Kosmo Online - Dunia |
- Parti Islam tolak kerajaan Tunisia dibubar
- 55 orang maut di Damsyik
- Ahli sihir mati dibogel, dibakar
Parti Islam tolak kerajaan Tunisia dibubar Posted: Parti Islam tolak kerajaan Tunisia dibubar
TUNIS – Parti Islam yang mendominasi kerajaan campuran Tunisia semalam menolak inisiatif Perdana Menteri Hamadi Jebali untuk membentuk sebuah kerajaan teknokrat bagi menyelesaikan krisis politik di negara tersebut yang berpunca daripada pembunuhan seorang tokoh politik pembangkang. Pengumuman tersebut yang dibuat oleh Parti Ennahda mencetuskan persoalan berhubung cara untuk menyelesaikan krisis dalaman terburuk di Tunisia sejak revolusi rakyat bagi menjatuhkan diktator Zine El Abidine Ben Ali berlaku pada Januari 2011. Tunisia kini berdepan perpecahan bukan sahaja antara kerajaan dengan pembangkang tetapi turut melibatkan anggota-anggota Parti Ennahda. Dalam kejadian pagi kelmarin, seorang pemimpin pembangkang, Shokri Belaid mati ditembak beberapa kali di dalam kereta di luar kediamannya oleh beberapa penyerang tidak dikenali. Pembunuhan itu mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara dengan gas pemedih mata terpaksa digunakan bagi menyuraikan mereka. Susulan bantahan rakyat, Jebali mengumumkan lewat kelmarin bahawa beliau akan membubarkan kerajaan dan membentuk sebuah pemerintahan baharu yang dianggotai ahli-ahli teknokrat untuk mentadbir negara sehingga pilihan raya diadakan seperti yang dituntut oleh pembangkang. Bagaimanapun, pada keesokan harinya, Timbalan Presiden Ennahda, Abdel-Hamid Jalasi berkata, partinya menolak cadangan Perdana Menteri berkenaan sekali gus menggugat masa depan Tunisia. – Agensi | |
Posted: 55 orang maut di DamsyikBEBERAPA anggota penentang yang merupakan askar-askar Tentera Pembebasan Syria berada di sebuah lokasi pertempuran di Jobar, Damsyik kelmarin. DAMSYIK - Kedudukan kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad di sekitar ibu kota Syria di sini digegarkan dengan pertempuran sengit dan bedilan meriam untuk hari kedua berturut-turut semalam ketika pihak tentera melancarkan serangan besar-besaran yang dilaporkan telah meragut 55 nyawa dalam tempoh 24 jam. Antara yang terbunuh ialah lima orang awam termasuk tiga wanita. Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia menyatakan, semua mangsa maut terkena peluru mortar di kem pelarian Palestin di Yarmuk yang terletak di pinggir bandar raya ini. Menurut kumpulan itu, sekurang-kurangnya 19 orang awam, 28 penentang dan lapan askar terbunuh sejak serangan tersebut dilancarkan awal semalam. Serangan tentera rejim Bashar itu ditumpukan di bahagian selatan dan pinggir bandar raya ini. Kawasan tersebut merupakan kubu kuat penentang rejim Bashar. Lebih 60,000 orang dilaporkan terbunuh sejak pertempuran antara kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan dengan tentera Syria berlaku pada Mac 2011. Para penentang itu mahu Bashar digulingkan kerana kegagalannya membawa pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan bersuara selepas kebangkitan penduduk berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya. - Agensi | |
Ahli sihir mati dibogel, dibakar Posted: Ahli sihir mati dibogel, dibakarSEJUMLAH orang menyaksikan seorang wanita dibakar bersama timbunan sampah dan tayar di Mount Hagen, Papua New Guinea pada Rabu lalu. SYDNEY - Seorang wanita muda, Kepari Leniata dibogelkan sebelum dibakar hidup-hidup di depan sejumlah orang di Papua New Guinea, menurut laporan semalam. Wanita itu diikat dan didera sebelum tubuhnya dicurahkan minyak serta dibakar bersama timbunan sampah dan tayar pada Rabu lalu. Menurut akhbar Post-Courier, wanita berkenaan dibakar kerana dia didakwa membunuh seorang budak lelaki berusia enam tahun menerusi ilmu hitam. Kejadian itu berlaku di bandar Mount Hagen di pulau tersebut. Sebuah jentera bomba datang ke lokasi kejadian. Bagaimanapun, beberapa orang mengejar jentera tersebut yang kemudian meninggalkan tempat kejadian. Wanita itu mati di tempat kejadian. Menurut laporan, wanita berkenaan mengaku membunuh budak itu yang mati selepas dimasukkan ke sebuah hospital dengan sakit di bahagian perut dan dada pada Selasa lalu. Menurut polis, pihaknya melakukan persediaan untuk mendakwa orang yang bertanggungjawab membakar wanita berkenaan. Polis berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai pembunuhan. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan