Berita Harian: Dunia |
Tiga selebriti kontroversi bakal berlakon bersama Posted: 31 Dec 2010 03:18 PM PST Dunia JAKARTA: Tiga selebriti kontroversi Indonesia, vokalis kumpulan Peterpan Nazriel 'Ariel' Irham, Luna Maya dan pelakon filem dewasa kacukan Jepun, Miyabi akan bergabung berlakon dalam filem arahan sutradara dan penerbit Ody Mulya Hidayat. Ody berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Luna Maya mengenai filem itu yang belum diberi judul dan pelakon itu tertarik dengan jalan ceritanya. "Saya juga meminta pandangannya mengenai bagaimana jika saya menawarkan satu watak penting kepada Ariel dan Luna berkata ia suatu idea sangat baik."Saya kemudian menawarkan satu lagi watak dalam filem itu kepada Miyabi dan dia menerimanya dengan senang hati," kata Ody yang dipetik laman web selebriti inilah.com. Bagaimanapun, Ody menafikan dakwaan sesetengah pihak beliau sengaja mengambil kesempatan daripada kes video lucah membabitkan Ariel dan Luna untuk menghasilkan filem dan mendapat keuntungan. "Saya sudah lama merancang menerbitkan filem ini. Ketika itu saya ada menawarkan kepada Ariel untuk berlakon dalam filem arahan saya.
Mengenai tawaran kepada Miyabi yang menghadapi bantahan dan tunjuk perasaan, Ody berkata, Miyabi amat berminat berlakon dalam filem di Indonesia. "Dia menyatakan keinginannya untuk berlakon lagi dalam filem di negara ini.
Sementara itu di BANDUNG, perbicaraan kes Ariel membabitkan penyebaran video lucah penyanyi itu akan diteruskan 6 Januari depan. Pegawai Pendakwa, Rusmanto, berkata setakat ini seramai 30 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk lima yang dipanggil hari ini. "Kami memanggil lima saksi hari ini. Ada yang tidak hadir dan hanya memberikan keterangan bertulis," katanya. Bagaimanapun peguam Ariel, Rizky Marhendra, berkata, beliau yakin pihak pendakwa tidak dapat membuktikan pertuduhan mereka dalam kes itu. "Apa yang pasti kami akan menentang jika dakwaan dikenakan tidak sesuai," katanya. – Agensi |
Assange ramal kena bunuh di AS Posted: 24 Dec 2010 07:15 AM PST Dunia Julian Assange LONDON: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange percaya ada 'kemungkinan besar' dia akan dibunuh dalam penjara Amerika Syarikat jika diekstradisi dari Britain atas tuduhan mengintip. Warga Australia itu yang berada di Britain dengan ikat jamin, berusaha menghalang Sweden daripada mengekstradisinya berhubung dakwaan penderaan seks, tetapi Washington dipercayai sedang menimbang bagaimana untuk mengenakan tindakan ke atasnya berikutan pembocoran kabel diplomatik AS. Assange, 39, memberitahu akhbar The Guardian, adalah 'mustahil dari segi politik' untuk Britain menyerahkannya kepada AS kerana kerajaan Perdana Menteri, David Cameron tidak mahu menunjukkan ia mengikut telunjuk Washington."Dari segi undang-undang, United Kingdom berhak tidak mengekstradisi sesiapa kerana jenayah politik. Mengintip adalah satu contoh jenayah politik," katanya.
Assange menambah, jika AS berjaya mengekstradisinya, kemungkinan besar dia akan dibunuh seperti yang dilakukan ke atas Jack Ruby ketika dalam tahanan AS.
Sejak dibebaskan dari penjara minggu lalu, Assange, menumpang di rumah agam rakannya di timur England dengan jaminan ketat dia perlu melaporkan diri kepada polis setiap hari dan memakai alat pengesan elektronik. Mahkamah di London dijadualkan mengadakan perbicaraan penuh ekstradisinya ke Sweden mulai 7 Februari depan. Sementara itu, di DUBAI, Ketua Polis Dubai berkata WikiLeaks akan mengesahkan tuduhannya bahawa perkhidmatan perisikan Israel, Mossad, bertanggungjawab atas pembunuhan seorang komander Hamas yang sedang melawat negara berkenaan 20 Januari lalu. "Dokumen yang dibocorkan itu membuktikan kebenaran mengenai pembabitan Mossad, tetapi akan ada orang yang akan menafikannya walaupun ada dokumen yang dibocorkan," kata Dahi Khalfan kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris di sini, Gulf News. – AFP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan