Khamis, 6 Januari 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


AS tidak bimbang jet pejuang China

Posted: 06 Jan 2011 02:30 PM PST

Dunia

GAMBAR jet pejuang prototaip J-20 China sebelum menjalani ujian.

GAMBAR jet pejuang prototaip J-20 China sebelum menjalani ujian.

Beijing perlu banyak masa untuk pastikan senjata baru itu beroperasi sepenuhnya

WASHINGTON: Seorang pegawai kanan tentera laut Amerika Syarikat meremehkan kebimbangan berhubung laporan menyatakan China mencapai kemajuan dalam membangunkan jet pejuang siluman tetapi mengakui pihaknya terperanjat dengan kepantasan Beijing membangunkan jet canggih hampir tidak dapat dikesan radar itu.

Beberapa gambar jet prototaip J-20 China disiarkan oleh pihak yang tidak didedahkan identitinya di beberapa laman web sejak minggu lalu, menjelang lawatan menteri pertahanan AS, Robert Gates ke Beijing semalam.

Gambar itu menunjukkan prototaip J-20 sudah disiapkan dan sedang diuji di sebuah pangkalan udara di barat daya China. Bagaimanapun Laksamana Madya David Dorsett, pengarah risikan tentera laut AS, berkata China mungkin perlu beberapa tahun lagi untuk memastikan pesawat siluman itu dapat beroperasi sepenuhnya.

"Usaha membangunkan keupayaan siluman dan kemudian menyepadukan keupayaan itu dengan persekitaran tempur akan mengambil masa yang lama," kata beliau.

Dorsett berkata beliau tidak terperanjat China berusaha membangunkan jet pejuang siluman untuk menyaingi jet generasi kelima F-22 Raptor Amerika.

Pesawat siluman memiliki keupayaan untuk menghindari pengesanan secara visual, audio, sensor panas, ataupun gelombang radio (radar).
Penganalisis tentera memberi amaran China juga sedang membangunkan versi baru misil balistik Dongfeng 21 (DF-21D) yang boleh menembus pertahanan mana-mana kapal tentera laut AS dan mempunyai jarak sasaran menjangkaui perairan China.

"Sebelum ini kita memandang ringan keupayaan China membangunkan senjata teknologi tinggi seperti itu," Dorsett memberitahu wartawan.

Namun beliau berkata China belum lagi mempunyai kecekapan dalam beroperasi dalam persekitaran tempur yang sofistikated dan masih lagi menjadi tanda tanya ke upayaannya melancarkan senjata teknologi tinggi yang dimilikinya itu.

"Saya akui mereka akan memiliki sistem senjata itu tetapi apakah mereka mempunyai kemahiran dalam menggunakannya," kata Dorsett.

Ketua risikan tentera laut AS itu berkata beliau lebih bimbang mengenai kegiatan China dalam perang siber dan usahanya meningkatkan keupayaan di angkasa lepas. – AFP


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Israel mahu ranap ekonomi Gaza

Posted: 06 Jan 2011 02:29 PM PST

Dunia

Keadaan sekatan dimaklumkan kepada AS

BAITULMAQDIS: Israel memaklumkan kepada pegawai Amerika Syarikat (AS) pada 2008 bahawa ia akan membuat ekonomi Gaza di ambang ranap tetapi tidak sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan, kata sebuah kabel diplomatik AS yang didedahkan sebuah akhbar Norway kelmarin.

Tiga kabel yang disiarkan akhbar Aftenposten yang dibocorkan laman web WikiLeaks, menunjukkan Israel sentiasa memaklumkan kedutaan AS di Tel Aviv berhubung sekatan yang dikenakan terhadap Gaza.

Wilayah yang didiami 1.3 juta rakyat Palestin itu ditadbir oleh Hamas, kumpulan yang dimusuhi negara Barat berikutan keengganannya mengiktiraf kewujudan Israel, menolak keganasan dan menerima perjanjian damai sementara Israel-Palestin. "Sebagai sebahagian daripada rancangan sekatan terhadap Gaza, pegawai Israel mengesahkan beberapa kali kepada pegawai kedutaan AS bahawa mereka bercadang membuat ekonomi wilayah itu hampir ranap tetapi tidak sehingga ia tidak berfungsi langsung," kata satu kabel itu.

Israel mahu ekonomi wilayah Palestin itu berfungsi pada paras paling rendah tetapi tidak sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan," kata kabel bertarikh 3 November 2008 itu.

Dasar itu dilonggarkan Mei lalu berikutan kecaman antarabangsa selepas tentera Israel menyerang kapal bantuan Turki yang cuba memasuki perairan Gaza.

Bagaimanapun, Israel terus mengenakan sekatan terhadap kemasukan barangan untuk kegunaan ketenteraan dan awam.
Palestin pula berkata Gaza kekal sebagai sebuah 'penjara' yang disekat oleh Israel.

Aftenposten berkata, ia memiliki 250,000 dokumen diplomatik yang dibocorkan kepada Wikileaks.

WikiLeaks setakat ini sudah mendedahkan kira-kira 2,000 daripada 250,000 kabel yang diperolehnya dengan kerjasama akhbar El Pais, The Guardian, The New York Times, Le Monde dan Der Spiegel. – Agensi


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan