Jumaat, 24 Ogos 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Lelaki gigit ular tedung hingga mati

Posted:

Lelaki gigit ular tedung hingga mati

GAMBAR fail menunjukkan seekor ular tedung.


KATHMANDU - Seorang petani Nepal menggigit seekor ular tedung sehingga haiwan itu mati, kata polis semalam.

Petani itu, Mohamed Salmo Miya melakukan perbuatan itu bagi membalas dendam selepas haiwan tersebut mematuknya, lapor agensi berita AFP semalam.

Ketua polis tempatan, Uma Prasad Chatrubedi menyatakan Mohamed sedang bertani dekat kampungnya yang terletak 200 kilometer ke tenggara Kathmandu ketika dia dipatuk ular tersebut.

"Seorang petani di Kampung Bardanga telah membunuh seekor ular tedung putih dengan giginya kerana marah.

"Ular tersebut mematuknya semasa dia sedang bekerja di sawah padi miliknya pada Selasa lalu.

"Lelaki itu kemudian berlari dan membunuh ular tersebut," katanya.

Mohamed turut dirawat di sebuah klinik tempatan dan dia kini berehat di rumahnya.

"Saya berasa amat marah selepas ular itu mematuk saya. Kemudian saya mengekori haiwan itu, menangkap dan menggigitnya sehingga mati," dakwanya yang berusia 55 tahun kepada akhbar Annapurna Post.

"Saya mungkin membunuhnya dengan kayu tetapi saya menjadi 'gila' kerana marah dan mahu membalas dendam.

"Saya membunuhnya dengan gigi saya," tambahnya.

Nepal mempunyai pelbagai jenis ular berbisa dan tidak berbisa.

Salah satu ular berbisa itu dikenali sebagai ular batu India sepanjang 10 meter.

Menurut agensi berita Reuters, seorang pegawai polis, Niraj Shahi berkata, lelaki itu tidak akan didakwa membunuh ular tersebut.

Menurutnya lelaki itu tidak didakwa kerana haiwan tersebut tidak disenaraikan sebagai spesies terancam. - Agensi

Tentera Syria tawan semula kawasan Kristian

Posted:

Tentera Syria tawan semula kawasan Kristian

ASAP kelihatan dari beberapa buah bangunan semasa para pemberontak menentang tentera Syria di daerah Seif El Dawla, Aleppo kelmarin.


BEIRUT - Tentera Syria menawan semula kawasan penganut Kristian di bandar Aleppo selepas pertempuran sengit berlaku dengan para pemberontak, kata beberapa penduduk semalam.

"Kami mempunyai dua hari yang teruk dalam kehidupan kami," kata seorang isteri ahli perniagaan di bandar tersebut yang hanya dikenali sebagai Sonia.

"Jika rumah kami tidak dibina seperti kubu, kami semua telah mati," tambahnya.

Beliau tinggal di kawasan kediaman Telal yang berada semula di bawah penguasaan tentera Syria kelmarin.

Tentera Syria turut merampas kawalan daripada pemberontak di Jdeide.

Menurut beberapa penduduk, pertempuran sengit berlaku di tengah bandar Aleppo, utara Syria.

Kawasan Jdeide dan Telal kerap dikunjungi pelancong kerana ia terkenal dengan keenakan makanan di restoran dan kedai-kedai kraf tangan.

"Pertempuran pada hari Isnin dan Selasa amat sengit dan berlanjutan berjam-jam sebelum pihak tentera menghancurkan semula para pemberontak," kata seorang penduduk tempatan.

Pertempuran di Syria bermula pada Mac lalu apabila sebahagian penduduk memberontak menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad.

Lebih 18,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara pemberontak dengan tentera Syria.

Para pemberontak itu menuntut Bashar meletakkan jawatan kerana gagal melaksanakan pembaharuan politik dan hak asasi manusia. - Agensi

Mahkamah benarkan nama samaran di internet

Posted:

Mahkamah benarkan nama samaran di internet

SEOUL - Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan memutuskan undang-undang yang mengkehendaki para pengguna menggunakan nama sebenar di internet tidak menurut perlembagaan kerana ia menjejaskan hak kebebasan bersuara.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh lapan hakim semalam.

Undang-undang menggunakan nama sebenar di internet diperkenalkan lima tahun lalu.

Pelaksanaannya sebelum ini dipercayai mampu mengurangkan fitnah, penyebaran berita palsu dan komen-komen keji di Korea Selatan.

Namun, mahkamah berkata, undang-undang itu tidak menggalakkan rakyat menyuarakan pandangan kerana bimbang mereka bakal dihukum.

Menurut mahkamah, tidak terdapat bukti undang-undang berkenaan dapat membantu mengurangkan fitnah atau menyebarkan khabar angin dan maklumat palsu.

Para pengkritik pula berkata, undang-undang itu hanya membantu menyumbang kepada kecurian identiti. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan