Utusan Online - Luar Negara |
Spratly: Filipina kemuka bantahan Posted: Spratly: Filipina kemuka bantahan
MANILA 14 April – Filipina mengemukakan bantahan rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung tuntutan China terhadap Kepulauan Spratly dan perairan sekitarnya di Laut China Selatan. China, baru-baru ini mengulangi tuntutan eksklusifnya ke atas semua kawasan yang dipertikaikan serta perairan di sekitarnya, sebahagian besar daripadanya berada hampir dengan kawasan darat Filipina dari bumi China. Kontroversi terbaru dalam pertikaian multilateral selama berdekad-dekad itu tertumpu kepada nota rasmi yang dihantar oleh China kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pada 2009 untuk menyatakan asas tuntutannya, kata jurucakap Kementerian Luar, Ed Malaya, hari ini. Satu salinan nota bantahan yang dikemukakan oleh Manila kepada PBB pada 5 April lalu menyebut, nota rasmi yang dihantar oleh China kepada PBB adalah reaksi terhadap surat-surat yang dikirim oleh Malaysia dan Vietnam kepada PBB bagi menggariskan tuntutan masing-masing. "Benar, kami boleh mengesahkan Filipina memfailkan nota bantahan kepada PBB dengan menyatakan pendirian kami berhubung garisan sembilan titik," katanya kepada AFP, merujuk kepada sebuah peta yang menggariskan tuntutan China dan dilampirkan pada surat Beijing itu. Filipina dan China, bersama-sama Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam menuntut seluruh atau sebahagian Kepulauan Spratly yang dipercayai kaya dengan sumber galian. Manila pada bulan lepas menyuarakan aduan bahawa bot peronda China mengganggu sebuah bot cari gali minyak Filipina di perairan yang mencetuskan pertikaian dekat Kepulauan Spratly. Filipina kemudian mengumumkan rancangan untuk menjalankan operasi cari gali minyak di Laut China Selatan dan menaikkan taraf sebuah lapangan terbang kecil tentera di Pulau Thitu, pulau terbesar daripada tujuh pulau Spratly yang diduduki Filipina. Filipina menuntut lebih 50 pulau di kepulauan tersebut.– AFP | ||
Mubarak dihadap ke mahkamah Selasa ini Posted: Mubarak dihadap ke mahkamah Selasa iniKAHERAH 14 April – Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak serta dua anak lelakinya, Gamal dan Alaa akan dihadapkan ke mahkamah di sini pada Selasa depan berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa. Peguam Negara, Abdel Maguid Mahmoud semalam mengarahkan ketiga-tiga beranak itu ditahan selama 15 hari untuk disoal siasat berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa, menggelapkan dana kerajaan dan mengarahkan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan. Berita mengenai penahanan tiga beranak itu meredakan sedikit kemarahan penunjuk perasaan yang menuntut para jeneral yang memerintah negara ini supaya membawa Mubarak ke muka pengadilan. Mubarak berundur pada 11 Februari lalu berikutan pemberontakan rakyat selama 18 hari yang meragut lebih 380 nyawa. Mubarak, 82, disoal siasat, kelmarin sebelum dibawa ke unit rawatan rapi di sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el- Sheikh kerana serangan jantung. Seorang doktor yang dilantik oleh badan kehakiman memeriksa Mubarak untuk memastikan sama ada beliau boleh dipindahkan ke hospital lain, kata sumber perubatan. Bagaimanapun sumber keselamatan berkata, Mubarak dijangka terus ditahan di Sharm el-Sheikh atas sebab-sebab keselamatan. Seorang saintis politik dan aktivis pembaharuan, Hassan Nafaa menyifatkan penahanan Mubarak sebagai langkah penting ke arah membawa beliau ke muka pengadilan dan menamatkan spekulasi bahawa kerajaan dan tentera masih bersekongkol dengan bekas Presiden itu. Ratusan ribu rakyat Mesir menunjuk perasaan di Dataran Tahrir di Kaherah pada Jumaat lalu bagi membantah kelewatan membicarakan Mubarak dan membidas Fil Marsyal Mohamed Hussein Tantawi, ketua Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata yang menjadi Menteri Pertahanan selama 20 tahun semasa pemerintahan Mubarak. Aktivis pembaharuan berkata, mereka menangguhkan rancangan untuk mengadakan protes esok kerana mahu mengambil sikap tunggu dan lihat sama ada perbicaraan Mubarak akan diadakan segera atau tidak. "Tentera tunduk kepada tekanan rakyat supaya Mubarak dan keluarganya dibawa ke muka pengadilan," kata seorang penganalisis politik, Fahmy Hueidi. – Reuters Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan