Jumaat, 18 Januari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


China jadikan bunuh diri perbuatan jenayah

Posted: 18 Jan 2013 02:26 PM PST

Beijing cuba tangani protes penduduk Tibet membakar diri

Beijing: China cuba menangani tindakan membakar diri penduduk Tibet dengan menjadikan bunuh diri sebagai jenayah selain menahan rakan penunjuk perasaan dan merampas beribu-ribu piring televisyen satelit.

Tindakan keras itu memberikan petunjuk awal kepemimpinan baru negara itu tidak akan mengalah kepada Tibet di sebalik bantahan dengan membakar diri dan kritikan antarabangsa.

Selama berbulan-bulan, ketika penduduk Tibet di seluruh barat China membakar diri, pihak berkuasa bertindak balas dengan menghantar anggota keselamatan mengepung kawasan berkenaan dan menghalang sebarang aliran keluar maklumat tetapi usaha itu tidak menghentikan atau mengurangkan bantahan.

Kes membakar diri memuncak November lalu ketika Parti Komunis China mengadakan Kongres mengenai peralihan kepemimpinan.

Kerja pasukan asing

Disember lalu, Beijing mengumumkan menerusi akhbar bahawa kejadian itu kerja pasukan asing yang mahu memisahkan Tibet dengan Tanah Besar.

Ia memberi amaran, mereka yang membantu orang lain membakar diri boleh didakwa kerana membunuh. Penangkapan segera dilakukan.
"Tibet semakin mendapat tempat dalam berita utama dunia kerana kes membakar diri dan ada kebimbangan untuk mengawalnya.

"Kepemimpinan baru terutama bimbang untuk memastikan masalah ini tidak menjejaskan reputasi mereka," kata Profesor Undang-Undang dan Pakar Tibet di Universiti Hong Kong, Michael Davis.

Beliau menjangka Beijing akan terus menggunakan kekerasan.

Hampir 100 sami Tibet, paderi wanita dan penduduk biasa membakar diri sejak 2009, menggesa Beijing membenarkan kebebasan beragama lebih luas dan kepulangan pemimpin tertinggi Tibet yang kini hidup dalam buangan, Dalai Lama.

"Saya rasa kes bakar diri dan semua yang lain menunjukkan mereka tidak diterima penduduk Tibet dan semakin China menindas, semakin teruk tentangan yang mereka hadapi," kata Davis. - AP

Kumpulan Bertopeng ikrar mahu culik lagi

Posted: 18 Jan 2013 02:19 PM PST

Dakar: Kumpulan yang mendakwa bertanggungjawab menculik orang asing di sebuah loji gas padang pasir di Algeria sedia melakukan lebih banyak operasi lagi.

Sehubungan itu, briged 'Kumpulan Bertopeng' (The Masked Ones) memberi amaran kepada penduduk tempatan supaya menjauhi lokasi syarikat asing, lapor agensi berita ANI yang memetik jurucakapnya.

"Kami berikrar akan melakukan operasi baru selepas ini terhadap pemerintah," katanya.

Mengulas mengenai tindakan menculik pekerja asing dan tempatan di In Amenas, dia berkata, kumpulan itu sudah berlatih hampir dua bulan mengenai tindakan mengusir askar asing di Mali.

"Kami tahu kerajaan (Algeria) akan jadi sekutu Perancis menentang Azawad," katanya, merujuk kepada nama pemberontak di Mali.

Tidak dapat disahkan laporan itu tetapi ANI ada hubungan rapat dengan kumpulan yang diketuai lelaki Algeria, Mokhtar Belmokhtar, veteran mujahidin Afghanistan dan perang saudara Algeria selain digelar 'Mr Marlboro.' kerana terbabit dalam penyeludupan di kawasan Sahara.

Enam tebusan maut

Sekurang-kurangnya 22 tebusan warga asing masih tidak ditemui sejak Jumaat lalu di loji gas berkenaan yang masih dikepung askar Algeria.

Sekurang-kurangnya enam orang atau mungkin lebih ramai menemui ajal termasuk tebusan Britain, Filipina dan Algeria selepas tentera kerajaan cuba membebaskan mereka di loji Ain Amenas, 1,300 kilometer ke selatan Algiers.

Berpuluh-puluh lagi pekerja masih dicari termasuk warga Amerika, Britain, Perancis, Norway, Romania, Malaysia, Jepun dan Algeria.

Kerajaan Algeria yang sudah biasa menghadapi keganasan menolak tawaran asing untuk membantu dan mengawal aliran maklumat kepada pihak lain termasuk pemimpin Barat. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan