Isnin, 7 Mac 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kecoh susu Baby Gaga

Posted: 06 Mar 2011 11:27 AM PST

LONDON: Peguam Lady Gaga mengancam mengemukakan saman terhadap pengeluar ais krim diperbuat daripada susu badan, Baby Gaga, semalam.

Berdasarkan dokumen disediakan peguam penyanyi berasal dari New York, restoran The Icecreamists Limited yang beroperasi di London, Britain, diberi tempoh sehingga 12 tengah malam Khamis ini untuk pengeluar produk itu menukar jenamanya jika enggan disaman.


Menurut peguam Lady Gaga, restoran di Covent Garden itu juga dikehendaki 'berhenti mengaitkan' apa saja produk mereka dengan penyanyi terbabit.

Dalam dokumen berkenaan, The Icecreamists Limited didakwa mengambil kesempatan dan meniru identiti Lady Gaga (gambar) secara amat provokatif dan - bagi kebanyakan orang - menjijikkan.


Ais krim Baby Gaga mendapat sambutan hangat apabila ia mula dipasarkan pengeluar terbabit.


Fasa pertama produk itu - dihasilkan menggunakan susu diperah daripada 15 wanita yang menyahut tawaran The Icecreamists Limited dalam iklan - dilaporkan habis dijual dalam tempoh beberapa hari saja.

Susu itu dijual pada harga 14 (RM69) dan dihidangkan pelayan wanita menggunakan pakaian menjolok mata - sesuai dengan imej Lady Gaga.


Bagaimanapun, penjualan Baby Gaga digantung sementara selepas pihak berkuasa tempatan merampas ais krim berkenaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan keselamatan. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pertempuran makin sengit

Posted: 06 Mar 2011 11:25 AM PST

TRIPOLI: Tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi semalam melancarkan serangan balas untuk menawan semula bandar yang dikuasai tentera pemberontak.

Pada masa sama, bunyi tembakan senjata automatik kedengaran di sekitar Tripoli.


Semangat tentera Gaddafi dalam menghadapi kebangkitan meluas dan keupayaan mereka untuk melancarkan serangan balas meningkatkan kebimbangan Libya akan berdepan dengan perang saudara yang berpanjangan.

Ketika serangan dilancarkan dan pertempuran sengit berlaku, seorang jurucakap kerajaan mendakwa rejim itu mencapai beberapa kemenangan.


Tembak menembak meletus di Tripoli sejurus selepas subuh, diekori dengan bunyi siren ambulans, sorakan pro-Gaddafi dan hon kereta yang membingitkan.


"Ia adalah perayaan kerana tentera kerajaan berjaya menguasai seluruh kawasan menuju ke Benghazi dan dalam proses untuk mengambil alih semula daerah itu," kata Mussa Ibrahim, merujuk kepada bandar kedua terbesar negara itu yang dikuasai pemberontak.

"Semuanya selamat. Tripoli 100 peratus di bawah kawalan kami," katanya.


Bagaimanapun, dia menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar melihat perayaan itu.

Sementara itu, di Ras Lanuf, pemberontak mendakwa berjaya menembak jatuh sebuah helikopter tentera Gaddafi. Tiga anggota pemberontak berkata, mereka melihat helikopter itu jatuh ke laut.


Televisyen Libya pula melaporkan, tentera kerajaan berjaya menawan semula bandar penting tepi laut, Zawiyah dan Misrata yang terletak bersebelahan barat dan timur Tripoli. Bagaimanapun, seorang penduduk bertegas menyatakan, Misrata masih dikuasai pemberontak sementara seorang anggota kumpulan penentang berkata, mereka berjaya mematahkan serangan baru tentera Gaddafi di Zawiyah. - Reuters

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan