Rabu, 6 Februari 2013

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Ahmadinejad lawat Kaherah

Posted:

Ahmadinejad lawat Kaherah

Ahmadinejad lawat Kaherah

REUTERS
AHMADINEJAD (kiri) duduk di sebelah Morsi di sebuah lapangan terbang di Kaherah semalam.


KAHERAH - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad membincangkan krisis Syria dengan rakan sejawatannya di Mesir, Mohammed Morsi semalam.

Ketibaan Ahmadinejad ke sini merupakan lawatan pertama yang dibuat seorang pemimpin Iran dalam tempoh lebih tiga dekad.

Presiden Iran itu berada di Mesir selama tiga hari.

Lawatan seperti itu tidak pernah berlaku ketika Mesir diperintah Hosni Mubarak.

Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari 2011 ekoran kebangkitan rakyat yang mahu beliau berundur atas dakwaan korup dan salah guna kuasa.

Ketika Hosni berkuasa, Mesir merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat yang menentang program nuklear Iran.

Ahmadinejad diberi sambutan karpet merah di sebuah lapangan terbang di sini.

Beliau dan Morsi kemudian berbincang selama 20 minit tentang krisis di Syria.

Ahmadinejad juga akan menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam di sini.

Seorang pakar tentang Iran, Mohammed Abbas Nagi berkata, Morsi cuba untuk memulihkan beberapa peringkat hubungan diplomatik dengan Teheran.

Menurutnya, usaha itu dibuat bagi menunjukkan hubungan diplomatik Mesir lebih bersifat terbuka berbanding ketika di zaman Hosni. - Agensi

Anak Muhammad Ali nafi bapanya tenat

Posted:

Anak Muhammad Ali nafi bapanya tenat

Anak Muhammad Ali nafi bapanya tenat


AP
GAMBAR fail menunjukkan Ali (kanan) di sebuah stadium di New Orleans pada 2 Januari lalu.


NEW ORLEANS - Seorang anak perempuan kepada petinju legenda Muhammad Ali menafikan khabar angin tentang bapanya itu sedang nazak.

Dia menyatakan bahawa bapanya itu berada di rumah menonton satu perlawanan bola sepak Amerika semasa khabar angin itu tersebar.

Anak petinju legenda itu, May May Ali berkata, dia telah bercakap dengan bapanya melalui telefon pada pagi Ahad lalu dan dia berada dalam keadaan sihat.

Katanya, dia sedang menonton perlawanan di rumahnya di Arizona dengan memakai sehelai jersi pasukan Baltimore Ravens.

"Dia berada dalam keadaan sihat. Suaranya kedengaran baik.

"Khabar angin seperti ini akan datang sekali-sekala tetapi ia tidak membawa apa-apa makna buat mereka," katanya menerusi telefon.

Keluarganya kemudian telah memuat naik sekeping gambar Ali di laman Twitter.

Gambar itu memaparkan Ali sedang duduk di atas sebuah kerusi dengan memakai sehelai baju Ray Lewis.

Khabar angin itu tersebar selepas sebuah akhbar tabloid Britain memetik kenyataan adik Ali iaitu Rahman yang menyatakan bahawa bekas juara tinju dunia itu semakin nazak.

Laporan kematian Ali itu juga telah tersebar secara meluas di internet.

Terdapat ucapan takziah di laman sosial Twitter dan Facebook ekoran khabar angin itu dianggap sebagai benar.

Ali turut mengalami masalah penyakit Parkinson.

Dia menyambut ulang tahun kelahiran ke-71 pada bulan lalu.

Ali merupakan juara heavyweight dunia sebanyak tiga kali. - Agensi

Wanita didakwa dirogol dihukum penjara

Posted:

Wanita didakwa dirogol dihukum penjara

Wanita didakwa dirogol dihukum penjara

ABDIAZIZ


MOGADISHU - Seorang wanita yang mendakwa dia telah dirogol oleh askar-askar Somalia dihukum penjara selama setahun oleh Hakim Ahmed Adan di sebuah mahkamah di sini, semalam.

Seorang wartawan yang melaporkan kisah tersebut, Abdiaziz Abdinuur Ibrahim turut dihukum penjara selama setahun.

Pemerintah Somalia sebelum ini menyatakan wanita itu sengaja membuat cerita dia dirogol.

Pihak pendakwa raya menyatakan, bukti-bukti perubatan menunjukkan wanita tersebut tidak dirogol.

Namun, tertuduh dibenarkan menjalani tahanan di rumah sebagai ganti hukuman penjara kerana dia terpaksa menjaga seorang anaknya yang masih kecil.

Peguam-peguam wanita dan wartawan itu menyatakan, mereka akan membuat rayuan berhubung hukuman tersebut.

Hukuman itu mencetuskan kemarahan sebuah pertubuhan hak asasi manusia.

"Pemerintah baharu Somalia berfikir mereka akan dapat menutup keganasan seksual oleh pasukan keselamatan dengan menghukum wanita yang membuat aduan rogol dan wartawan yang melaporkannya," kata beberapa penyelidik pertubuhan Human Rights Watch.

"Polis Somalia bukan sahaja tidak melakukan siasatan tetapi menggunakan tenaga mereka untuk memalukan wanita tersebut dengan mendakwa dia dan wartawan itu berkomplot untuk menjatuhkan imej pemerintah bagi mendapatkan keuntungan," kata pertubuhan itu.

Pemerintah Somalia yang disokong masyarakat antarabangsa mula menguasai pemerintahan di negara ini sejak September tahun lalu memberitahu, pihaknya tidak campur tangan dalam proses kehakiman tersebut. - dpa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan