Sabtu, 17 November 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Israel kerah 16,000 tentera simpanan

Posted:

Israel kerah 16,000 tentera simpanan

Israel kerah 16,000 tentera simpanan

AFP
BARISAN kereta kebal dan anggota tentera Israel dihantar ke sempadan Israel-Genting Gaza semalam. Pihak berkuasa Israel menyatakan ia bersedia untuk melancarkan serangan darat ke atas Genting Gaza jika keadaan memaksa.


BAITULMUQADDIS - Tentera Pertahanan Israel (IDF) dilihat mula mengerahkan kira-kira 16,000 anggota tentera simpanannya semalam sebagai persiapan untuk menyerang Genting Gaza.

"Proses memanggil anggota tentera telah pun dimulakan. Sebagai sebahagian daripada Operasi Tiang Pertahanan, IDF akan mula merekrut 16,000 anggota simpanan," kata kementerian terbabit dalam satu tweet rasminya.


AFP
GAMBAR yang dirakam dari sempadan Israel menunjukkan api dan kepulan asap tebal keluar dari bangunan selepas tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas Bandar Gaza semalam.


Pada Khamis lalu, Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak meluluskan proses untuk memanggil 30,000 tentera simpanan yang boleh dikerah bagi terlibat dalam operasi ketenteraan pada bila-bila masa.

Langkah itu dibuat ketika Israel terus memberi tekanan ke atas pejuang Palestin yang dilihat bakal meningkatkan serangan roket kepada operasi ketenteraan darat selepas sebutir roket mengenai pantai tidak jauh dari Tel Aviv. Roket kedua pula meletup di bahagian selatan bandar tersebut.


AFP
IBU kepada kanak-kanak perempuan Palestin yang terbunuh, Hanen Tafesh ditenangkan oleh suami dan saudara-maranya sebelum mayat anaknya itu dikebumikan di Bandar Gaza. Serangan udara tentera Israel setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 23 orang warga Palestin.


"Kami kini dalam proses meningkatkan operasi ketenteraan. Menteri Pertahanan sudah memberi kelulusan berdasarkan kepada permintaan tentera iaitu penambahan 30,000 anggota lagi.

"Kami akan mengenal pasti berapa ramai tentera yang perlu dipanggil. Ini bermakna kami mempunyai semua pilihan," kata jurucakap ketua tentera Israel, Brigedier Jeneral Yoav Mordechai kepada televisyen Israel, Channel 2.


AFP
ANGGOTA polis antirusuhan Israel menahan seorang lelaki Palestin dalam satu protes membantah operasi ketenteraan Israel ke atas Genting Gaza di di Gerbang Damsyik, Bandar Lama Baitulmuqaddis semalam.


Menteri Kanan Kabinet Israel, Moshe Yaalon turut menyatakan bahawa pihaknya sedang menimbang semua pilihan operasi ketenteraan. Ini termasuklah amaran akan menyerang Gaza bagi menghentikan serangan roket pejuang Palestin.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang warga Palestin terbunuh dan seorang lagi cedera akibat serangan udara Israel di bandar Khan Yunis semalam. "Ismail Qandil telah mati syahid dan seorang lagi mengalami kecederaan," jelas kenyataan perkhidmatan kecemasan Genting Gaza.


AP
SEKUMPULAN tentera simpanan Israel berkumpul di kem Mishmar Hanegev, selatan Israel semalam. Pihak berkuasa Israel pada Khamis telah meluluskan kerahan sehingga 30,000 tentera simpanan jika ia mahu menyerang Genting Gaza.


Jurucakap perkhidmatan kecemasan Genting Gaza, Adham Abu Selmiya memberitahu, dua orang penduduk Palestin telah meninggal dunia kerana cedera dalam serangan udara Israel di bahagian utara wilayah tersebut.

Menurutnya, tiga kematian pada Jumaat menyebabkan jumlah mangsa meningkat kepada 23 orang dengan 250 yang lain cedera.


Reuters
PASUKAN bomba Palestin bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sebuah kilang yang terbakar selepas terkena bedilan roket tentera udara Israel semalam.


Sementara itu, Presiden Mesir, Mohamed Mursi menyifatkan serangan Israel ke atas Genting Gaza sebagai pencerobohan kejam terhadap kemanusiaan, sambil menegaskan Mesir tidak akan membiarkan Gaza bersendirian.

Mursi membuat kenyataan itu dalam satu khutbah Jumaat di sebuah masjid di tengah Kaherah, lapor agensi berita Mena. Perdana Menteri Mesir, Hisham Kandil pulang semalam mengadakan lawatan selama tiga ke Genting Gaza.

"Kaherah tidak akan meninggalkan Gaza seorang diri. Mesir hari ini bukannya Mesir semalam. Masyarakat Arab hari ini juga bukan masyarakat Arab seperti sebelum ini," tegas Mursi. - Agensi

Kemaluan terpaksa dibuang selepas disuntik minyak zaitun

Posted:

Kemaluan terpaksa dibuang selepas disuntik minyak zaitun

Kemaluan terpaksa dibuang selepas disuntik minyak zaitun

BANGKOK - Pegawai-pegawai kesihatan semalam menasihati kaum lelaki di Thailand bahawa saiz tidak penting selepas zakar seorang pesakit terpaksa dibuang susulan percubaannya membesarkan organ tersebut dengan suntikan minyak zaitun.

Berisiko dan belum terbukti berkesan, kaedah itu biasa digunakan di Thailand, malah, sebuah hospital di sini menerima sekitar 40 pesakit sebulan yang bimbangkan kesan sampingan teknik tersebut.

Selain minyak zaitun, lelaki Thailand gemar menggunakan lilin lebah, silikon dan parafin untuk membesarkan saiz kemaluan mereka.

Jurucakap Hospital Besar Polis di sini, Sirikul Jiaranaikhajorn memberitahu agensi berita AFP bahawa pesakit berusia 50 tahun itu telah beberapa kali menjalani rawatan suntikan minyak zaitun sejak bertahun-tahun lalu.

Menurutnya, kemaluan lelaki itu mengalami jangkitan kuman yang teruk.

Dia juga didapati menghidap kanser zakar sekali gus menyebabkan pembedahan membuang organ berkenaan perlu dilakukan.

"Ini ialah pembedahan membuang kemaluan terbesar yang kami pernah lakukan selepas kami menemui kanser pada organ tersebut," kata Sirikul.

Katanya lagi, mereka merawat antara dua hingga tiga pesakit akibat zakar dijangkiti kuman pada setiap minggu tetapi belum ada bukti teknik itu menyebabkan kanser.

Jelas Sirikul, lelaki berkenaan menjalani suntikan itu di sebuah klinik dengan ditemani beberapa rakannya walaupun amaran telah dikeluarkan bahawa teknik pembesaran zakar seperti itu amat berisiko.

"Kaedah ini hanya mendatangkan mudarat, orang ramai mendapat maklumat salah bahawa ia berkesan," ujarnya.

Tambah jurucakap itu, kebanyakan lelaki mencuba prosedur tersebut kerana terpedaya dengan cerita rakan-rakan mereka.

"Wanita mencintai lelaki bukan kerana saiz zakarnya," jelas Sirikul.

- AFP

Kokain RM368.5 juta ditemui dalam kapal terdampar

Posted:

Kokain RM368.5 juta ditemui dalam kapal terdampar

Kokain RM368.5 juta ditemui dalam kapal terdampar

AFP
GAMBAR yang dikeluarkan oleh polis Australia semalam menunjukkan ketulan-ketulan kokain mampat yang ditemui di dalam sebuah kapal layar di Tonga.


SYDNEY - Sebuah kapal layar yang terdampar di pulau terpencil di Lautan Pasifik Selatan bersama mayat reput seorang lelaki di dalamnya didapati membawa lebih 200 kilogram (kg) dadah jenis kokain bernilai AS$120 juta (RM368.5 juta), kata polis semalam.

Polis Persekutuan Australia menyatakan, kapal layar JeReVe yang sepanjang 13 meter itu diawasi beberapa agensi penguatkuasaan antarabangsa selepas kapal berkenaan meninggalkan Amerika Selatan tetapi mereka gagal mengesannya sejak bulan lalu.

Dua penyelam menemui kapal tersebut awal bulan ini di sebuah pulau kecil dalam gugusan pulau Vava di Kepulauan Tonga.

Mereka membuat laporan polis selepas menemui mayat lelaki kulit putih tersebut.

"Turut ditemui di dalam kapal itu sejumlah 204 ketulan kokain mampat dengan setiap satu seberat satu kilogram dipercayai untuk dijual di pasaran Australia," kata pemangku pengurus unit jenayah berat dan terancang, David Sharp pada satu sidang akhbar.

Rampasan besar-besaran itu kini disiasat oleh polis Tonga, Kepulauan Cooks, Australia dan Pentadbiran Penguat Kuasa Dadah Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan berkaitan, polis Tonga tidak menolak kematian tersebut mencurigakan tetapi setakat ini ia diklasifikasikan sebagai kematian misteri.

Pada akhir 2010, Polis Persekutuan Australia memberitahu, mereka telah menangkap empat lelaki di bandar raya ini berhubung komplot untuk menyeludup hampir 700 kg kokain ke negara itu melalui Tonga. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan