Rabu, 6 April 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Mussa tua, sakit: Saif

Posted: 05 Apr 2011 10:05 AM PDT

LONDON: Saif al-Islam, anak pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam menyifatkan Menteri Luar negara itu, Mussa Kussa sebagai 'lelaki tua dan sakit.' Menurutnya, beliau tidak merasakan dikhianati oleh tindakan Mussa berpaling tadah ke Britain.

"Beliau (Mussa Kussa) berkata: 'Saya kini dalam senarai mereka yang dilarang terbang tetapi saya perlu menjalani rawatan setiap tiga bulan di Hospital Cromwell di London. Jika saya boleh dapat kebenaran, saya mahu ke sana.' "Kami benarkan dia ke Djerba di Tunisia. Tidak ada apa masalah dengan perkara itu," kata Saif dalam wawancara dengan televisyen BBC.


Apabila ditanya sama ada ketibaan mengejut Mussa di London minggu lalu ketika Libya menjadi sasaran pengeboman tentera bersekutu, satu bentuk pengkhianatan, Saif berkata: "Tidak. Dia sudah sakit dan tua." Anak pemimpin Libya itu berkata, kempen pengeboman tentera bersekutu untuk menguatkuasakan ketetapan PBB menyebabkan rakyat negara itu berdepan dengan tekanan psikologi.

"Apa yang boleh anda lakukan. Anda perlu menerima hakikat. Ia satu peperangan. Libya sedang berperang," kata Saif.


Beliau yakin Mussa akan memberitahu pegawai Britain pelbagai 'cerita lucu' dalam usaha mendapatkan perlindungan bagi mengelak daripada didakwa.


Pegawai Scotland yang menyiasat pengeboman pesawat di ruang angkasa Lockerbie pada 1988 bercadang menyoal siasat Mussa beberapa hari lagi.

Sebagai pemimpin kanan dalam rejim Gaddafi ketika itu, Mussa disyaki terbabit dalam pengeboman pesawat Pan Am yang menyebabkan 270 penumpang terbunuh. Saif yang tidak kelihatan di tempat awam sejak kempen serangan udara bermula 19 Mac lalu, muncul seketika di sebuah hotel di Tripoli untuk wawancara itu. — AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gaddafi tiada wanita simpanan

Posted: 05 Apr 2011 10:03 AM PDT

MOSCOW: Seorang jururawat warga Ukraine yang pernah merawat pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam menyangkal khabar angin kononnya Gaddafi menjadikan jururawatnya sebagai wanita simpanan.

Oksana Balinskaya, dalam wawancara dengan akhbar Komsomoslkaya Pravda berkata, lelaki yang mereka gelar 'Papa' itu menghadiahkan kakitangannya jam emas setiap tahun.


Oksana menafikan khabar angin yang disiarkan WikiLeaks kononnya Gaddafi mempunyai seorang jururawat yang dijadikan wanita simpanan bernama Galyna Kolotnytska.

"Galyna mempunyai tugas yang sama dengan jururawat lain. Terdapat lima jururawat tetapi dia yang paling berpengalaman. Dia sudah bekerja lapan tahun dengan Gaddafi dan boleh bercakap bahasa Arab.


"Apa yang mereka tulis mengenai Galyna Kolotnytska adalah rekaan semata-mata," katanya.


Oksana bergambar dengan jam yang dihiasi dengan potret Gaddafi dan berkata, pemimpin Libya itu menghadiahkan kakitangannya jam emas buatan Itali pada setiap ulang tahun beliau mengambil alih kuasa.

Oksana menyifatkan Gaddafi sebagai pemurah dan mengarahkan mereka diberi elaun ketika melawat New York supaya mereka boleh membeli-belah. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan