Isnin, 21 Januari 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Sukar lepasi pintu

Posted: 20 Jan 2013 09:35 AM PST

Los Angeles: Mikel Ruffinelli tidak segan mempamerkan pinggulnya, yang terbesar di dunia dengan ukur lilit lebih 244 sentimeter.

Dalam keadaan sedemikian, ibu empat anak itu terpaksa bergelut untuk memasuki pintu dan memerlukan dua tempat duduk ketika menaiki pesawat.


Mikel, 39, yang seberat 190 kilogram (kg) terpaksa memandu trak kerana tidak muat untuk masuk ke dalam kereta. Dia juga memerlukan sebuah kerusi yang kuat untuk duduk dan berehat di dalam rumah.

Bagaimanapun, wanita itu yang hanya mempunyai berat 63kg ketika berusia belasan tahun, bangga dengan bentuk tubuhnya. Dia tidak mempunyai rancangan untuk menurunkan berat badan meskipun sering diejek.


"Ke mana saja saya pergi, pinggul saya akan menjadi tumpuan. Ada yang mengejek dan ada yang memuji. Apabila saya berjalan di jalan raya, saya boleh mendengar bunyi klik kamera telefon dan orang akan mentertawakan saya. "Saya pernah terdengar orang sekeliling berkata, 'Tengok pinggulnya yang besar.'
Ada orang menyangka saya menjalani pembedahan untuk membesarkan pinggul saya. Tetapi, ia sebenarnya asli. Mungkin ia kesan daripada mempunyai empat anak. Tetapi keluarga saya memang berpinggul besar," kata wanita itu.

Foto

MIKEL bangga dengan bentuk badannya.

Mikel bersaiz normal seperti kanak-kanak biasa ketika remaja. Malah ketika berusia awal 20-an, berat badannya hanya 82kg.


Tetapi, pada usia 22, beratnya bertambah 25kg selepas melahirkan anak pertama, Andrew, yang kini 18. Selepas anak kedua, Destynee, 13, Autumn, lapan dan Justyce, tujuh, dilahirkan, beratnya meningkat mendadak dan pinggulnya terus membesar.

Meskipun dengan bentuk tubuhnya, Mikel hanya setinggi 195 sentimeter dan lilit pinggangnya pula 102 sentimeter.


Mikel dari Los Angeles mengaku berdepan dengan kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian akibat saiznya itu.


"Saya perlu membeli tiket untuk dua tempat duduk setiap kali menaiki pesawat atau kereta api kerana tak muat.


Ia sudah tentu mahal. Saya sanggup memandu trak daripada menaiki pengangkutan awam kerana ia cukup besar untuk saya.


Untuk berjalan menerusi ruang yang sempit juga menjadi masalah utama. Saya juga terpaksa mengiring untuk memasuki pintu masuk. Saya tidak boleh menutup pintu bilik air kerana pinggul saya tersekat.


Pernah berlaku satu kejadian di mana saya tersepit dalam bilik air dan tidak berdaya untuk keluar," katanya.


Namun, wanita itu masih dapat menyertai kegiatan keluarga seperti rutin untuk menyihatkan tubuh di rumah dan bersiar-siar di taman atau tepi pantai. "Mencari pakaian yang sesuai untuk bahagian bawah tubuh menjadi satu cabaran. Saya juga terpaksa menempah khas semua pakaian dalam saya waktu ini," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Pemimpin parti kena acu pistol

Posted: 20 Jan 2013 08:59 AM PST

Sofia: Seorang lelaki melompat naik ke atas pentas dan mengacu pistol ke kepala pemimpin parti etnik Turki Bulgaria.

Pengawal keselamatan bagaimanapun berjaya menjatuhkan lelaki itu. Peristiwa itu berlaku ketika satu persidangan parti yang disiarkan menerusi televisyen, semalam.


Pemimpin Pergerakan Untuk Hak Asasi dan Kebebasan, Ahmed Dogan tidak cedera dan punca dia menjadi sasaran penyerang di kongres parti itu masih tidak diketahui.

Rakaman televisyen menunjukkan lelaki itu melompat naik ke pentas dan mengeluarkan pistol yang di hala ke kepala Ahmed.


Pengawal keselamatan menjatuhkan penyerang itu sebelum dia dipukul dan ditendang berulang kali oleh perwakilan.


Polis berkata, mereka menahan penyerang berusia 25 tahun itu yang berasal dari bandar Burgas, berhampiran Laut Hitam. Lelaki itu turut membawa dua pisau.

Menteri Dalam Negeri, Tsvetan Tsvetanov berkata, penyerang itu cuba melepaskan dua das tembakan, tetapi 'kemungkinan besar tersasar.' Parti itu mewakili etnik Turki dan penganut Islam mewakili 12 peratus populasi Bulgaria daripada tujuh juta penduduk negara itu.


Kebanyakan penganut Islam Bulgaria bukan pendatang baru tetapi sudah beratus-ratus tahun menetap di negara itu sementara sebahagian besar etnik Turki adalah keturunan kerajaan Uthmaniyah.

"Masyarakat Bulgaria secara tradisinya terkenal kerana tolak ansur dan hormat menghormati antara kumpulan etnik dan agama. Tindakan seumpama itu tidak boleh diterima di sebuah negara demokrasi," kata Presiden Rosen Plevneliev dalam satu kenyataan mengulas kejadian itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Tiada ulasan:

Catat Ulasan