Jumaat, 2 Mac 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bai Jing mati dibunuh suami

Posted: 01 Mar 2012 10:59 AM PST

BEIJING: Aktres China Bai Jing dibunuh suaminya ekoran satu pertengkaran yang berlaku Selasa lalu di kediaman mereka di daerah Chaoyang di bandar raya ini.

Suaminya, Zhou Chenghai, 44, menikam Bai Jing sebelum membunuh diri, lapor media China.


Aktres berusia 29 tahun itu telah membintangi filem "Kung Fu Wing Chun", "Three Kingdoms: Resurrection of the Dragon" dan puluhan filem lagi, siri televisyen seperti "Legend of Xiangxi", selain drama kanak-kanak dan rancangan muzikal. Dia dipuji sebagai pengganti kepada Michelle Yeoh dan hingga kini adalah bintang kung-fu wanita China paling terkenal.

Berita kematiannya dihebah kali pertama kira-kira jam 3 petang di Sina Weibo - Twitter versi China oleh pengurus besar agensi hiburannya, Ju Chunlei.


Ju berkata, pembunuhan dan bunuh diri itu berlaku ekoran pertengkaran yang sudah lama tercetus antara pasangan itu dan kematian ibu Zhou pada 31 Januari lalu menjadi punca terakhir dalam hubungan bermasalah antara kedua-duanya.


Ju enggan memberikan maklumat lanjut tetapi menurut akhbar China, Legal Evening News, Zhou bersemuka dengan Bai selepas menerima tuntutan perceraian pagi Selasa lalu.

Petisyen perceraian itu menyatakan Bai tidak tahu mengenai perkahwinan terdahulu Zhou dan anak lelaki yang dimiliki serta menuduhnya berlaku curang.


Zhou dikatakan seorang bilionair yang memperoleh kekayaan daripada pasaran saham dan hartanah. Dia juga mempunyai seorang anak lelaki daripada perkahwinan dengan isteri pertama yang diceraikannya untuk bersama Bai. Laporan berita menyatakan Zhou melaburkan sejumlah besar wang dalam karier lakonan Bai dan mereka akhirnya berkahwin pada Oktober 2010.

Awal tahun ini, satu sumber mendakwa Bai bersubahat dengan teman lelakinya dalam plot untuk mencuri 20 juta yuan (RM9.5 juta) daripada Zhou dan mengupah pelacur untuk menggodanya supaya aktres itu dapat menuntut cerai dan memperoleh lebih banyak wang.


Khabar angin mendakwa ibu Zhou "mati akibat berang" awal tahun ini selepas mendapat tahu mengenai hal itu.


Pengarah Zhang Tongzhu yang pernah bekerja dengan Bai berkata, khabar angin itu tidak benar. Dalam fikiran saya, Bai seorang perempuan yang lurus dan rajin bekerja," katanya.



Panasonic, Fujitsu keluar telefon bimbit kalis air, habuk

Posted: 01 Mar 2012 10:56 AM PST

TOKYO: Wanita Jepun begitu sayang kepada telefon mereka sehingga mereka menggunakannya dalam bilik mandi.

Syarikat pembuat telefon bimbit berkata, keadaan itu menyebabkan pengeluaran telefon kalis air sesuatu yang mesti. Ia juga perlu mempunyai ciri yang boleh mengelak petir dan kemalangan ketika menghantar SMS dalam tandas.


Panasonic dan Fujitsu menghebahkan telefon bimbit kalis air dan habuk keluaran mereka ketika berusaha menarik pasaran luar negara di pameran telefon bimbit terbesar dunia di Barcelona, minggu ini.

"Di Jepun, anda tidak boleh menjual telefon jika ia tidak kalis air. Kira-kira 90 hingga 95 peratus telefon yang dijual sekarang adalah kalis air," kata eksekutif Panasonic, Taro Itakura pada Kongres Telefon Bimbit Dunia.


"Kenapa? Ia amat unik. Wanita muda Jepun memilih untuk menggunakan telefon bimbit mereka walaupun ketika mandi. Telefon bimbit sudah menjadi sesuatu yang mesti dimiliki," katanya.


Panasonic kini berusaha untuk memasuki pasaran Eropah selepas berundur pada 2005 untuk menumpukan kepada pasaran tempatan.

"Alasan kami mahu kembali ialah terdapat banyak perubahan dalam industrti dengan pengenalan telefon pintar yang sudah menjadi produk global. Dalam usaha untuk terus bertahan dalam industri ini sebagai pembuat, kami, Panasonic perlu kukuh dalam persaingan global," katanya.


Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada penduduk Eropah mempunyai sifat yang sama dengan rakyat Jepun, suka menggunakan telefon ketika mandi. Bagaimanapun, Itakura berkata, mereka wajar menimbang kelebihan untuk berbual ketika dalam hujan.

Sepertiga daripada kerosakan telefon berpunca daripada air, kata pakar pemasaran Panasonic untuk Eropah, Florian Sohn. - AP



Tiada ulasan:

Catat Ulasan