Jumaat, 30 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


AS bunuh pendakwah al-Qaeda

Posted: 30 Sep 2011 01:24 PM PDT

Dunia

 Anwar al-Awlaki

Anwar al-Awlaki

Pesawat kawalan jauh Amerika bedil kenderaan dinaiki Anwar al-Awlaqi

SANAA: Pendakwah kelahiran Amerika Syarikat yang dianggap antara pemimpin kanan al-Qaeda, Anwar al-Awlaqi, terbunuh dalam serangan pesawat kawalan jauh yang disahkan pegawai kanan Washington selepas berita kematian Awlaqi diumumkan Kementerian Pertahanan Yaman.

"Saya boleh sahkan, dia sudah mati," kata pegawai itu tanpa memberi penjelasan lanjut, mengulangi kenyataan Kementerian Pertahanan Yaman. Sumber kumpulan puak di Yaman berkata, Awlaqi yang berada dalam senarai paling dikehendaki Amerika, terbunuh dalam serangan udara ke atas dua kenderaan di wilayah Marib, kubu al-Qaeda di timur Yaman.

"Beberapa orang lain yang disyaki anggota al-Qaeda turut maut. Sumber berkata, pesawat yang melakukan serangan itu hampir pasti milik Amerika.

"Beberapa pesawat Amerika berlegar di utara selama beberapa hari. Sebuah pesawat Amerika menyerang dua kenderaan Awlaki dan beberapa orang lain bersamanya pada 9.30 pagi," kata sumber itu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Amerika dari Parti Republikan, Peter King menyifatkan pembunuhan Awlaqi sebagai kejayaan besar dalam kempen memerangi al-Qaeda dan sekutunya.
"Sejak beberapa tahun lalu, Awlaqi semakin berbahaya daripada Osama bin Laden.

"Pembunuhan Awlaqi satu kejayaan Presiden Barack Obama dan masyarakat perisikan Amerika," katanya.

Osama dibunuh komando Amerika yang menyerbu kediamannya di Abbotabad, Pakistan, 2 Mei lalu.

Satu lagi sumber tempatan berkata, ada khabar angin baru-baru ini mengatakan Awlaqi sudah berpindah ke tempat persembunyian baru.

Sejak tiga minggu lalu, dia dipercayai bersembunyi di wilayah Shabwa di selatan, sebuah lagi kubu militan.

"Tetapi, maklumat diterima mengatakan Awlaqi berada di wilayah Marib. Dia mungkin berpindah ke sana tiga minggu lalu," kata sumber itu.

Katanya lagi, anggota keselamatan Yaman semakin aktif mencari Awlaqi di Marib sejak spekulasi mengatakan dia berada di situ.

Dia berkata, Awlaqi yang berasa terancam atas usaha menahannya, pergi ke Marib minggu lalu untuk bersembunyi di kawasan al-Jawf' dekat sempadan Arab Saud-Yaman. – Agensi


Bekas kediaman Gaddafi popular

Posted: 30 Sep 2011 01:22 PM PDT

Dunia

Ramai penduduk Libya kunjungi Bab al-Aziziya lihat keadaan di dalam

TRIPOLI: Satu ketika dulu dikenali sebagai tempat yang paling digeruni dan penuh rahsia di Tripoli, kawasan kediaman bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Bab al-Aziziya kini dipenuhi rakyatnya yang mahu mengetahui apa yang ada di dalam, membuktikan perubahan besar di negara itu.

Dikelilingi tembok hijau dengan menara dan kawat berduri, kawasan seluas enam kilometer persegi di selatan pusat bandar Tripoli menjadi tempat kekuasaan Gaddafi sejak dekad lalu.

Inilah tempat yang kita selalu takuti, sebelum ini tiada sesiapa yang mahu berada di dalam. - Esra Kamel, Pelajar Tripoli

Oleh kerana terlalu ditakuti, penduduk Tripoli berkata, sesiapa melalui kawasan itu akan berhenti bercakap dan hanya memandang ke hadapan tanpa menoleh ke arah kawasan dalamannya.

Bab al-Aziziya dibom jet NATO sebagai sebahagian kempen udara Tentera Bersekutu ke atas Libya, dirampas anggota bersenjata Majlis Peralihan Nasional (NTC) selepas pertempuran pada 23 Ogos lalu.

Ketika itu, ramai yang menyangka Gaddafi berada di dalam tetapi bekas pemimpin itu tidak ditemui sehingga kini.

Sejak beberapa minggu lalu, ratusan warga Libya melawat kawasan itu setiap hari untuk meninjau apa yang ada di sebalik tembok itu.
"Inilah tempat yang kita selalu takuti, sebelum ini tiada sesiapa yang mahu berada di dalam," kata pelajar Tripoli, Esra Kamel, 22, yang melawat kawasan itu dengan ibu saudaranya.

"Kini, sesiapa saja boleh berjalan masuk. Keadaan ini memang menakjubkan bagi kami."

Dihubungkan dengan jalan serta lorong, puluhan bangunan memenuhi kawasan itu termasuk kediaman peribadi Gaddafi, hospital swasta dan perumahan untuk kumpulan pengawal peribadinya.

Sebahagian besar struktur bangunan kini musnah teruk akibat terkena tembakan kerana pertempuran sengit dan kemudian dibakar dan dirompak selepas kejatuhan Tripoli ke tangan NTC.

Dindingnya dipenuhi dengan tulisan Arab dan Inggeris yang antaranya berbunyi 'Bebaskan Libya' dan 'Gaddafi: Permainan Tamat.'

Pelawat berjalan di atas serpihan kaca, runtuhan batu dan konkrit yang bersepah, meninjau ke arah bilik gelap dan mengutip katrij bekas peluru di situ.

Buku Hijau 1975 mengandungi falsafah politik Gaddafi yang wajib dibaca rakyat Libya, koyak dan bersepah. Taman yang dipenuhi dengan pohon palma dan rumput kini bertukar serta dipenuhi lumpur. – AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan