Rabu, 27 Februari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Syor sekat aktiviti Israel

Posted: 27 Feb 2013 08:51 AM PST

Geneva: Kesatuan Eropah (EU) mencadangkan 27 negara anggotanya supaya menghalang semua transaksi kewangan yang menyokong aktiviti penempatan Israel di Tebing Barat, menurut laporan dalaman mengenai Baitulmaqdis, semalam.

Dalam Laporan Baitulmaqdis 2012, EU mencadangkan anggotanya menghalang, tidak menggalakkan dan meningkatkan kesedaran mengenai implikasi transaksi kewangan, termasuk pelaburan langsung asing, dari kalangan EU sendiri dalam menyokong aktiviti penempatan, infrastruktur dan perkhidmatan.

Dalam laporan setebal 15 muka surat itu, EU juga mendesak untuk memastikan import produk penempatan tidak mendapat faedah tarif keutamaan, dan memastikan semua produk berkenaan dilabelkan dengan jelas datang dari kawasan diceroboh Israel.

Ditulis oleh ketua misi EU di Baitulmaqdis dan Ramallah, laporan menjadikan sembilan cadangan mengenai penempatan, enam daripadanya berkaitan dengan terjemahan kewangan yang dikaitkan dengan atau menyokong pembinaan berterusan Israel di tanah Palestin yang dirampas.

Ia juga memberi amaran program EU tidak sepatutnya digunakan menyokong penempatan dan aktiviti berkaitannya, termasuk dana penyelidikan, pendidikan atau kerjasama teknologi.

Ia mencadangkan negara anggotanya meningkatkan kesedaran mengenai risiko kewangan dan perundangan yang terbabit dalam memberi hartanah atau menyediakan perkhidmatan di penempatan itu.

Cadangan lain terutama mengenai sektor timur negara itu, menunjukkan negara anggota membangunkan dan mempromosikan garis panduan sukarela bagi pengendali pelancongan EU untuk mengelakkan sokongan kepada perniagaan penempatan di Baitulmaqdis Timur.
Hubungan antara Israel dan EU tegang sejak kebelakangan ini, dengan Eropah semakin lantang menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung rancangan Israel membina lebih 5,000 rumah peneroka baru di dan sekitar Baitulmaqdis Timur.

Israel sudah lama bimbang blok itu, pasaran import dan eksport terbesarnya, akan bertindak melaksanakan siri sekatan dagangan terhadap wilayah Yahudi itu berhubung aktiviti penempatannya.

AGENSI

Filem cetus perdebatan

Posted: 27 Feb 2013 08:47 AM PST

Jakarta: Sebuah filem dokumentari mengisahkan pembunuhan ke atas sejuta rakyat Indonesia yang dipenjarakan, disiksa dan dibunuh kerana disyaki menjadi penyokong komunis pada 1965, mencetuskan perdebatan.

Filem berjudul The Act of Killing yang diarahkan pengarah kelahiran Texas Joshua Oppenheimer itu cuba menyingkap 'era gelap' Indonesia dengan memberi tumpuan kepada skuad pembunuh yang kurang diketahui generasi muda negara itu.

"Tokoh utama filem ini, Anwar Congo, salah seorang ketua skuad pembunuh paling ditakuti di Sumatera Utara dengan bangga bercerita mengenai peranannya dan cara pembunuhan dilakukan ke atas mereka yang disyaki menyokong komunis selepas cubaan rampasan kuasa gagal," katanya.

Beliau berkata skuad pembunuh beroperasi secara sistematik pada 1960-an dan menjadi penyebab kepada kematian sejuta penduduk negara itu yang disyaki menjadi penyokong komunis.

Filem berkenaan ditayang di Festival Filem Toronto pada Oktober 2012 berjaya meraih Anugerah Panorama Penonton dan Anugerah Juri pada Festival Filem Antarabangsa Berlin, baru-baru ini.

Ia belum ditayangkan secara rasmi di Indonesia, tetapi 265 'tayangan rahsia' sudah dilakukan dan disaksikan 10,000 penonton di republik itu.

Sementara itu, salah seorang mangsa gerakan memburu penduduk disyaki komunis pada 1965, Bejo Untung berkata, beliau berusia 17 tahun ketika tentera menyerbu kampungnya, menyebabkan beliau terpaksa melarikan diri.
Beliau akhirnya ditangkap, disiksa dan dipenjarakan pada 1970 sebelum dibebaskan pada 1979.

"Saya mahukan keadilan dan sejarah Indonesia perlu ditulis semula," katanya.

REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan