Selasa, 1 Mac 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Amerika mahu serang Libya

Posted:

Amerika mahu serang Libya

Amerika mahu serang Libya


KAPAL induk pengangkut pesawat USS Enterprise belayar melalui Terusan Suez di Mesir pada 15 Februari lalu. Kapal tersebut diarah belayar ke Laut Mediterranean dekat Libya, berkemungkinan sebagai persediaan AS menyerang negara sedang bergolak itu. - REUTERS


TRIPOLI 1 Mac - Tentera yang setia kepada Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berhimpun dekat sempadan Tunisia semalam manakala Amerika Syarikat (AS) menggerakkan kapal perang dan tentera udaranya menghampiri Libya.

Penduduk bimbang askar pro-Gaddafi sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan bagi menawan semula bandar Nalut, kira-kira 60 kilometer dari sempadan Tunisia di barat Libya, daripada penunjuk perasaan yang mahu menamatkan pemerintahan beliau.

AS dan kerajaan asing lain semalam membincangkan langkah ketenteraan yang boleh diambil terhadap Libya sementara Gaddafi memperkecilkan ancaman terhadap rejimnya daripada pemberontakan rakyat yang semakin meluas.

Dalam kecaman paling keras terhadap pemimpin Libya itu, Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice berkata, Gaddafi mengalami 'delusi dan sudah terpisah daripada realiti', 'menyembelih rakyatnya sendiri' dan tidak layak untuk memimpin.

Katanya, Washington sedang berunding dengan rakan-rakan dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta sekutu lain mengenai tindakan ketenteraan ke atas Libya.

AS yang menempatkan Armada Keenamnya di Itali berkata, tentera laut dan udaranya digerakkan lebih hampir dengan Libya sementara pelbagai pelan luar jangka sedang dirangka.

AS juga berkata, aset Gaddafi dan keluarganya bernilai kira-kira AS$30 bilion (RM93 bilion) di AS telah dibekukan.

Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, kerajaannya akan berusaha untuk menguatkuasakan zon 'larangan terbang' di Libya bagi melindungi rakyatnya daripada serangan udara tentera Gaddafi.

Gaddafi, 68, menolak desakan supaya beliau berundur dan memperkecilkan kekuatan pemberontak yang telah menamatkan pemerintahannya di timur Libya dan kini semakin menghampiri ibu negara, Tripoli.

"Semua rakyat saya mengasihi saya, mereka sanggup mati untuk melindungi saya," katanya kepada rangkaian televisyen AS, ABC dan Perbadanan Penyiaran British (BBC) dalam wawancara di sebuah restoran di Tripoli semalam.

Beliau menafikan tentera udaranya menyerang penunjuk perasaan, sebalik mendakwa pesawat pejuang Libya mengebom lokasi tentera dan depot senjata.

Ketika pemberontakan masuk ke minggu ketiga, situasi di kawasan konflik sukar dipastikan disebabkan masalah untuk bergerak di beberapa bahagian negara ini serta sistem komunikasi yang tidak lancar.

Seorang penduduk Nalut berkata, askar Gaddafi yang tiba dengan kenderaan dilengkapi mesingan berat sudah mengepung kawasan dekat sempadan Tunisia. - Reuters

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tentera pro-Gaddafi gagal rampas Zawiyah

Posted:

Tentera pro-Gaddafi gagal rampas Zawiyah

Tentera pro-Gaddafi gagal rampas Zawiyah

TRIPOLI 1 Mac - Saksi-saksi mendakwa tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi gagal merampas kembali bandar Zawiyah yang ditawan pemberontak berhampiran ibu negara, Tripoli.

Tentera pro-Gaddafi yang dilengkapi kereta kebal dan senjata antipesawat cuba merampas kembali Zawiyah malam tadi dalam pertempuran selama enam jam dengan menyerang kedudukan pemberontak dari enam arah.

Namun, pemberontak berjaya mematahkan serangan tentera dalam pertempuran di Zawiyah itu, kira-kira 50 kilometer di barat Tripoli.

"Kami tidak akan menyerahkan Zawiyah walau apa pun terjadi," kata seorang penduduk di situ.

Gaddafi yang memerintah Libya selama 41 tahun, telah hilang kawalan ke atas sebahagian timur negara ini sejak protes menuntut penyingkirannya bermula dua minggu lalu.

Sementara itu, kenaikan harga beras dan tepung di Libya telah memarakkan lagi kemarahan rakyat di ibu negara ketika protes menentang pemerintahan pemimpin itu berleluasa di seluruh negara.

Di kawasan kejiranan Fashloom di sini, penduduk berkata, harga sayur, minyak dan tepung meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus sejak 10 hari lalu.

Orang ramai juga dilihat beratur panjang di luar kedai-kedai roti yang mengehadkan jualan antara lima hingga 20 buku roti kepada setiap pelanggan bergantung kepada kawasan masing-masing. Seorang lelaki di Fashloom berkata, sebuah keluarga besar biasanya memerlukan purata 40 buku roti sehari.

"Bekalan makanan tidak cukup. Ramai pekerja kerajaan juga masih belum menerima gaji untuk bulan Februari," kata seorang pekerja bank, Basim, 25.

Orang ramai turut beratur di luar bank-bank yang mengedarkan sejumlah AS$400 (RM1,200) kepada setiap keluarga, yang diberikan rejim Gaddafi bagi mendapatkan sokongan. - AP/Reuters

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan