Rabu, 29 Jun 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


21 terbunuh serangan hotel di Kabul

Posted: 29 Jun 2011 10:08 AM PDT

Dunia

Komando Afghanistan dibantu helikopter NATO bertempur dengan 9 lelaki bersenjata

KABUL: Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh, apabila sembilan pejuang Taliban lengkap bersenjata, menyerbu sebuah hotel utama di Kabul, sebelum bertempur selama beberapa jam dengan anggota komando Afghanistan yang dibantu helikopter Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam.

Ketua Polis Kabul, Ayub Salangi berkata dalam kejadian itu, sembilan orang awam kebanyakannya pekerja hotel dan dua pegawai polis antara yang terbunuh manakala 18 yang lain cedera. Beliau berkata, semua sembilan penyerang terbabit terbunuh selepas mereka menyerbu Hotel Intercontinental yang sering menerima tetamu daripada kalangan pegawai asing dan Afghanistan lewat kelmarin.

Saksi berkata, bunyi tembakan senjata api jelas kedengaran ketika kejadian, manakala sebahagian daripada bangunan hotel itu terbakar.

"Selepas beberapa letupan, penyerang memasuki hotel dan menuju ke dewan besar.

"Ada di antara mereka membawa pembesar suara yang membunyikan lagu perang Taliban dan menembak sesiapa saja yang mereka lihat kelibat mereka.
"Penghuni hotel di tingkat tiga dan dua melompat keluar untuk menyelamatkan diri," kata seorang penyambut tetamu.

Hotel milik kerajaan yang dibina pada 1960-an itu tidak mempunyai kaitan dengan rangkaian Hotel Intercontinental antarabangsa, menempatkan delegasi yang menghadiri persidangan keselamatan Afghanistan, manakala satu majlis perkahwinan meriah sedang diadakan ketika serangan berlaku.

"Sembilan pengganas bersenjata menyerang hotel Intercontinental, kira-kira jam 11 malam tadi (waktu tempatan).

"Operasi berakhir kira-kira jam 3 pagi selepas semua pengganas dibunuh," kata kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan.

Antara tetamu di hotel berkenaan termasuk pegawai kerajaan dari seluruh negara yang berada di Kabul bagi menghadiri persidangan mengenai penyerahan kuasa tentera asing kepada pasukan keselamatan Afghanistan.

Proses dijadual bermula bulan depan.

Penghuni hotel yang panik diminta bersembunyi di bilik masing-masing, selepas penyerang yang dipercayai memakai jaket kalis peluru, membawa mesingan dan pelancar roket, berjaya melepasi kawalan keselamatan.

Jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), Mejar Tim James, berkata pihaknya menghantar sebuah helikopter selepas mendapat permintaan pihak berkuasa Afghanistan.

"Ia terbang rendah di bumbung hotel dan berlegar beberapa kali. Anggota kami dapat mengenal pasti dengan jelas sekumpulan pemisah yang bersenjata dan memakai jaket kalis peluru lalu melepaskan tembakan menggunakan senjata kecil.

"Kami mendapat laporan beberapa letupan berlaku mungkin berpunca daripada pemisah yang meletupkan bom di tubuh mereka atau tembakan yang dilepaskan dari helikopter," katanya.

Sementara itu jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengaku kumpulan itu bertanggungjawab ke atas serangan yang dilakukan di hotel itu.

Beliau mendakwa militan berjaya menawan hotel dan membunuh 50 tetamu termasuk pegawai kerajaan dan asing, malah menahan 300 lagi sebagai tebusan.

Laporan itu bgagaimanapun tidak dapat disahkan. – AFP/Reuters

INFO
KRONOLOGI SERANGAN

  • Lima penyerang bersenjata dan empat pengebom bunuh diri menyerbu masuk Hotel Intercontinental.
  • Taliban mengaku terbabit dalam serangan nekad di tengah-tengah Kabul itu
  • Helikopter NATO menembak ke arah penyerang yang berada di bumbung hotel Intercontinental.
  • Semua sembilan penyerang terbunuh dalam operasi.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Iran uji misil bawa bom nuklear

Posted: 29 Jun 2011 10:06 AM PDT

Dunia

ANTARA satu daripada  14 misil yang dilancarkan Iran dalam satu latihan, baru-baru ini.

ANTARA satu daripada 14 misil yang dilancarkan Iran dalam satu latihan, baru-baru ini.

Peluru berpandu mampu sasar Israel

LONDON: Iran dilaporkan sudah melaksanakan ujian rahsia peluru berpandu yang boleh membawa bom nuklear yang menurut Setiausaha Pertahanan Britain, William Hague, satu tindakan yang melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kenyataan Hague itu dibuat sehari selepas pasukan elit, Pengawal Revolusi Iran berkata, ia berjaya melancarkan 14 misil dalam satu latihan, antara satu daripadanya berupaya menyasarkan Israel atau kemudahan Amerika Syarikat di perairan Teluk. Dalam satu kenyataan kepada Ahli Parlimen, Hague berkata: "Iran sudah melaksanakan ujian rahsia misil balistik dan pelancaran roket, termasuk menguji misil yang boleh membawa bom nuklear, sekali gus melanggar resolusi PBB 1929."

Beliau berkata, Iran juga sudah mengumumkan rancangannya untuk meningkatkan tiga kali ganda keupayaannya mengeluarkan uranium diperkayakan 20 peratus.

"Paras ini lebih tinggi daripada keperluan penggunaan kuasa nuklear secara aman. Kami akan meneruskan tekanan terhadap Teheran agar duduk berunding berhubung program nuklearnya," katanya.

Kelmarin jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Victoria Nuland, berkata Iran bertindak bongkak berhubung asetnya, tetapi tidak menyatakan sama ada Washington berpendapat misil itu boleh membawa bom nuklear.
Program misil Iran yang dikawal Pengawal Revolusi dan program angkasa lepas negara Teluk membimbangkan negara Barat.

Negara Barat mencurigai kenyataan Iran bahawa program nuklearnya untuk kegunaan awam, sebaliknya mendakwa ia sebenarnya untuk membangunkan senjata nuklear. – AFP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan