Kosmo Online - Dunia |
- Lokasi persembunyian Gaddafi diketahui
- Barang kemas Elizabeth Taylor akan dilelong
- Lapangan terbang angkasa lepas hampir siap
Lokasi persembunyian Gaddafi diketahui Posted: Lokasi persembunyian Gaddafi diketahui
TRIPOLI, Libya – Seorang jurucakap kumpulan pemberontak yang menguasai sebahagian besar Libya menyatakan, mereka mengetahui lokasi persembunyian Muammar Gaddafi. Jurucakap itu, Anis Sharif turut memberitahu semalam bahawa mereka kini menunggu masa yang sesuai untuk menangkap atau membunuh Gaddafi. Menurutnya, pemimpin berusia 69 tahun itu masih berada di Libya dan dikesan dengan menggunakan khidmat risikan manusia serta teknologi moden. Beliau enggan mendedahkan lokasi Gaddafi sedang bersembunyi tetapi memberitahu pemimpin Libya berkenaan kini bersembunyi di kawasan seluas 60 kilometer yang dikepung oleh pemberontak. "Gaddafi tidak dapat keluar," kata Anis. Katanya, pihak pemberontak yang menubuhkan majlis tentera baharu di Tripoli sedang melakukan persiapan untuk menahan atau membunuh Gaddafi. Menurut Anis, mengesan lokasi persembunyian Gaddafi itu membantu pihak pemberontak untuk memerintah Libya sepenuhnya. Sementara itu, satu konvoi bersenjata membawa beberapa pegawai yang setia kepada Gaddafi serta beberapa lori yang sarat dengan muatan emas dan wang tunai dilaporkan memasuki negara jiran Libya, Niger pada Isnin lepas. Rejim Gaddafi tumbang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu selepas kumpulan pemberontak memasuki Tripoli yang merupakan ibu kota Libya dan tempat persembunyiannya sebelum beliau melarikan diri. Pergolakan di Libya itu bermula Februari lalu dengan sejumlah penduduk berhimpun menentang kepimpinan Gaddafi di bandar Benghazi. Peperangan kemudian meletus melibatkan tentera Gaddafi dengan kumpulan pemberontak. Ketika ini, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mentadbir Libya buat sementara waktu. – Agensi | |
Barang kemas Elizabeth Taylor akan dilelong Posted: Barang kemas Elizabeth Taylor akan dilelongCINCIN berlian Elizabeth Taylor berharga RM7.4 juta hingga RM10.4 juta. NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Firma lelongan AS, Christie akan menjual koleksi penuh barang kemas milik pelakon legenda Hollywood, mendiang Elizabeth Taylor dalam satu lelongan di sini. Koleksi bernilai jutaan dolar AS tersebut yang akan dilelong pada 13 dan 14 Disember depan melibatkan tiara, rantai leher, gelang tangan dan cincin berlian. Antara barang kemas yang bakal menarik perhatian pembeli termasuk sebentuk cincin berlian seberat 33.19 karat yang dianggarkan berharga antara AS$2.5 juta (RM7.4 juta) hingga AS$3.5 juta (RM10.4 juta). Cincin tersebut dihadiahkan kepada aktres itu oleh aktor legenda Hollywood, Richard Burton yang merupakan bekas suaminya. Seutas loket bertatahkan mutiara, berlian dan delima dari abad ke-16 dikenali sebagai La Peregrina dianggarkan berharga antara AS$2 juta (RM5.9 juta) hingga A$3 juta (RM8.9 juta) akan juga dilelong. Turut akan dilelong ialah seutas rantai berlian berharga di antara AS$200,000 (RM596,800) hingga AS$300,000 (RM895,349) yang dihadiahkan oleh bekas suaminya, Mike Todd dan rantai leher berlian bertatahkan zamrud yang tidak dinyatakan harganya. Selain itu, Christie akan juga melelong sebentuk kerongsang yang dianggarkan berharga di antara AS$400,000 (RM1.19 juta) hingga AS$600,00 (RM1.7 juta), sebuah tiara berharga di antara AS$60,000 (RM178,920) hingga AS$80,000 (RM238,759) gelang tangan berharga di antara AS$12,000 (RM35,784) hingga AS$15,000 (RM44,767), seutas rantai emas gading dari kurun ke-19 yang berharga di antara AS$1,500 (RM4,476) hingga AS$2,000 (RM5,969) dan sepasang anting-anting bernilai di antara AS$100,000 (RM298,449) hingga AS$150,000 (RM447,674) serta barang kemas loket bertatahkan berharga di antara AS$70,000 (RM208,740) hingga AS$100,000 (RM298,449). Elizabeth yang meninggal dunia pada 23 Mac lalu ketika berusia 79 tahun kerana kegagalan jantungnya berfungsi telah membintangi lebih 54 buah filem sejak dia berusia seawal 12 tahun. Sepanjang hidupnya, aktres berkenaan pernah berkahwin sebanyak lapan kali termasuk dengan Burton, penyanyi Eddie Fisher, aktor Michael Wilding dan penerbit filem Michael Todd. – Agensi | |
Lapangan terbang angkasa lepas hampir siap Posted: Lapangan terbang angkasa lepas hampir siapLAKARAN artis menunjukkan sebuah lapangan terbang angkasa lepas untuk pesawat Virgin Galactic di Las Cruces, Amerika Syarikat. LAS CRUCES, Amerika Syarikat – Fasa pertama sebuah lapangan terbang angkasa lepas komersial yang pertama di dunia untuk syarikat penerbangan Virgin kini 90 peratus lengkap, lapor sebuah akhbar semalam. Tapak lapangan kapal angkasa Amerika seluas 728.43 hektar itu di Las Cruces, New Mexico, merupakan milik pemilik syarikat penerbangan Virgin, Richard Branson yang turut memiliki syarikat penerbangan angkasa lepas Virgin Galactic. Lapangan tersebut mempunyai landasan yang menjangkau hampir 3.21 kilometer dan bangunan hangar yang bercirikan futuristik. Kerja-kerja pembinaan bakal berakhir menjelang akhir tahun ini dan ia akan digunakan pada 2013. – Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan