Khamis, 31 Januari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Jet Israel bom trak dalam wilayah Syria

Posted: 31 Jan 2013 01:45 PM PST

Beirut: Pesawat Israel kelmarin mengebom sebuah konvoi disyaki membawa senjata antipesawat untuk pejuang Hizbullah di wilayah Syria.

Serangan itu dilancarkan selepas "Sasaran sebuah trak penuh senjata yang dihantar dari Syria ke Lubnan," kata diplomat Barat yang menambah ia juga dipercaya membawa senjata kimia.

Sumber pemberontak Syria berkata, serangan udara itu berlaku pada awal pagi lima kilometer ke selatan dekat lebuh raya Damsyik-Beirut.

Panglima Tentera Udara Israel, Mejar Jeneral Amir Eshel, berkata pihaknya terbabit dalam kempen serangan sulit 'di antara beberapa medan perang.'

"Kempen serangan ini setiap hari, 365 hari setahun. Kami bertindak untuk mengurangkan ancaman, mewujudkan keadaan untuk kami menang peperangan," katanya beberapa jam sebelum itu.

Pegawai serantau berkata, bekalan senjata itu turut membabitkan peluru berpandu SA-17.

Jika pejuang Hizbullah memilikinya, senjata itu dapat menembak jatuh pesawat, helikopter dan pesawat kawalan jauh Israel.
Israel mengesyaki Syria membeli senjata itu dari Russia selepas serangan udaranya pada 2007 memusnahkan sebuah reaktor nuklear yang sedang dibina.

Tentera Syria pula menafikan sebarang kewujudan bekalan itu sebaliknya berkata sebuah pejabat penyelidikan saintifik di luar Damsyik dibom pesawat Israel.

Agensi berita Associated Press (AP) berkata, banyak pihak di Israel bimbang, Presiden Syria, Bashar Assad, boleh membalas dendam jika hilang kuasa dengan menyerahkan senjata kimia dan peralatan lain kepada Hizbullah.

AGENSI

Nafi abang ‘kuasai’ kerajaan

Posted: 31 Jan 2013 01:41 PM PST

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, semalam menolak laporan akhbar New York Times yang mendakwa keputusan penting dibuat abangnya, bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dari di luar negara menerusi Skype.

Yingluck menegaskan beliau adalah Perdana Menteri sebenar yang menguruskan pentadbiran di negara itu dan keputusan dasar dibuat Kabinet yang dipimpinnya, apabila diminta memberi komen berhubung laporan itu.

Katanya, beliau tidak dapat menghentikan orang ramai meluahkan pendapat tetapi mahukan kritikan yang adil.

"Tinjauan pendapat baru-baru ini menunjukkan kepemimpinan saya diterima rakyat," katanya sambil menambah beliau mahu pencapaian kerajaan membuktikan kewibawaannya.

Menyentuh satu kenyataan Thaksin mungkin bercakap dengan Kabinet menerusi Skype, Yingluck berkata orang ramai perlu mempertimbangkan dan mengkaji laporan berita berkenaan secara analisis.

Malah, penggunaan telefon bimbit tidak dibenarkan ketika mesyuarat Kabinet.
Sementara itu, pemimpin Baju Merah, Jatuporn Prompan menafikan khabar angin beliau cuba menumbangkan kerajaan Yingluck.
Jatuporn daripada Barisan Demokrasi Bersatu Menentang Pemerintahan Diktator (UDD), berkata beliau menyifatkan diri sendiri sebahagian Parti Pheu Thai dan kumpulan Baju Merah serta tidak akan bertindak menentang pemerintahan diterajui parti itu.

"Memang ada perbezaan dalam pandangan antara UDD dan kerajaan, tetapi ia boleh diselesaikan menerusi perbincangan," katanya.

Jatuporn percaya khabar angin dihasilkan saingan politik yang cuba mencetuskan konflik antara kerajaan dan UDD.
AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan