Utusan Online - Luar Negara |
Syria digesa laksana pembaharuan Posted: Syria digesa laksana pembaharuanBASHAR al-Assad (kiri) bersalaman dengan Sergei Lavrov di Istana Presiden di Damsyik, kelmarin. Kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan tergempar.– REUTERS DAMSYIK 8 Feb. – Para diplomat kanan Rusia semalam menggesa Presiden Syria, Bashar al-Assad melaksanakan pembaharuan semasa mengadakan mesyuarat tergempar dengan pemimpin Syria itu, di sini semalam. Gesaan itu dibuat beberapa hari selepas Rusia bersama China menyekat pelan damai anjuran Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menamatkan tindakan kekerasan oleh kerajaan Syria terhadap pemberontak. Para diplomat Rusia itu menggalakkan penyelesaian bagi menamatkan pemberontakan tanpa memaksa Assad melepaskan kuasa. Semalam, beribu-ribu penyokong kerajaan yang mengibarkan bendera menyambut baik kedatangan delegasi Rusia di ibu negara, Damsyik. Sementara itu di utara, tentera Assad terus membedil bandar raya Homs yang dikuasai penentang kerajaan. Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov tiba di sini, semalam diiringi ketua perisikan asingnya, dalam usaha untuk memajukan pelan yang akan memastikan Assad terus berkuasa, meskipun rancangan itu sudah ditolak bulat-bulat oleh ramai pemimpin pembangkang. "Jelaslah usaha untuk menghentikan keganasan perlu diiringi dengan permulaan dialog antara kuasa-kuasa politik. "Hari ini kami menerima pengesahan bahawa Presiden Syria bersedia untuk melakukan usaha ini," kata Lavrov, menurut agensi berita Rusia, ITAR-Tass. Lawatan itu juga menandakan Moscow mahu menilai sendiri situasi sebenar di Syria, dan sambutan hangat yang diterima oleh para diplomat Rusia itu daripada ribuan penyokong kerajaan dipercayai bertujuan untuk menunjukkan kedudukan Assad masih kukuh, sekurang-kurangnya di Damsyik. Moscow juga tidak mahu dilihat memberi kebebasan penuh kepada Assad untuk menghancurkan penentangnya, berikutan pengundian di Majlis Keselamatan PBB pada Sabtu lalu. Rusia dan China menggunakan kuasa veto masing-masing untuk menyekat resolusi yang disokong oleh kuasa Barat dan Arab bagi menggesa Assad melepaskan sebahagian kuasanya sebagai jalan untuk meredakan krisis yang sudah berlarutan selama 11 bulan. – AGENSI |
CIA kekal di Iraq, Afghanistan Posted: CIA kekal di Iraq, AfghanistanWASHINGTON 8 Feb. - Agensi Perisikan Pusat (CIA) akan terus memainkan peranan besar secara sulit di Iraq dan Afghanistan selepas askar konvensional Amerika Syarikat (AS) berundur dari kedua-dua negara itu. Ia adalah sebahagian daripada rancangan pentadbiran Presiden Barack Obama untuk bergantung kepada pengintip dan pasukan tentera Operasi Khas bagi melindungi kepentingan AS di dua zon perang tersebut, kata pegawai AS, semalam. Kata mereka, stesen CIA di Kabul dan Baghdad akan terus menjadi pos terbesar agensi itu di luar negara selama beberapa tahun lagi, meskipun bilangan kakitangannya tidak sebanyak dahulu ketika usaha AS untuk menumpaskan pemberontak dan menubuhkan kerajaan berwibawa mencapai kemuncak di kedua-dua negara itu. Pengunduran tentera AS dari Iraq pada Disember ini bermakna penekanan CIA di negara itu beralih kepada kegiatan pengintipan lebih tradisional iaitu memantau perkembangan dalam kerajaan Baghdad yang semakin berpecah-belah, berusaha untuk membendung aktiviti sekutu al-Qaeda dan menangkis pengaruh Iran. Di Afghanistan, CIA dijangka memainkan peranan operasi yang lebih agresif. Pegawai AS berkata, keupayaan separa tentera CIA dilihat sebagai alat untuk menggoyahkan kedudukan Taliban, melindungi kerajaan di Kabul dan memastikan lapangan terbang di Afghanistan dapat terus digunakan oleh pesawat tanpa juruterbang (drone) CIA untuk memburu saki-baki anggota al-Qaeda di Pakistan. Sewaktu Obama berusaha untuk menamatkan konflik besar-besaran selama sedekad, tugas baru CIA itu membayangkan agensi tersebut akan memainkan peranan penting dalam usaha pentadbiran beliau untuk menggunakan kuasa AS dengan lebih tersusun dan lebih fokus. Ekoran strategi tersebut, stesen CIA di Kabul, yang suatu masa dahulu mempunyai 1,000 kakitangan, dijangka meluaskan kerjasama dengan tentera Operasi Khas apabila pengunduran askar konvensional bermula. Komander Operasi Khas yang mengarahkan serangan untuk membunuh Osama bin Laden pada tahun lepas, Laksamana William McRaven membayangkan peralihan itu dalam kenyataannya di Washington, semalam. "Saya tidak ragu-ragu askar Operasi Khas adalah pasukan terakhir yang akan meninggalkan Afghanistan," kata McRaven. - AGENSI |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan