Utusan Online - Luar Negara |
Tentera Gaddafi cabul gencatan senjata Posted: Tentera Gaddafi cabul gencatan senjata
BENGHAZI 19 Mac - Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi hari ini melancarkan dua serangan udara ke atas bandar Benghazi, kawasan kubu kuat pemberontak. Tentera kerajaan turut melepaskan tembakan meriam secara berterusan sehingga kelihatan asap tebal di ruang udara di selatan bandar ini. Stesen al-Jazeera melaporkan, seramai 26 maut, sementara lebih 40 yang cedera kini dirawat di sebuah hospital di Jala, di sini. Beberapa letupan kuat turut didengari dari tengah bandar Benghazi, ketika pesawat tentera terbang rendah dan ruang udara bandar ini diselubungi asap hitam. Serangan balas tembakan mortar kedengaran dan trak-trak membawa mesingan dapat dilihat di jalan raya di Benghazi selepas bunyi tembakan dan letupan berterusan sepanjang malam tadi. Serangan udara pertama berlaku pada pukul 7.20 pagi (1.20 petang waktu Malaysia) diikuti serangan kedua kira-kira 20 minit kemudian, tetapi identiti pesawat yang melancarkan serangan itu tidak diketahui. Pada pukul 8.17 pagi waktu tempatan, siri letupan kecil dipercayai dari roket Katyusha mencetuskan sekurang-kurangnya tujuh lagi asap hitam kecil di selatan bandar ini. Pada pukul 8.40 pagi waktu tempatan, pesawat tentera terbang rendah di tengah bandar ini dan beberapa letupan besar. Serangan udara itu dilancarkan selepas kerajaan Libya mengumumkan gencatan senjata berikutan langkah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membenarkan penggunaan tentera untuk menghalang operasi oleh Gaddafi ke atas pemberontak dan penduduk awam. - AFP | ||
Bekalan komponen iPad 2 terjejas Posted: Bekalan komponen iPad 2 terjejas
NEW YORK 19 Mac - Pengeluar gajet terkenal, Apple mungkin berhadapan masalah kekurangan komponen untuk iPad 2 berikutan gempa bumi dan tsunami di Jepun, menurut sebuah firma kajian. "Kesan daripada gempa bumi itu mungkin menyebabkan gangguan logistik dan kurangnya pengeluaran iPad 2 yang menggunakan perkhidmatan beberapa pengilang komponen di Jepun, yang kini terjejas teruk akibat bencana tersebut," kata syarikat yang bertanggungjawab menjalankan kajian tentang iPad2, IHS iSuppli. Menurut firma kajian itu, komponen-komponen tersebut merangkumi bateri keluaran Apple Jepun, kompas elektronik dari AKM Semikonduktor, kad memori NAND dari Toshiba, DRAM dinamik dari Elpida Memory dan kaca skrin sesentuh dari Asahi Glass. Firma itu berkata, sebahagian daripada pembekal tidak terjejas dalam bencana tersebut, tetapi mungkin menghadapi masalah logistik dan juga masalah mendapatkan bahan mentah. "Cabaran yang pelbagai ini bertambah dengan gangguan tenaga elektrik yang boleh memberikan impak besar kepada proses yang rumit seperti pembuatan semikonduktor. "Isu-isu ini berlaku ketika Apple sedang giat meningkatkan pengeluaran iPad 2 bagi memenuhi permintaan yang lebih tinggi berbanding bekalan komponennya," tambah IHS iSuppli. Bagaimanapun, sebahagian daripada komponen tersebut boleh diperolehi dari tempat lain seperti kad memori NAND dari syarikat Samsung Korea Selatan dan Micron Technology di Amerika Syarikat (AS). IPad 2 mula berada di pasaran AS seminggu lalu dan akan dipasarkan di negara-negara lain pada 25 Mac ini. Apple minggu ini mengumumkan, pihaknya terpaksa menangguhkan pelancaran iPad 2 di Jepun berikutan bencana tersebut. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan