Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Moscow alami hujan batu
MOSCOW 27 Dis. – Bandar raya Moscow dilanda hujan batu mengakibatkan beribu-ribu penumpang penerbangan terkandas dan setengah juta penduduknya terjejas berikutan gangguan bekalan elektrik. Lapangan terbang terbesar Moscow, Domodedovo di selatan bandar raya ini beransur pulih setelah ditutup selama 12 jam semalam, setelah mengalami gangguan bekalan elektrik, sementara sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa utamanya, Sheremetyevo mengalami kelewatan jadual penerbangan yang teruk. Perdana Menteri, Vladimir Putin mengarahkan Menteri Situasi Kecemasan, Sergei Shoigu membuat 'segalanya yang anda boleh dan mengarahkan setiap unit agar bersiap-sedia untuk meredakan keadaan di lapangan terbang dan pengangkutan'. Akhbar-akhbar melaporkan keadaan huru-hara yang berlaku di negara-negara Eropah pada awal bulan ini akibat salji tebal, tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa Rusia menangani krisis itu. "Ibu negara dan kawasan persekitarannya ternyata tidak bersedia menghadapi cuaca ini," kata akhbar Moskovsky Komsomolets. Seramai 27 orang mengalami kecederaan di sini setelah dihempap pokok yang tumbang akibat dahannya sarat dengan ais. Putin berkata, seramai 412,000 penduduk terpaksa bergelap kerana gangguan bekalan elektrik di Moscow dan beberapa kawasan lain di tengah Rusia meskipun jumlah itu berkurangan kepada 121,000 orang lewat malam semalam. – AFP | ||
Israel tetap tidak akan mohon maaf Posted: Israel tetap tidak akan mohon maafBAITULMAQDIS 27 Dis. – Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman berkata, negaranya tidak akan memohon maaf kepada Turki berhubung insiden serangan komando rejim Zionis itu ke atas sebuah kapal Turki yang menyertai flotila bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza pada Mei lalu, yang menyebabkan sembilan aktivis warga Turki terbunuh. Ketika bercakap pada mesyuarat dengan duta-duta Israel di sini semalam, Lieberman berkata, permintaan Ankara supaya Israel memohon maaf bagi memulihkan hubungan kedua-dua negara tersebut, dianggap sebagai satu tindakan biadap. "Pihak yang sepatutnya memohon maaf adalah kerajaan Turki kerana menyokong pengganas. "Tidak akan ada sebarang permohonan maaf daripada kerajaan Israel," katanya. Hubungan diplomatik antara Turki dan Israel menjadi tegang selepas insiden 31 Mei apabila komando rejim Zionis Israel menyerang kapal bantuan tersebut yang disertai aktivis keamanan Turki untuk memasuki Genting Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan. Operasi ketenteraan oleh Israel itu telah menyebabkan sembilan aktivis Turki terbunuh dan ia menyebabkan Israel dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa selain menjejaskan hubungan Tel Aviv dengan Ankara. Awal bulan ini, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan di Geneva bagi mencari kata sepakat menamatkan krisis antara kedua-dua negara itu dan sedang menunggu pendirian daripada pihak Israel. Dalam perbincangan itu, Turki menggesa Israel memohon maaf atas serangan itu, membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa yang terbunuh bagi memulihkan hubungan antara kedua-dua negara termasuk menghantar semula Duta Turki ke Tel Aviv. Tetapi terdapat bantahan di pihak Israel yang melihat tindakan Israel memohon maaf akan dilihat menjadi liabiliti dan menyebabkan tentera Israel terdedah kepada tindakan mahkamah antarabangsa. Hubungan Israel dan Turki mula tegang sejak Israel melancarkan serangan ke atas Genting Gaza pada Disember 2008. Israel juga dikatakan tidak senang dengan tindakan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang lantang mengkritik Israel, selain turut menyatakan sokongannya terhadap kumpulan Hamas yang mentadbir Gaza. – AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan