Ahad, 25 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Gereja Jawa Tengah kena bom

Posted: 25 Sep 2011 02:53 PM PDT

Dunia

Penyerang bunuh diri maut, letupan kedengaran sejauh 500 meter

JAKARTA: Penyerang bunuh diri melakukan serangan terhadap sebuah gereja di Solo. Jawa Tengah menyebabkan kematiannya manakala 20 lagi termasuk seorang kanak-kanak cedera.

Jurucakap polis Jawa Tengah, Djihartono berkata dalam siaran radio ElShinta: Saya mengesahkan ada serangan bom bunuh diri di Gereja Bethel Injil jam 10.55 pagi.

Pengebom terbunuh dalam letupan itu, katanya. Seorang saksi, juga disiarkan radio tempatan, berkata empat orang terbunuh dalam letupan dan beberapa yang lain cedera. Penyerang berjalan kira-kira empat meter di belakang saya, kata Abraham, seorang saksi gereja kepada radio El Shinta. Laporan Associated Press menyebut sekurang-kurangnya 20 orang cedera dalam kejadian itu.

Radio El Shinta memetik polis dan saksi berkata bom itu meletup sejurus selepas selesai upacara di gereja Kepunton di bandar Solo.

Djihartono, memberitahu MetroTV bahawa letupan itu yang merosakkan sebahagian gereja, didengar sejauh 500 meter dari gereja terbabit.

Mayat mangsa, dipercayai pengebom bunuh diri, dilihat di pintu masuk gereja, kata Djihartono.
Bambang Sumartono, seorang pegawai di hospital Dr Oen, berkata 20 orang termasuk seorang kanak-kanak, dirawat di hospital, ramai mengalami cedera ringan.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Agama, Suryadharma Ali mengutuk keras pengeboman bunuh diri di gereja berkenaan dan menggesa polis menyiasat serangan itu.

Bercakap dalam satu majlis perasmian untuk pegawai Parti Pembangunan Bersatu, Suryadharma mengumumkan beliau baru saja menerima berita mengenai serangan maut itu yang dipercayai meragut empat nyawa, termasuk pengebom.

Pada jam 11 pagi ada satu pengeboman bunuh diri berlaku di sebuah gereja di Solo. Beberapa orang maut namun ia tidak pasti kerana penduduk diarahkan keluar, katanya.

Beliau menambah, pihaknya mengutuk keras keganasan itu, menyatakan pendiriannya menentang mana-mana bentuk keganasan atau pengganas agama.

Katanya beliau menjangka polis menyiasat segera serangan dan mendakwa mana-mana mereka yang bersubahat bekerja dengan pengebom.

Indonesia, yang mempunyai ramai penduduk Islam berbanding mana-mana negara di dunia, berjuang menentang pengganas sejak 2002 apabila militan dikaitkan al-Qaeda menyerang dua kelab malam di pulau Bali, mengorbankan 202 orang, kebanyakannya rakyat asing. AFP/AP/Agensi


Jepun temui beras dicemari radioaktif

Posted: 25 Sep 2011 02:51 PM PDT

Dunia

TOKYO: Jepun menemui kes pertama beras dicemari bahan radioaktif melebihi paras ditetapkan dalam satu ujian awal tanaman sebelum dituai, lapor Kementerian Perladangan baru-baru ini.

Kementerian itu memberitahu, unsur radioaktif caesium 500 becquerels (Bq) sekilogram ditemui dalam satu sampel beras sebelum dituai di bandar Nihonmatsu di daerah Fukushima, 56 kilometer ke barat loji jana kuasa nuklear Fukushima.

Loji itu lumpuh akibat gempa dan tsunami 11 Mac lalu, mencetuskan bencana nuklear terburuk dunia sejak 25 tahun lalu. Kementerian itu berkata, pihak berkuasa daerah Fukushima akan memperluas kawasan pemeriksaan hampir 10 kali ganda kepada sekitar 300 tempat.

Ia adalah kes pertama di Jepun mengenai beras mengandungi caesium melebihi 200 Bq sekilogram, tahap yang memerlukan ujian lanjut di kawasan beras yang dituai.
Satu Bq digambarkan sebagai aktiviti satu kuantiti bahan radioaktif iaitu pereputan satu nukleus sesaat. Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan