Selasa, 18 September 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kereta ‘terbang’ rempuh rumah

Posted: 17 Sep 2012 02:04 PM PDT

LONDON: Satu kemalangan membabitkan dua kenderaan bukan saja mencemaskan orang ramai, malah turut menyebabkan mereka kehairanan.

Dalam kejadian awal pagi semalam itu, sebuah kereta Lexus berwarna perak melayang sebelum merempuh dinding bilik tidur sebuah rumah di tingkat satu yang terletak kira-kira 24 meter dari situ.


Menurut saksi, sebelum itu, pemandu kereta Lexus berkenaan terbabas sebelum merempuh sebuah kereta lain yang diletakkan di kawasan sama. Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kereta terbabit melambung dan melayang merempuh rumah berkenaan.

Rempuhan itu menyebabkan dinding tingkat atas rumah berkenaan berlubang. "Penghuni rumah itu sedang tidur apabila kereta berkenaan merempuh bangunan mereka kira-kira jam 3 pagi," katanya. Bagaimanapun, pasangan suami isteri serta dua anak mereka yang ada di situ ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.


Pemandu kereta Lexus itu pula, katanya, hanya mengalami kecederaan ringan.


"Dua lelaki yang jadi penumpang juga dihantar ke hospital kerana kecederaan ringan," katanya. Sementara itu, jurucakap polis Epsom di Surrey berkata, selain bilik tidur utama, bilik air di sebelahnya juga rosak. "Lima kereta, satu peti surat dan pagar juga rosak," katanya. Seorang jurutera struktur menyiasat tempat kejadian bagi memastikan bangunan itu selamat ketika polis menjalankan siasatan bagi mengetahui bagaimana ia boleh berlaku. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Pengguna tandas di hotel mewah terkejut aksi diperhati

Posted: 17 Sep 2012 01:56 PM PDT

NEW YORK: Ketika pelawat sebuah hotel eksklusif di New York boleh menikmati pemandangan indah dari tandas di tingkat 18 bangunan itu, keadaan yang sama tidak dirasai orang lain yang ada di sekitar kawasan berkenaan.

Pelanggan Kelab Boom Boom Boom di Hotel Standard di Manhattan dapat melihat ke luar melalui kaca yang menjadi lantai, dinding dan siling di tandasnya.


Pada masa sama, kaca itu juga membolehkan orang lain melihat aksi mereka di tandas. Keadaan itu membimbangkan sesetengah pengguna tandas kerana tiada sebarang notis diletakkan mengenai situasi berkenaan. Lebih memalukan, sesetengah aksi mereka turut dirakam orang tidak dikenali yang melihat mereka dari bawah. Pelancong dari Melbourne, Australia, David Langdon, 55, berkata melihat ke luar dari tandas itu memang menyeronokkan.

"Tetapi pemandangan di dalam tandas amat menakutkan," katanya. Menurut Langdon, dia melihat pejalan kaki melambai ke arahnya dari bawah.


Katanya, keadaan itu bukan sesuatu yang diharapkan apabila seseorang membuang air. Deretan mangkuk tandas pada dinding bilik itu dibina berhampiran dengan tingkap kaca dan ia membolehkan orang lain melihat setiap pergerakan yang ada di situ. Pemilik premis itu juga tidak memasang langsir atau bidai bagi melindungi pengguna tandas berkenaan. Menurut sumber, hotel berkenaan memang popular di kalangan selebriti.


Antara bintang yang pernah menggunakan tandas itu ialah Leonardo DiCaprio dan Cameron Diaz. Walaupun ada yang menyuarakan rasa tidak puas hati, sesetengah pengguna lain tidak keberatan aksi mereka dalam tandas menjadi tontonan. Malah, ada antara mereka sempat melambai ke arah orang lain yang melihatnya dari bawah. Pengurus hotel berkenaan pula enggan memberikan sebarang komen ketika dihubungi media. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18


Tiada ulasan:

Catat Ulasan