Sabtu, 21 April 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Ideologi 'Kopimism' kian menular

Posted: 21 Apr 2012 02:50 PM PDT

Dunia

Sweden sahkan ajaran online sebagai agama, kini diterima di Amerika

STOCKHOLM: Sebuah ajaran yang kemudian diterima sebagai agama di Sweden iaitu 'Kopimism' berdasarkan kepercayaan bahawa semua orang bebas untuk menyalin dan mengedarkan semua maklumat tanpa mengambil kira hak cipta atau paten, semakin menular apabila mula diterima di Amerika Syarikat.

Pengikut 'Kopimism' percaya tindakan menyalin, berkongsi dan memperbaiki pengetahuan termasuk muzik dan maklumat lain adalah naluri semula jadi.

Budaya tertentu menyebabkan orang ramai rasa lebih selesa dan lebih menghargai kehidupan mereka. Ilmu pengetahuan juga perlu disalin tanpa dihalang undang-undang. - Isak Gerson, Pengasas Kopimism

Mereka sudah menubuhkan Gereja Kopimist dan percaya semua hal mengenai maklumat khususnya internet adalah sesuatu yang suci. Malah, gereja itu dilaporkan bergerak di 18 negara.

Mereka juga berkata, perbuatan 'salin' dan 'lekat' atau 'copy paste' adalah satu amalan universal. Berikutan itu, 'CTRL+C' dan 'CTRL+V' di papan kekunci menjadi simbol agama mereka.

"Budaya tertentu menyebabkan orang ramai rasa lebih selesa dan lebih menghargai kehidupan mereka. Ilmu pengetahuan juga perlu disalin tanpa dihalang undang-undang," kata pengasas Kopimism, Isak Gerson, 20 (kanan).

"Kita akan menjadi manusia yang lebih baik apabila berkongsi pengetahuan dan budaya bersama," katanya lagi.
Di kalangan ahli Facebook, 3,500 orang sudah memberi tanda 'like' sebagai menyokong Kopimism. Dalam manifestonya, peraturan kod perisian sumber tertutup dan perisian antilanun disamakan dengan 'perhambaan.'

Satu cawangan agama itu baru-baru ini didaftarkan di Illinois dan dalam proses diberi pengiktirafan, kata pelajar di Universiti Chicago, Christopher Carmean, 25, ketua cawangan berkenaan.

"Data mencorakkan kehidupan kita dan ia digunakan untuk menunjukkan reaksi kita. Perbuatan menyalin, mengubah suai dan berkongsi data meningkatkan kehidupan kita. Cubaan menyekatnya tidak beretika dengan kehidupan kita yang berasaskan data," katanya.

Kira-kira 450 orang sudah mendaftarkan diri dengan gereja itu dan 30 dilaporkan aktif mengamalkan penggunaan 'Ctrl+C' dan 'Ctrl+V'.

Kelahiran 'Kopimism' di Sweden tidak perlu dihairankan kerana negara itu mempunyai antara undang-undang hak cipta paling longgar di dunia.

Parti Lanun Sweden mempunyai dua kerusi di Parlimen Eropah manakala laman web 'The Pirate Bay' yang juga antara portal simpanan fail terbesar dunia masih beroperasi meskipun aktivitinya menyimpan fail diharamkan. – Agensi

Pasangan 'punk' dihukum rotan

Posted: 21 Apr 2012 02:35 PM PDT

Dunia

WANITA 'punk' lengkap berpakaian serba putih menjalani hukuman sebat di Langsa.

WANITA 'punk' lengkap berpakaian serba putih menjalani hukuman sebat di Langsa.

Pesalah antara 10 disebat kerana berjudi, peri laku tidak bermoral

LANGSA: Sepasang pengikut punk disebat sembilan kali di khalayak ramai di Aceh, satu-satunya wilayah Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam selepas ditangkap atas kesalahan melakukan hubungan seks luar nikah.

Pegawai pejabat pendakwa, Putra Masduri, berkata selain pasangan itu, sembilan lagi yang disabitkan bersalah kerana berjudi dan peri laku tidak bermoral, disebat empat hingga 12 kali.

Mereka pengikut punk. Mereka ditangkap oleh penduduk ketika melakukan hubungan seks luar nikah dan ditahan polis Syariah. - Putra Masduri, Pegawai pejabat pendakwa

Masduri berkata, pasangan 'punk' berkenaan ditemui dalam keadaan bogel oleh penduduk tempatan.

"Mereka pengikut punk. Mereka ditangkap oleh penduduk ketika melakukan hubungan seks luar nikah dan ditahan polis Syariah," katanya merujuk kepada pasangan berkenaan yang berusia 21 dan 23 tahun.

Masduri berkata, pasangan itu kerap dilihat berlegar-legar di jalan raya dengan berpakaian punk. Ketika hukuman dijalankan, kedua-duanya berpakaian serba putih.

Meskipun ditahan atas dakwaan melakukan hubungan seks luar nikah, hukuman ke atas mereka dilaksanakan ketika pihak berkuasa melancarkan usaha membanteras budaya punk di wilayah autonomi itu.
Antara langkah diambil ialah serbuan polis terhadap kafe dan taman untuk menahan remaja pengikut budaya 'punk' yang digelar sebagai penyakit sosial.

Disember lalu, lebih 60 pemuda yang mengikut budaya punk ditahan di sebuah konsert dan dipaksa mengikuti kem pemulihan moral selama 10 hari yang dikendalikan polis.

Rambut mereka dipotong atau dicukur, dan dipaksa mandi dalam tasik, memakai pakaian konservatif dan bersolat, yang mengundang kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia dan pengikut budaya itu di seluruh dunia.

Aceh, yang terletak di Sumatera, menjadi satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang Syariah pada tahun 2001 sebagai sebahagian pakej autonomi bertujuan mengawal sentimen pemisah.

Cuma penduduk Islam didakwa mengikut undang-undang Syariah walaupun komuniti bukan Islam dijangka mematuhi beberapa peraturan atas dasar hormat.

Hampir 90 peratus daripada 240 juta rakyat Indonesia beragama Islam dan majoritinya berpendirian sederhana. – Agensi

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Tiada ulasan:

Catat Ulasan