Jumaat, 2 Mac 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Kebencian terhadap Obama meluap

Posted: 02 Mar 2012 01:02 PM PST

Dunia

PENYIASAT Arpaio menunjukkan beberapa perkara meragukan dalam sijil lahir Obama.

PENYIASAT Arpaio menunjukkan beberapa perkara meragukan dalam sijil lahir Obama.

Syerif dakwa sijil lahir presiden AS palsu, iklan stesen kereta api guna bahasa kasar

PHOENIX: Seorang Syerif di pejabat Syerif Maricopa County, Arizona, Joe Arpaio, 80, mendakwa, siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati bahawa sijil kelahiran Presiden Barack Obama adalah palsu.

"Hasil daripada siasatan terperinci yang dijalankan kakitangan saya selama enam bulan, saya percaya bahawa sijil kelahiran Obama dicetak menggunakan komputer," katanya.

Arpaio, seorang anggota Republikan yang disifatkan sebagai syerif paling lantang bersuara, menggesa Kongres menyiasat penemuannya, termasuk undang-undang menyatakan bahawa mereka yang memalsukan dokumen melakukan dua jenayah, iaitu menghasilkan dokumen palsu dan mengemukakannya kepada umum. "Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak menuduh presiden Amerika sekarang melakukan jenayah, tetapi ada banyak persoalan yang memerlukan jawapan. Kami berhasrat meneruskan siasatan bagi mendapatkan jawapan itu," katanya.

Pada April 2011, Obama mengemukakan butiran terperinci sijil kelahirannya dalam usaha meredakan spekulasi dikalangan anggota Republikan bahawa beliau tidak dilahirkan di Amerika, syarat yang diperlukan perlembagaan untuk menyandang jawatan presiden.

Arpaio berkata, siasatan dijalankan oleh lima anggota sukarela selepas menerima permintaan daripada kumpulan pelobi politik Tea Party di kawasan Phoenix.
Rumah Putih berulang kali menafikan dakwaan bahawa Obama tidak dilahirkan di Amerika.
Sementara itu, lain pula halnya di Stesen Kereta Api Bawah Tanah Dupont Circle Metro (DC Metro Station) Washington, apabila satu papan iklan yang mengkritik program pembaruan penjagaan kesihatan Obama, diakhiri dengan kata-kata 'pergi jahanam Barack!'

"Barack Obama mahu ahli politik dan birokrat menguasai keseluruhan sistem perubatan di Amerika. Pergi jahanam Barack," kata kenyataan awal iklan itu sebelum diakhiri dengan ayat itu.

Seorang anggota Kongres Demokrat dari Virginia, Jim Moran, menulis surat kepada Pengarah Urusan Metro, menggesa beliau menurunkan iklan terbabit.

"Iklan itu menunjukkan sikap biadab terhadap presiden Amerika dan tidak dimiliki pihak berkuasa Pengangkutan Metropolitan Washington (WMATA)," katanya.

Bagaimanapun, WMATA berkata, bahasa yang digunakan di dalam iklan terbabit boleh digunakan dan dilindungi di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika yang menjamin kebebasan bersuara.

"Iklan WMATA tertakluk di bawah undang-undang forum umum dan dilindungi perlembagaan," kata pihak berkuasa Metro dalam satu kenyataan. – Reuters/AFP

Gillard kasihan sekutu Rudd

Posted: 02 Mar 2012 01:01 PM PST

Dunia

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Julia Gillard semalam memanggil seorang bekas ahli politik dan wartawan untuk menjadi Menteri Luar baru menggantikan Kevin Rudd selepas menang dalam pemilihan jawatan tertinggi Parti Buruh.

Pada masa sama, hanya seorang penyokong Rudd yang dihukum buat masa ini iaitu Robert McClelland yang disingkirkan sebagai Menteri Pengurusan Kecemasan.

"Saya membentuk satu pasukan yang akan membantu kerajaan pimpinan saya mencapai matlamat utama negara. Bob Carr akan menyertai Senat, dan akan memainkan peranan bagi Menteri Luar," kata Gillard kepada pemberita mengenai perubahan berkenaan. Rudd menyifatkan Carr, 64 sebagai 'pilihan tepat' bagi jawatan Menteri Luar meskipun sebelum ini Menteri Pertahanan, Stephen Smith, disebut pilihan utama.

"Saya mengenali Bob selama 20 tahun dan menyifatkan beliau sebagai seorang rakan yang baik," kata Rudd dalam satu kenyataan.

"Sepanjang tempoh itu beliau menunjukkan minat kukuh berterusan dalam hal ehwal antarabangsa."

Apa yang mengejutkan ialah beberapa menteri yang menyokong Rudd, termasuk Menteri Imigresen, Chris Bowen dan Menteri Sumber, Martin Fergusan meneruskan tugas kecuali McClelland.
Gillard mengambil langkah itu selepas pertelagahan meletus dalam Parti Buruh dengan menteri terpaksa memilih untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri atau Rudd.

Carr mengakui mengagumi Rudd, yang kalah dalam undian kepimpinan itu selepas hanya meraih 31 undi manakala Gillard, 73 undi.

Beliau menyatakan kesediaan untuk meminta nasihat Rudd mengenai tugasnya selepas enam tahun berehat daripada politik.

"Suara Perdana Menteri menyebabkan anda bangun daripada tidur dan apabila ditanya sama ada anda sedia menjadi Menteri Luar Australia, saya tidak sanggup menolak," katanya. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan