Khamis, 24 Mac 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Kumpulan mafia bantu mangsa gempa, tsunami

Posted: 24 Mar 2011 03:28 PM PDT

Dunia

TOKYO: Kumpulan mafia Jepun turut membantu ketika negara itu mengalami saat genting akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu apabila turut melakukan tugas sivik yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

Sehari selepas gempa bumi, Inagawa-kai (kumpulan penjenayah terancang ketiga terbesar di Jepun yang diasaskan pada 1948) menghantar 25 trak empat tan dipenuhi lampin pakai buang, mee segera ramen, bateri, lampu picit, minuman dan keperluan harian ke kawasan Tohoku.

Seorang anggota Sumiyoshi-kai, kumpulan penjenayah kedua terbesar pula menawarkan perlindungan kepada warga asing. Yamaguchi-gumi, kumpulan jenayah terbesar Jepun di bawah kepimpinan Tadashi Irie, juga membuka pejabatnya di seluruh negara kepada orang awam dan menghantar trak dipenuhi bekalan, namun secara senyap-senyap.

Antara tengah malam 12 Mac dan awal pagi 13 Mac lalu, ahli Inagawa-kai di sini menghantar 50 tan bekalan ke Dewan Bandaraya Hitachinaka di daerah Ibaraki.

Bekalan termasuk mee cawan ramen, tauge, lampin pakai buang, teh dan air minuman. Perjalanan dari bandar ini mengambil masa 12 jam. Anggota Inagawa-kai di Kanagawa pula menghantar 70 trak ke kawasan Ibaraki dan Fukushima untuk menghantar bekalan di kawasan paras tinggi radiasi.

Secara keseluruhan, Inagawa-kai menggerakkan lebih 100 tan bekalan ke rantau Tohoku. Mereka ke kawasan terdedah radiasi tanpa sebarang perlindungan atau memakan pil potassium iodida.
Anggota Yamaguchi-gumi yang mana penulis temui berkata: "Tolong jangan kata apa-apa lagi berkenaan apa yang kami lakukan."

Bagi mereka yang tidak begitu mengenali yakuza, ia mungkin mengejutkan untuk mendengar sifat dermawan mereka, namun ini bukan kali pertama mereka menunjukkan semangat kemanusiaan.

Pada 1995 selepas gempa bumi Kobe, Yamaguchi-gumi paling aktif menyalurkan bekalan ke kawasan terjejas.

Mereka mengakui bekalan itu dibayar dengan wang hasil memeras penduduk di kawasan itu namun tiada siapa mampu nafikan mereka pantas apabila penduduk memerlukan bantuan.

Mungkin membingungkan bahawa yakuza, yang juga kumpulan penjenayah terancang, mendapatkan hasil daripada aktiviti haram seperti mengumpul wang perlindungan, mengugut, memeras dan penipuan, memiliki sifat sivik semula jadi.

Bagaimanapun, di Jepun sejak selepas perang mereka sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan. – Agensi


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Syria terus tegang

Posted: 24 Mar 2011 03:27 PM PDT

Dunia

37 lagi maut ditembak anggota keselamatan

DERAA: Polis Syria melancarkan serangan tanpa henti ke atas sebuah kawasan yang melindungi penunjuk perasaan antikerajaan, menembak mati sekurang-kurangnya 37 orang dalam satu operasi sebelum fajar.

Anggota keselamatan melepaskan tembakan ke arah beratus-ratus belia di utara pintu masuk ke Deraa menjadikan 43 orang awam terbunuh sejak Jumaat lalu.

"Kami menerima semua mayat itu pada 5 petang semalam. Semuanya ada kesan ditembak," kata seorang pegawai hospital. Kelmarin, enam terkorban dalam serangan di masjid al-Omari selepas penunjuk perasaan berarak di jalanan menggesa pembaharuan dan kebebasan berpolitik, kata saksi.
Seorang aktivis yang berhubung dengan penduduk di sini berkata, polis menembak tiga lagi yang membantah di pusat bandar era Roman itu selepas matahari terbenam. Enam lagi mayat ditemui kemudian, kata aktivis.

Protes dipercayai daripada gelombang bantahan prodemokrasi di seluruh rantau Arab ketika ini. Anggota keselamatan bertindak melepaskan meriam air, gas pemedih mata, peluru getah dan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan.

Ketika mangsa yang maut meningkat, penduduk dari perkampungan berhampiran iaitu Inkhil, Jasim, Khirbet Gazaleh dan al-Harrah cuba berarak ke sini malam kelmarin, namun ditembak anggota keselamatan.
Aktivis demokrasi menggunakan laman web sosial menggesa demonstrasi besar-besaran di seluruh negara hari ini, hari yang mereka gelar 'Jumaat Bermaruah.'

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Mark Toner, berkata Washington terkejut dengan keganasan dan 'amat bimbang penggunaan kekerasan oleh kerajaan Syria, penindasan dan penahanan tanpa undang-undang bagi menghalang keupayaan rakyat melahirkan harapan mereka.'

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Syria berpusat di London melaporkan dalam laman webnya memetik sumber di sini bahawa pihak berkuasa Syria menembak dan membunuh anggota tentera Khaled al-Masri kerana enggan mematuhi arahan mengambil bahagian dalam serbuan di masjid al-Omari.

Televisyen tempatan menuduh sekumpulan 'samseng bersenjata' menyerang ambulans di bandar ini dan pasukan keselamatan membunuh empat penyerang dan mencederakan penduduk lain serta mengejar mereka yang melarikan diri.

Ia menafikan bahawa pasukan keselamatan menyerbu masjid, namun turut menunjukkan rakaman senjata, AK-47, bom tangan, peluru dan wang yang didakwanya dirampas dari dalam. – AP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan