abbas bertemu dengan Presiden Leonel Fernandez selain turut memberi ucapan dalam Kongres Dominica berhubung cita-citanya untuk mendapat pengiktirafan sebuah negara, yang beliau bentangkan secara rasmi kepada Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon pada 23 September lalu.

Kami tidak ragu-ragu mengiktiraf hak sah Palestin untuk diiktiraf sebagai sebuah negara bebas, merdeka dan berdaulat, kata Fernandez, menggariskan bahawa negaranya juga mempunyai hubungan hebat dari segi diplomatik, komersial dan budaya dengan Israel. Abbas membalas: Anda tidak besar dari segi kekuatan ketenteraan namun anda besar dalam keyakinan, keamanan dan penyatuan dengan rakyat Palestin.

Presiden Palestin itu juga dijangka mengunjungi El Salvador dan Colombia di mana Presiden Juan Manuel Santos sudah memberi jaminan untuk mengambil pendirian berkecuali dalam mana-mana undian Majlis Keselamatan PBB.

Colombia, sekutu rapat Washington, bukan anggota tetap dalam Majlis Keselamatan 15 anggota, yang dijangka mengundi dalam cubaan itu untuk beberapa minggu akan datang.

Tindakan itu dibantah keras oleh kedua-dua Israel dan Amerika Syarikat, yang mengatakan sebuah negara Palestin hanya boleh wujud menerusi rundingan dua hala.
Sementara itu enam anggota Majlis Keselamatan, Brazil, China, India, Lubnan, Russia dan Afrika Selatan secara umum memberi bayangan sokongan mereka terhadap cubaan Palestin itu.

Pada masa sama, pakar Majlis Keselamatan mula menilai permohonan Palestin untuk keanggotaan PBB.

Diplomat berkata pakar jawatankuasa kemasukan dari semua 15 negara majlis bertemu secara tertutup kelmarin untuk membincangkan bagaimana meneruskan permohonan itu dan merancang bertemu semula minggu depan, kemungkinan Khamis.

Amerika berkata ia akan menggunakan kuasa veto untuk membantah resolusi majlis mencadangkan keanggotaan Palestin kepada Perhimpunan Agung, yang perlu memberi kelulusan akhir.

Ketika majlis mempertimbangkan cubaan Palestin menjadi negara anggota PBB ke-194, perunding Asia Barat sedang meneliti cara memulakan rundingan yang sekian lama tertangguh antara Israel-Palestin.

Wakil daripada apa yang digelar Kuartet Amerika, PBB, Kesatuan Eropah dan Russia dijadualkan bertemu hari ini di Brussels. AFP


Tidak cukup tidur bahayakan nyawa

Posted: 08 Oct 2011 07:38 AM PDT

Dunia

48 dan 15 peratus berisiko mati sakit jantung, angin ahmar

LONDON: Kajian terbaru menunjukkan tidur nyenyak dan mencukupi pada waktu malam penting untuk kecergasan fizikal dan mental tetapi kini masalah tidur tidak cukup semakin meningkat, dengan penyelidikan membuktikan seorang daripada setiap lima orang, berasa letih luar biasa dan seorang daripada 10 mengalami keletihan berpanjangan.

Pengarah Pusat Tidur Universiti Glasgow, Profesor Colin Espie, berkata tidur ialah cara semula jadi yang membekalkan rehat, pemulihan dan tenaga kepada manusia dan tiada sesuatu lain yang melakukan perkara sama.

Bagaimanapun, ramai daripada kita menganggap tidur cuma satu komoditi. Kita tidak menghormati pengambilan tidur nyenyak mencukupi, menganggap ia seperti pengacau. Mendapatkan tidur nyenyak pada waktu malam tidak pernah dianggap penting, katanya. Menurut kajian Universiti Warwick menunjukkan mereka yang tidur kurang enam jam sehari dan terganggu berisiko 48 peratus menghidap atau meninggal dunia akibat sakit jantung dan 15 peratus risiko menghidap atau mati akibat serangan angin ahmar.

Amalan tidur lewat dan awal pagi sebenarnya umpama bom jangka kepada kesihatan. Jadi, bertindak sekarang untuk mengurangkan risiko menghidap penyakit membahayakan nyawa seperti itu, kata penulis bersama kajian, Profesor Francesco Cappuccio.

Lelaki berusia lebih 65 tahun yang kurang tidur nyenyak yang cukup berisiko tinggi mendapat tekanan darah tinggi, menurut kajian terbaru Fakulti Perubatan Harvard. Kajian ke atas 784 pesakit, yang disiarkan dalam jurnal Hypertension, mendapati mereka yang kurang mendapat tidur nyenyak berisiko 83 peratus mendapat penyakit itu berbanding yang tidur nyenyak yang panjang.

Tekanan darah tinggi meningkatkan risiko serangan jantung, angin ahmar dan masalah kesihatan lain.
Kurang tidur menyebabkan tekanan pada tubuh, memaksa jantung berdegup lebih pantas, kata pakar. Namun tidur yang terlalu panjang, lebih sembilan jam, mungkin juga menjadi petanda kepada penyakit termasuk kardiovaskular.

Satu kajian ke atas 472 pesakit obes, yang disiarkan dalam International Journal of Obesity, membabitkan peserta memakan 500 kurang kalori setiap hari, disertai senaman kebanyakan hari. Mereka yang tidur terlalu pendek atau terlalu lama kurang kehilangan berat badan dalam tempoh enam bulan. Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan