Kosmo Online - Dunia |
- Pelan peralihan Mesir terima tentangan
- Mayat wartawan diculik ditemui di Honduras
- Rumah ‘sekangkang kera’ berharga RM815,316
Pelan peralihan Mesir terima tentangan Posted: Pelan peralihan Mesir terima tentangan
KAHERAH - Satu piagam yang memberi lebih kuasa kepada pemangku Presiden Mesir dan laluan untuk pilihan raya baharu mendapat tentangan penyokong dan penentang bekas Presiden, Mohammed Morsi. Situasi tersebut turut menyukarkan peralihan kepada demokrasi di Mesir. Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF) yang merupakan gabungan utama pembangkang Mesir mengecam dekri pemangku Presiden, Adly Mansour dalam satu kenyataan kelmarin. NSF sebelum ini mendesak Morsi meletak jawatan sebelum beliau digulingkan oleh tentera Mesir pada minggu lalu. Tindakan serupa dilakukan oleh kumpulan yang menyokong Morsi, Ikhwanul Muslimin. Adly kelmarin berikrar akan mengadakan pilihan raya baharu pada awal tahun depan. Beliau turut mengeluarkan dekri untuk mengadakan referendum berhubung perlembagaan yang telah digubal sebelum pilihan raya bermula. Keseluruhan proses itu dijangka tidak mengambil masa lebih 210 hari, sekali gus membayangkan pilihan raya bakal diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2014. NSF yang diketuai oleh seteru Morsi, Mohamed ElBaradei sebaliknya mahu dekri tersebut dirombak. Pemimpin-pemimpin badan tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan klausa dekri yang tidak dipersetujui oleh mereka. Dekri tersebut menetapkan peraturan dan hala tuju pada waktu peralihan sebelum pilihan raya Parlimen dan Presiden diadakan. Dalam pada itu, dua orang terbunuh semalam apabila kumpulan militan menyerang beberapa kedudukan polis dan tentera di Semenanjung Sinai menggunakan roket dan grenad. Di tempat lain di Mesir, dua orang maut dalam serangan grenad di sebuah pos pemeriksaan yang dikawal beberapa anggota tentera dan polis. Dalam perkembangan berkaitan, pemangku Perdana Mesir yang baharu, Hazem El-Beblawi semalam berkata, beliau akan memulakan usaha membentuk Kabinet baharu Mesir. Menurutnya, beliau menerima kenyataan bahawa adalah sukar untuk Kabinet baharu itu memenangi hati semua pihak. "Sudah tentu kami menghormati pendapat umum. Kami juga cuba untuk memenuhi jangkaan orang ramai tetapi anda tidak akan dapat memuaskan hati semua orang," katanya. Pemerintahan setahun Morsi bergolak ekoran beliau dituduh memberikan kuasa kepada pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin, selain gagal memulihkan ekonomi. - Agensi | |
Mayat wartawan diculik ditemui di Honduras Posted: Mayat wartawan diculik ditemui di HondurasBEBERAPA anggota polis dan forensik mengeluarkan mayat yang dipercayai wartawan, Anibal Barrow di pinggir bandar San Pedro Sula di Honduras kelmarin.- REUTERS TEGUCIGALPA - Beberapa anggota tubuh manusia termasuk kepala yang ditemui di utara bandar Villanueva, Honduras dipercayai milik seorang wartawan televisyen terkenal, Anibal Barrow, kata polis kelmarin. Barrow dilaporkan diculik pada 24 Jun lalu di bandar San Pedro Sula oleh sekumpulan lelaki bersenjata. Ketua polis Honduras, Juan Bonilla berkata, para pegawai menemui pakaian Barrow dan buku akaun bank tertera namanya berhampiran satu mayat tanpa kepala yang ditanam di situ. Bonilla berkata, berdasarkan bukti tersebut, polis percaya tubuh yang juga tidak mempunyai tangan dan kaki adalah milik lelaki berusia 58 tahun itu. Seramai empat individu yang dikaitkan dengan pembunuhan terbabit telah ditahan. Pihak berkuasa sedang mengesan enam lagi suspek. Menurut Bonilla, polis belum menemui motif pembunuhan kejam itu. Barrow merupakan pembaca berita pagi popular di Globo TV, salah sebuah stesen penyiaran terbesar di Honduras. Berdasarkan rekod suruhanjaya hak asasi manusia di negara berkenaan, kes pembunuhan wartawan di Honduras meningkat kepada 28 orang sejak tahun 2010. Negara rantau Amerika Tengah itu mempunyai kadar pembunuhan tertinggi di dunia dengan 87 kes bagi setiap 100,000 orang pada tahun lalu. San Pedro Sula merupakan bandar raya paling ganas di dunia. - Reuters | |
Rumah ‘sekangkang kera’ berharga RM815,316 Posted: Rumah 'sekangkang kera' berharga RM815,316PEMILIK rumah keci itu, Sarah Litchfield bergambar di depan rumahnya.- AGENSI CHRISTCHURCH, England - Sebuah rumah pantai diperbuat daripada kayu di sini diiklan untuk dijual pada harga £200,000 (RM815,316), lapor akhbar Daily Mail semalam. Rumah tersebut tidak mempunyai bekalan air bersih, sumber elektrik dan cuma dilengkapi sebuah tandas. Berukuran 3.6 meter lebar dan panjang 5.4 meter, kediaman itu dibina berhadapan dengan pantai Mudeford dekat sini. Kediaman yang dilengkapi sebuah dapur gas dan peti ais itu cuma mampu memuatkan empat orang penghuni. Rumah itu juga tidak dilengkapi sistem pembentungan. Pemiliknya terpaksa berjalan ke sebuah blok berhampiran untuk ke tandas awam yang disediakan. Kediaman tepi pantai itu dimiliki oleh seorang wanita, Sarah Litchfield, 48, sejak 10 tahun lalu. Walaupun kecil dan sempit, rumah itu menghadap pemandangan laut yang menakjubkan. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan