Rabu, 21 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Singapura didesak mansuh ISA

Posted: 20 Sep 2011 04:20 PM PDT

Dunia

Bekas tahanan tuntut ikut langkah Malaysia hapus undang-undang penjajah

SINGAPURA: Sekumpulan bekas tahanan politik Singapura menuntut undang-undang era penjajahan British di republik itu yang membenarkan tindakan menahan tanpa bicara dimansuhkan selepas Malaysia terlebih dulu mengambil tindakan memansuhkan perundangan berkenaan.

Dalam satu mesej umum yang disiarkan sebuah halaman web bebas dan dilaporkan media prokerajaan semalam, 16 bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berpendapat sudah tiba masanya bagi pihak berkuasa republik itu menghapuskan undang-undang kontroversi berkenaan. "Singapura mewarisi ISA dari Malaysia. Undang-undang ini sudah wujud lebih separuh abad dan kesannya adalah merosakkan dan mencacatkan masyarakat," kata kumpulan bekas tahanan terbabit.

ISA pertama kali dilaksanakan oleh Britain selepas Perang Dunia II untuk menghadapi anggota komunis di negara yang dikenali sebagai Malaya. Perundangan itu diteruskan oleh kerajaan Singapura selepas negara itu bebas dari persekutuan Malaysia pada 1965.

ISA disifatkan oleh pengkritik di kedua-dua negara sebagai alat untuk menyekat kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, Singapura terus menolak gesaan pemansuhannya selepas Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu mengumumkan akan menghapuskan ISA.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu, Menteri Dalam Negeri Singapura, Teo Chee Hean, menyifatkan ISA masih lagi relevan bagi menghadapi ancaman golongan subversif, perkauman dan pelampau agama selain menangani pengintipan dan keganasan.

"Tiada siapa pernah ditahan hanya semata-mata kerana kepercayaan politik mereka," kata kementerian berkenaan.

Kumpulan itu, bagaimanapun, berkata: "Singapura sudah ada banyak undang-undang untuk menangani keganasan."

Kumpulan bekas tahanan ISA di Singapura yang membuat gesaan itu termasuk Chia Thye Poh, yang ditahan selama 26 tahun iaitu antara tahanan politik paling lama ditahan di dunia bersama ikon demokrasi Afrika Selatan yang juga bekas presiden, Nelson Mandela.

Chia seorang intelektual sosialis pada 1960-an yang juga ahli parlimen pembangkang yang didakwa seorang subversif komunis, dakwaan yang dinafikan keras oleh beliau.

Tujuh orang lain ditahan pada 1987 kerana didakwa terbabit dalam konspirasi komunis menentang pemimpin Singapura, Lee Kuan Yew, yang juga perdana menteri pada 1959 hinnga 1990.

Lee, 88, meletak jawatan pada Mei sebagai seorang penasihat kepada kabinet anak lelakinya, Perdana Menteri Lee Hsein Loong, berikutan satu pilihan raya umum menyaksikan parti pemerintah kehilangan enam kerusi dan memperoleh peratusan undi paling rendah iaitu 60 peratus. – AFP


Ratu Universe 2011 dituduh palsu dokumen

Posted: 20 Sep 2011 04:18 PM PDT

Dunia

Leila Lopes

Leila Lopes

BUENOS AIRES: Kemenangan wakil Angola, Leila Lopes yang dinobat Ratu Universe 2011 mungkin menjadi detik memalukan selepas dia dituduh menipu untuk menyertai pertandingan itu.

Lopes yang memenangi gelaran ratu di England, dituduh memalsukan dokumen untuk menyertai pertandingan itu.

Menurut penerbitan Argentina, Infobae, Lopes dibenarkan menyertai pertandingan Miss Angola untuk warga Angola yang menetap di United Kingdom. Bagaimanapun menurut laporan media berkenaan, Lopes tidak pernah tinggal di luar Angola.

Infobae mendakwa, lelaki dikenali sebagai Charles Mukano mengubah dokumen menjadikan Lopes penuntut pengurusan perniagaan di Universiti Britain yang melayakkan dia menyertai pertandingan Miss Angola.

Malah, media Argentina itu turut memetik laporan media Angola yang menuduh Mukano berkemungkinan merasuah juri di England untuk membantu kemenangan Lopes.

Laporan AOL Latino pula menyatakan, pegawai pertandingan Ratu Universe menafikan bahawa mereka mengenali Mukano.
Majalah itu turut menerima komen daripada pegawai Ratu Universe berkenaan khabar angin mengenai tuduhan terhadap Lopes.

"Kami turut mendengar khabar angin bahawa ibu bapanya berasal dari Cuba dan kebolehannya berbahasa Sepanyol, juga palsu," kata penganjur. – Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan