Berita Harian: Dunia |
Menteri, jeneral Libya letak jawatan Posted: 23 Feb 2011 01:53 PM PST Dunia MUAMMAR Gaddafi berucap menerusi televisyen, kelmarin. TRIPOLI: Pemimpin Libya Muammar Gaddafi semakin tertekan semalam berikutan peletakan jawatan beberapa pegawai kanan, termasuk Menteri Dalam Negeri, Abdel Fattah Younes al-Abidi yang dianggap nombor dua di Libya. Al-Abidi mengumumkan langkahnya untuk menyokong penunjuk perasaan ketika laporan menyatakan sehingga 1,000 orang terbunuh sejak bantahan tercetus 17 Februari lalu. Sementara itu, penunjuk perasaan dengan bantuan anggota tentera yang berpaling tadah mendakwa menguasai bahagian timur Libya. Malah mereka mendakwa selepas seminggu bantahan tercetus Gaddafi kini hanya menguasai wilayah tertentu termasuk sebahagian ibu negara Tripoli dan bandar selatan Sabha.Menurut perangkaan kerajaan hampir 300 orang terbunuh ketika pasukan keselamatan dengan ganas menyuraikan penunjuk perasaan. Namun menteri luar Itali Franco Frattini berkata di Rom laporan yang menyatakan kematian mungkin mencecah 1,000 orang boleh dipercayai berikutan serangan udara turut dilancarkan terhadap penunjuk perasaan. Bekas negara penjajah Libya itu bimbang jika rejim Gaddafi berjaya ditumbangkan, sehingga 300,000 rakyat Libya mungkin akan lari ke Itali. Selain Al-Abidi, ramai lagi jeneral kanan termasuk Jeneral Mahmud, pegawai pemerintah di Tripoli dan timur Libya berpaling tadah.
Sementara itu, beberapa negara Eropah dilaporkan sudah mula membawa keluar warga masing-masing dari Libya. Perancis, Turki dan Russia adalah antara negara yang sudah menghantar pesawat masing-masing bagi membawa keluar rakyat mereka yang terperangkap. Britain pula menghantar kapal perangnya, HMS Cumberland ke pesisir pantai Libya bagi membantu operasi membawa keluar rakyatnya. Amerika Syarikat, China dan India juga dilaporkan sedang membuat persiapan membawa pulang rakyat masing-masing keluar dari negara bergolak itu. – AP/Agensi |
Ketukan, tangisan beri petunjuk Posted: 23 Feb 2011 01:52 PM PST Dunia Ramai lagi dipercayai masih terperangkap dalam runtuhanCHRISTCHURCH: Pasukan mencari dan menyelamat New Zealand terus menyelongkar sisa runtuhan bagi mencari mangsa yang terselamat berpandukan bunyi tangisan dan ketukan, ketika angka korban gempa di negara itu meningkat kepada 75 orang, manakala ramai lagi dipercayai masih terperangkap. Pasukan penyelamat juga terpaksa memotong anggota tubuh sebahagian daripada 120 mangsa yang diselamatkan dalam bencana alam yang melanda bandar raya kedua terbesar di negara itu. Angka kematian dijangka meningkat. "Kami menerima pesanan ringkas dan bunyi ketukan daripada mangsa yang masih hidup dan inilah tumpuan kami sekarang," kata pegawai kanan polis Russel Gibson kepada stesen radio New Zealand. Beliau menjangka angka kematian akan terus bertambah, ketika usaha ditumpukan kepada mencari mangsa yang masih hidup dan mengenal pasti mayat."Banyak mayat bergelimpangan di jalan raya. Mereka terperangkap di dalam kereta atau tertimbus di celah runtuhan bangunan. Kami terpaksa memberi tumpuan kepada mangsa yang masih hidup," katanya. Sementara itu harapan untuk menemui sekumpulan 15 mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan sebuah bangunan, musnah semalam, ketika sekumpulan penyelamat meninggalkan lokasi manakala anggota bomba memberitahu media bahawa laporan awal adalah salah. Bangunan itu menempatkan agensi penyiaran CTV dan sebuah sekolah bahasa Inggeris dengan berpuluh pelajar Jepun dipercayai terperangkap ketika gempa bumi berlaku.
"Mereka memberitahu kami tiada harapan mangsa hidup ditemui di situ," kata seorang wanita yang menangis ketika pasukan mencari meninggalkan lokasi tempat adik iparnya terperangkap. Berpuluh-puluh anggota keluarga dan sanak saudara yang menunggu dengan penuh harapan terkejut selepas diberitahu mengenai berita itu. Datuk Bandar, Bob Parker berkata, kira-kira 300 orang lagi masih hilang sehari selepas gempa bumi melanda tetapi tidak jelas bagaimana anggaran ini dibuat selepas hubungan antara keluarga, rakan dan pihak berkuasa terputus. – Reuters |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan