Ahad, 25 September 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pancung gadis

Posted: 24 Sep 2011 08:17 AM PDT

BEIRUT: Seorang gadis ditemui mati dengan lehernya dipancung - dipercayai angkara ejen keselamatan kerajaan Syria, lapor media semalam.

Zainab al-Hosni, 18, didakwa menjadi mangsa perang psikologi rejim Bashar al-Assad untuk menakut-nakutkan orang awam daripada terus menyertai protes mendesak presiden itu disingkirkan.


Dinasti keluarga Bashar menguasai pemerintahan Syria secara kuku besi sejak lebih 40 tahun lalu sebelum dia berdepan penolakan majoriti penduduk Syria sejak enam bulan lalu.

Zainab dipercayai wanita pertama maut ketika dalam tahanan pasukan keselamatan Suria.


Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International, mendakwa Zainab ditahan ejen keselamatan kerajaan bagi memberi tekanan kepada abangnya yang menyertai kegiatan antikerajaan supaya menyerah diri.


Saksi berkata, keluarga aktivis antikerajaan berdepan pelbagai tekanan dan ancaman, termasuk melalui panggilan telefon dan pembunuhan - seperti dibuktikan dengan kematian Zainab.

Pejabat hak asasi PBB semalam berkata, tekanan dan serangan ke atas aktivis antikerajaan turut melewati sempadan Syria.


Jurucakap agensi itu, Ravina Shamdasani, berkata pejuang hak asasi manusia di luar negara turut menjadi sasaran.

"Kami bimbang apabila ada laporan menunjukkan keluarga aktivis antikerajaan kini turut menjadi sasaran pasukan keselamatan Syria," katanya. - AP

Parah dibelasah kerana mengadu

Posted: 24 Sep 2011 08:16 AM PDT

BEIJING: Seorang pelancong diheret dari biliknya, dibelasah sebelum ditinggalkan di tepi jalan berhampiran rumahnya selepas cuba mengetengahkan masalah dihadapi kepada kerajaan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Zhao Zhipei tiba di Beijing dari Luoyang, Henan, untuk mengadu kepada sebuah biro pengaduan awam.


Bagaimanapun, sekumpulan lelaki memecah masuk bilik disewa Zhao di sebuah hotel sebelum mengheretnya ke dalam van.

Memetik kenyataan sumber, Xinhua melaporkan, Zhao dikurung dalam van berkenaan sementara dia dibawa pulang ke kampungnya di Luoyang.


Bagaimanapun, sepanjang perjalanan itu, Zhao dibelasah sehingga pengsan sebelum dia ditinggalkan di tepi jalan tidak jauh dari rumahnya.


Beberapa akhbar tempatan turut menyiarkan gambar Zhao yang pengsan.

Mengikut sistem diamalkan sejak zaman silam, seseorang boleh mengemukakan tuntutan mengenai pelbagai isu kepada kerajaan, termasuk masalah pengambilan tanah atau salah laku polis.


Bagi membolehkan isu itu ditangani pihak berkuasa, seseorang perlu mengemukakan petisyen kepada biro pengaduan awam berkenaan.

Sesetengah orang memilih untuk mengemukakan aduan itu di Beijing supaya masalah mereka lebih cepat diatasi. Bagaimanapun, majoriti penduduk tidak gemar mereka dikaitkan dengan tuntutan itu bagi menjaga imej kawasan berkenaan.


Kejadian menimpa Zhao menimbulkan kemarahan orang ramai dan sesetengahnya menyalahkan kerajaan.


Komuniti siber berpendapat, semua pihak yang berkaitan perlu dihukum sewajarnya kerana ia bukan kali pertama berlaku.


Sementara itu, pihak berkuasa berkata, kakitangan keselamatan yang diupah biro pengaduan awam itu bertanggungjawab atas kejadian berkenaan. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan