Kosmo Online - Dunia |
- Gaddafi arah bedil penduduk di Libya
- Gempa bumi kuat di New Zealand
- Pernikahan Krisdayanti, Raul makin hampir
Gaddafi arah bedil penduduk di Libya Posted: Gaddafi arah bedil penduduk di LibyaGAMBAR yang disiarkan stesen televisyen Al-Arabiya semalammenunjukkan Muammar Gaddafi memegang payungdi kediamannya di Libya. TRIPOLI - Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi menggunakan kereta kebal, helikopter dan jet pejuang untuk memerangi tunjuk perasaan rakyat yang menentang pemerintahannya, kata beberapa saksi semalam. Tindakan tersebut dilakukan selepas pemimpin berkenaan yang memerintah Libya selama 40 tahun menafikan beliau meninggalkan negara itu dengan berlepas ke Venezuela. Imej beliau muncul di televisyen selepas terdapat spekulasi beliau telah melarikan diri ke Venezuela. Presiden Venezuela, Hugo Chavez mempunyai hubungan rapat dengan Gaddafi. Gaddafi turut berucap di televisyen bahawa beliau akan berjuang sehingga mati menentang para penunjuk perasaan. Sementara itu, kawasan timur Libya sudah jatuh ditangan para penunjuk perasaan yang menuntut beliau berundur kerana tidak puas hati dengan pemerintahannya. Menurut beberapa askar kepada agensi berita Reuters, bandar Tobruk di timur negara ini dikuasai oleh penunjuk perasaan. Para penduduk Tobruk juga menyatakan bandar berkenaan sudah berada dalam tangan para penunjuk perasaan sejak tiga hari lalu. Menurut beberapa pertubuhan hak asasi manusia, sekurang-kurangnya 233 orang terbunuh sejak penentangan rakyat terhadap Gaddafi tercetus seminggu lalu. Gaddafi sudah memerintah selama hampir 42 tahun dan beliau berkuasa menerusi rampasan kuasa aman semasa pemerintah Libya, Raja Idris mendapatkan rawatan perubatan di luar negara. - Agensi |
Gempa bumi kuat di New Zealand Posted: Gempa bumi kuat di New ZealandSEORANG wanita ditarik dari celah runtuhan di Christchurch, New Zealand semalam. CHRISTCHURCH - Kerja-kerja menyelamat dilakukan semalam selepas satu gempa bumi kuat melanda bandar raya ini yang merupakan antara bandar terbesar di New Zealand dengan menyebabkan bangunan-bangunan tinggi dan gereja runtuh, banyak kenderaan musnah dan sekurang-kurangnya 65 orang terbunuh. Gempa bumi tersebut berlaku semasa orang ramai sedang sibuk melakukan kegiatan harian di bandar yang dihuni 350,000 orang itu pada pukul 12.51 tengah hari kelmarin (8.19 pagi waktu Malaysia semalam). Ia merupakan antara bencana alam yang paling dahsyat pernah melanda New Zealand. Gempa bumi itu adalah yang kedua terkuat melanda bandar raya ini yang dihuni oleh 350,000 orang dalam tempoh lima bulan. Ia yang sekuat 6.3 pada skala Richter mencetuskan kemusnahan jauh lebih besar berbanding gempa bumi yang terkuat yang melanda sebelum subuh pada September tahun lalu. Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan gempa itu berpusat pada kedalaman 2.5 kilometer di bawah tanah pada jarak lima kilometer dari sini. Menurut kenyataan agensi itu, selepas gempa bumi tersebut, dua gegaran susulan, setiap satu berukuran 5.6 dan 5.5 pada skala Richter melanda bandar ini. Setakat malam semalam, lebih 100 orang termasuk 12 pelajar Jepun yang melawat bandar ini dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan ketika hujan turun. "Situasi di sini penuh dengan kemusnahan," kata Perdana Menteri New Zealand, John Key selepas beliau tiba di bandar ini beberapa jam setelah gempa bumi berlaku. Menurutnya, angka kematian setakat ini adalah 65 orang dan berkemungkinan besar akan terus meningkat. "Kita sedang menyaksikan hari paling gelap dalam sejarah New Zealand," ujarnya. Sebuah gereja batu yang menjadi mercu tanda bandar ini ranap manakala bangunan-bangunan tinggi runtuh dan jatuh bertindih dengan jalan-jalan raya dipenuhi dengan serpihan konkrit dan batu bata. "Bencana kali ini amat mengerikan. Orang ramai ditindih dengan runtuhan, runtuhan seberat beberapa tan," kata seorang penduduk tempatan Nathanael Boehm. Menurutnya, beberapa mangsa mati akibat dihempap konkrit. Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker mengisytiharkan darurat di bandar ini dan mengarahkan orang ramai meninggalkan pusat bandar. Lapangan terbang juga turut ditutup manakala Hospital Christchurch dikosongkan buat seketika sebelum dibuka semula. Bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon terputus dengan paip bawah tanah bocor dan menyebabkan banjir di beberapa batang jalan raya di sini. Sejumlah kereta yang diletakkan di tepi jalan kini tertimbus di bawah timbunan runtuhan. - Agensi |
Pernikahan Krisdayanti, Raul makin hampir Posted: Pernikahan Krisdayanti, Raul makin hampirKRISDAYANTI dan Raul Lemos. JAKARTA - Tarikh pernikahan penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti atau KD dengan ahli perniagaan Timor Leste, Raul Lemos dikatakan semakin hampir, lapor akhbar KOMPAS.com semalam. Difahamkan, banyak persiapan telah dilakukan termasuk gaun pengantin yang akan dipakai pada majlis pernikahan KD. Penyanyi yang popular menerusi lagi Menghitung Hari itu memilih Raul yang merupakan duda anak dua tersebut sebagai bakal suaminya. Sepasang baju pengantin yang disiapkan lebih awal telah dipakai oleh pasangan tersebut pada sesi penggambaran fotografi praperkahwinan mereka di kawasan Kota Tua, Jakarta Utara di sini. Pereka baju pengantin KD, Ivan Gunawan yang mendedahkan maklumat mengenai sesi fotograsi tersebut. Menurut Ivan, baju pengantin yang diciptanya telah dipakai oleh KD dan Raul semasa mereka merakamkan gambar praperkahwinan baru-baru ini. Ivan mengaku dia cukup gembira kerana mendapat sepenuh kepercayaan daripada selebriti jelita Indonesia itu untuk menjahit dua baju pengantin sempena hari bersejarah tersebut. "Sehelai baju itu adalah baju pengantin manakala sehelai lagi gaun koktel. Selain itu, dia (KD) meminta saya menghasilkan satu gaun berwarna putih dengan tema klasik untuk dipakai sewaktu rakaman gambar," ujar Ivan. Sementara itu, baju akad nikah dan resepsi persandingan pasangan itu disahkan mendapat sentuhan pereka fesyen kebaya popular, Anne Avantie. Pasangan itu dilaporkan akan melangsungkan perkahwinan sempena ulang tahun kelahiran ke-36 Krisdayanti pada 24 Mac ini. Majlis perkahwinan pasangan itu pula dijadualkan berlangsung di Hotel Mulia, Senayan di sini. KD sebelum ini berkahwin dengan Anang, 42, yang juga seorang penyanyi dan mereka memiliki dua cahaya mata. Pasangan itu bercerai secara rasmi selepas Hari Raya Aidilfitri pada 2009. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan