Sabtu, 3 November 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bayi bantu ibu bersih lantai

Posted: 02 Nov 2012 10:18 AM PDT

LONDON: Sebuah syarikat memperkenalkan pakaian unik yang membolehkan bayi 'membantu' ibu bapa mereka membersihkan rumah ketika mereka merangkak.

Syarikat itu menggabungkan baju bayi dengan pembersih lantai (mop) yang dilekatkan pada bahagian tangan dan kaki.


Dikenali sebagai Baby Mop, pakaian itu membolehkan lantai rumah digilap ketika bayi terbabit belajar merangkak. Baby Mop dijual pada harga kira-kira RM120 sepasang.

Ia adalah projek laman sesawang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), BetterThanPants.com yang diinspirasi daripada satu iklan di Jepun.


Dalam kenyataan di laman sesawang itu, syarikat terbabit secara bergurau berkata, Baby Mop akan "mendidik bayi anda mengamal etika kerja yang baik sejak kecil" ketika mereka dididik supaya tidak menyepahkan makanan di lantai.

Menurut laman sesawang BetterThanPants.com, bayi yang menggunakan Baby Mop juga "akan mendapat riadah berfaedah, membakar tenaga dan membentuk otot." "Amalan itu akan membantu bayi mendapat tidur yang lebih baik," kata syarikat itu.

Sementara itu, jurucakap BetterThanPants.com, Mike Parker, berkata kira-kira 100 pasang Baby Mop berjaya dijual dalam tempoh hanya sebulan sejak ia diperkenalkan di laman sesawang berkenaan.


"Setakat ini, maklum balas daripada pelanggan sangat positif walaupun ada sedikit e-mel negatif mengenai idea produk itu," katanya. Bahagian pembersih pada tangan dan kaki Baby Mop diperbuat daripada bahan gentian mikro yang dilekatkan secara langsung. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/03


500 kucing diselamat

Posted: 02 Nov 2012 10:17 AM PDT

NANJING: Pihak berkuasa menahan sebuah lori mengangkut lebih 500 ekor kucing yang dipercayai bakal dijadikan makanan di restoran China.

Menurut media, lori berkenaan ditahan apabila polis di Xuzhou di wilayah Jiangsu, mendapati ia dalam keadaan mencurigakan.


Jurucakap polis berkata, selepas ditahan, pemandu lori berkenaan mendakwa dia membawa arnab.

"Bagaimanapun, anggota polis terdengar bunyi kucing dari dalam lori berkenaan.


"Apabila kanvas penutup lori itu dibuka, polis mendapati ia dipenuhi sangkar lusuh dan berkarat berisi kucing," katanya.


Media melaporkan, permintaan untuk daging kucing meningkat di China, terutama di bahagian selatan negara itu. Keadaan itu menyebabkan kucing semakin mahal atau sukar ditemui di wilayah Guangdong. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/03


Tiada ulasan:

Catat Ulasan