Selasa, 20 November 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Korban serangan Zionis meningkat 96 orang

Posted:

Korban serangan Zionis meningkat 96 orang

Korban serangan Zionis meningkat 96 orang

PENDUDUK Palestin berkumpul melihat sebuah rumah yang musnah selepas serangan udara tentera Israel di Khan Younis, selatan Genting Gaza.


GENTING GAZA - Serangan udara tentera Israel yang masuk hari keenam semalam meragut 13 lagi nyawa warga Palestin menjadikan angka korban keseluruhan kini meningkat kepada 96 orang.

Serangan itu berlaku ketika usaha gencatan senjata sedang giat dilakukan oleh para pemimpin antarabangsa bagi menamatkan kekejaman Zionis.

Serangan yang dilancarkan ke atas wilayah Genting Gaza kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh empat tahun.

Dalam pada itu, tentera Israel menyatakan, pihaknya telah berjaya mengambil alih sebuah program stesen televisyen milik Hamas.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa penganalisis politik berkata, pemimpin Israel berpuas hati dengan kejayaan Operation Pillar of Defence yang dilancarkan pada Rabu lalu bertujuan untuk menghentikan tembakan roket pejuang Hamas.

Operasi tersebut melibatkan serangan udara bertubi-tubi ke atas wilayah Palestin berkenaan.

Sejak keganasan ke atas Genting Gaza bermula, Israel tidak henti-henti melakukan serangan udara dan langsung tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti walaupun serangan udara kian berkurangan sejak Jumaat.

Sehingga semalam, pihak tentera Israel berkata, ia telah membedil lebih daripada 1,350 kawasan Gaza manakala pejuang Hamas telah menembak lebih 850 roket ke Tel Aviv dan satu ke Baitulmuqaddis.

Kelmarin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pasukan tentera daratnya kini bersedia untuk menggempur Genting Gaza bagi menentang pejuang Hamas.

Stesen radio awam melaporkan seramai 40,000 pasukan tentera simpanan kini bersiap sedia berhampiran sempadan Gaza.

Sementara itu, Perdana Menteri Mesir, Hisham Kandil berkata, usaha damai yang dikelolakan pihaknya sedang berjalan dan peluang untuk menamatkan peperangan adalah cerah.

"Rundingan sedang berjalan sekarang ini dan saya berharap kami akan mencapai sesuatu bagi membolehkan keganasan dihentikan," kata Hisham dalam satu wawancara di Kaherah. - Agensi

Puluhan ribu penduduk keluar sambut Obama

Posted:

Puluhan ribu penduduk keluar sambut Obama

Puluhan ribu penduduk keluar sambut Obama


WARGA Myanmar berbaris di jalan raya semasa konvoi yang membawa Obama tiba di Yangon semalam.


YANGON, Myanmar - Berpuluh-puluh ribu orang membanjiri jalan-jalan raya di sini untuk menyambut kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang tiba di negara ini semalam.

Obama merupakan Presiden AS pertama yang melawat Myanmar.

Selepas mendapat sambutan karpet merah, Presiden AS berkenaan menemui rakan sejawatnya dari Myanmar, Thein Sein.

Dalam pertemuan tersebut, beliau menyeru bekas jeneral itu supaya mempercepatkan proses demokrasi di Myanmar setelah negara mengamalkan pemerintahan tentera selama beberapa dekad.

Bercakap di hadapan beribu-ribu orang di Universiti Yangon di sini, Obama menghulur tangan persahabatan dan menyatakan komitmen AS kepada rakyat Myanmar.

"Sepanjang setahun setengah yang lepas, satu peralihan dramatik bermula apabila pemerintahan diktator selama lima dekad kini kian pudar," kata Obama kepada para hadirin.

Beliau berkata, kerajaan awam yang baharu perlu memupuk demokrasi atau melihat demokrasi dan sokongan AS kepada negara itu pudar.

Myanmar merupakan kemuncak lawatan empat hari Obama ke rantau ke Asia Tenggara yang bermula di Bangkok Thailand dan berakhir di Phnom Penh, Kemboja hari ini.

Presiden berkenaan dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur di Kemboja.

Dalam lawatan pertama ke luar negara selepas memenangi pilihan raya Presiden AS, Obama turut mengunjungi kediaman ikon demokrasi Aung San Suu Kyi.

Pada pertemuan mereka, Obama memberikan ciuman dan pelukan erat kepada Suu Kyi yang dianggapnya sebagai sumber inspirasi. - Agensi

Puting beliung air landa pantai

Posted:

Puting beliung air landa pantai

Puting beliung air landa pantai


SEBUAH kenderaan pacuan empat roda melalui jalan pantai di Teluk Batemans, Australia ketika puting beliung air berlaku kelmarin.


SYDNEY, Australia - Satu kejadian puting beliung air gergasi dilihat di kawasan pantai Teluk Batemans yang terletak sekitar 225 kilometer ke selatan bandar raya ini kelmarin, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.

Fenomena alam semula jadi itu terbentuk apabila puting beliung berlaku di atas permukaan laut.

Puting beliung air boleh bergerak selaju 128 kilometer sejam (km/j) dengan pusaran anginnya pula bertiup pada kelajuan antara 96 km/j hingga 192 km/j.

Ribut berkenaan boleh menyebabkan kemusnahan besar pada terumbu karang, hidupan marin dan mengancam bot, pesawat serta perenang.

Walaupun jarang berlaku di Australia, empat puting beliung air gergasi pernah dilihat di Pantai Avoca di sini pada Mei tahun lalu. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan