Selasa, 18 Disember 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Si Belang gagal terbang

Posted: 17 Dec 2012 11:35 AM PST

LEICESTER: Satu rancangan seorang pembunuh dan seorang ketua dadah melarikan diri dari penjara dengan helikopter berjaya digagalkan pengawal.

Ketua kumpulan dadah, Mark Osborne dan pembunuh, Wayne Collins merancang untuk melarikan diri dari Penjara Gartree di Leicester, tempat yang pernah menyaksikan satu-satunya tindakan melarikan diri dari penjara di Britain pada 1987.


Bagaimanapun, pengawal di penjara Kategori B itu mendapat maklumat mengenai rancangan itu dan bertindak ke atas kedua-dua banduan dengan memakaikan mereka pakaian berbelang yang biasa diberikan kepada tahanan yang berpotensi melarikan diri.

Menurut akhbar Daily Star, mereka dipindahkan ke penjara kawalan ketat, Osborne ke Whitemoor di Cambridgeshire dan Collins ke Full Sutton di Yorkshire Timur.


Satu sumber penjara memberitahu akhbar itu: "Osborne dan Collins merancang melarikan diri dan mengutip dana sejak beberapa bulan lalu." Pasangan itu dipercayai membayar operasi itu menerusi hasil perniagaan dadah dari dalam dan luar penjara.


Osborne, 29, dan abangnya, Tony pernah terbabit membekalkan kokain bernilai ratusan ribu paun di kawasan Romford di Essex.

Mereka mengupah Collins untuk membunuh Mark Tredinnick di depan anaknya berusia empat tahun pada Jun 2007.


Osborne menggunakan telefon diseludup masuk ke bilik kurungannya untuk mengarah pembunuhan Tredinnick, 39.

Mangsa ditembak sembilan kali selepas diserang hendap di Romford di depan teman wanitanya, Kerri Ann Shanahan dan anak mereka.


Tredinnick berhutang kepada Osborne yang dipenjarakan kerana kesalahan mencederakannya ketika pembunuhan itu. Dia percaya Tredinnick mencuri dadahnya.


Adik beradik Osborne itu dan Collins dihukum penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh Tredinnick pada 2009.


Rayuan mereka ditolak dan ia mendorong mereka melarikan diri dari penjara.


Sumber itu berkata lagi: "Mereka dipercayai masih terbabit dalam perniagaan dadah dan dikatakan berusaha mendapatkan orang luar menerbangkan sebuah helikopter dan mendaratkannya di perkarangan penjara," kata sumber. - DS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Mayat hakim Ukraine ditemui tanpa kepala

Posted: 17 Dec 2012 08:28 AM PST

KIEV: Mayat tanpa kepala seorang hakim Ukraine yang terkenal di peringkat antarabangsa sebagai pengumpul barangan antik, isteri, anak dan teman wanita anaknya ditemui di apartmen mereka di bandar Kharkiv, kata polis, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Vitaly Zakharchenko dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, beberapa barangan antik hilang dari rumah Volodymyr Trofimov, 58, yang memiliki koleksi syiling yang jarang ditemui, pingat tentera dan patung China.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu, hasil siasatan yang dijalankan dari semua sudut merumuskan: "jenayah itu dirancang dengan teliti." Akhbar Segodnya memetik pendakwa raya sebagai berkata, kes yang dikendalikan hakim sebuah mahkamah daerah itu sejak beberapa tahun lalu hanya membabitkan pembayaran alimoni, jenayah kecil dan pungutan hutang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18



Tiada ulasan:

Catat Ulasan