Rabu, 14 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Pilih kasih di Karachi, bah di Bangkok

Posted: 14 Sep 2011 01:34 PM PDT

Dunia

Penduduk kasta lebih rendah di Pakistan tidak dapat bantuan

KARACHI: Penduduk minoriti di Pakistan yang terjejas berikutan banjir teruk di Sindh dilaporkan mengadu berlaku diskriminasi dan pilih kasih mengikut kasta dalam memberi bantuan kepada mangsa oleh pertubuhan yang dipertanggungjawabkan melakukan operasi menyelamat.

Pertubuhan yang mengendalikan bantuan termasuk pertubuhan agama, dilaporkan melakukan diskriminasi mengikut kasta, kata seorang ketua komuniti, Mohan Kolhi yang tinggal berhampiran bandar Khoski di daerah Badin.

Tuan tanah saya meminjamkan 50,000 rupee (RM1,798) dan saya menggunakannya untuk menanam 4.5 hektar pokok kapas. Semua tanaman saya musnah. Saya tidak tahu bagaimana untuk membayar semula. - Mohan Kolhi, Ketua komuniti

Sebuah pertubuhan agama dilaporkan membina kem bantuan di bandar Khoski tetapi tiada sebarang bantuan dihulurkan kepada mangsa daripada kasta lebih rendah.

"Apabila kami datang ke kem bantuan, ketua di situ memberitahu kami bahawa bantuan itu hanyalah untuk penduduk Islam," kata Kolhi y ang dipetik Espress Tribune.

Beliau mendakwa mereka tidak dibenarkan untuk minum di kawasan luar khemah itu.
"Sindh adalah tanah kami dan kami tinggal di sini sejak berkurun lama. Jadi mengapa wujud kasta? Kami juga manusia," katanya.
Kumpulan kasta di Sindh termasuk Kolhis, Menghwars, Bheels dan Oads adalah didominasi petani di daerah Badin.

Golongan petani Hindu ini biasanya membuat pinjaman dari tuan tanah dan mengerjakan tanah bersama keluarga selama setahun untuk membayar balik pinjaman menyebabkan menanggung risiko kerugian.

"Tuan tanah saya meminjamkan 50,000 rupee (RM1,798) dan saya menggunakannya untuk menanam 4.5 hektar pokok kapas. Semua tanaman saya musnah. Saya tidak tahu bagaimana untuk membayar semula," kata Kolhi.

Sementara itu di BANGKOK, Pusat Amaran Bencana Alam mengeluarkan amaran banjir baru di kawasan tengah termasuk Bangkok mulai 17 September hingga 20 September.

Tetapi Jabatan Pengairan tetap yakin bahawa ibu negara Thailand itu akan selamat walaupun beberapa wilayah dilaporkan dilanda banjir berikutan Sungai Chao Phraya melimpahi tebing.

Pusat itu memberi amaran bahawa air dari Sungai Chao Phraya akan terus melimpahi tebing dan menyebabkan banjir di Bangkok, Nakhon Sawan, Uthai Thani, Ayutthaya, Singburi, Chainat, Ang Thong, Pathumthani, Nonthaburi dan Samut Prakan.

Penduduk yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan dan di luar kawasan pencegahan banjir dinasihatkan membuat persediaan untuk memastikan mereka selamat.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Jabatan Pengairan, Chalit Damrongsak kemudian berkata, hingga kini Bangkok masih lagi bebas daripada banjir besar walaupun hujan lebat dilaporkan berterusan.

Chalit berkata aliran yang diukur di Sungai Chao Phraya adalah 3,300 meter padu sesaat. Ibu negara Thailand itu dilaporkan akan banjir jika paras air melebihi 3,500 meter padu sesaat. – Agensi


Erdogan dapat sambutan hangat di Kaherah

Posted: 14 Sep 2011 01:31 PM PDT

Dunia

KAHERAH: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menerima sambutan hangat di Kaherah di mana aktivis, wanita dan media menyerbu wira baru rantau ini berikutan pendiriannya yang pro-Palestin dan kritikan pedas terhadap Israel.

Erdogan, yang pada Selasa berlepas ke tiga negara Arab dalam lawatan musim bunga di Mesir, memberikan sokongan padu terhadap Palestin ketika ucaptamanya di Liga Arab, yang sekali gus menaikkan imejnya sebagai pemimpin rantau itu.

Lawatannya dibuat ketika aktivis yang menggulingkan presiden Hosni Mubarak pada Februari, berang dengan kepemimpinan mereka kerana melengah-lengahkan janji untuk perubahan. Bercakap mengenai menteri luar Arab, Edrogan berkata pengiktirafan Palestin adalah kewajipan dan mengulangi yang hubungan tegang dengan Israel tidak akan pulih melainkan negara Yahudi itu memohon maaf atas kematian sembilan warga Turki ketika serbuan terhadap kapal bantuan ke Gaza tahun lalu.

"Sebelum hujung tahun ini kita akan melihat Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam situasi berlainan," katanya.

"Sudah tiba masanya untuk bendera Palestin dikibarkan di PBB".

Kenyataannya mengulangi sentimen di jalanan Arab, yang mungkin melemahkan kepimpinan ketenteraan Mesir yang berusaha untuk memulihkan hubungan dengan Israel selepas kedutaannya di Kaherah diserang. – AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan