Selasa, 15 Mac 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Siap sedia hadapi ancaman nuklear

Posted: 15 Mar 2011 01:02 PM PDT

Dunia

Penduduk bergegas beli barang keperluan, cara PM tangani krisis berganda dikecam

TOKYO: Walaupun digesa kekal tenang oleh Perdana Menteri Naoto Kan, penduduk tetap bergegas ke kedai untuk membeli barang keperluan bagi bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana nuklear.

Di pusat beli-belah Don Quixote, sebuah kedai 24 jam yang menjual barangan keperluan di daerah Roppongi di Tokyo, produk seperti radio, lampu suluh, lilin dan beg tidur habis dijual. Beberapa kedutaan menasihatkan kakitangan dan rakyat masing-masing untuk meninggalkan kawasan terjejas radiasi dan daerah yang musnah akibat gempa bumi magnitud 9 (dinaikkan daripada 8.9 semalam) dan tsunami Jumaat lalu yang mungkin mengorbankan sehingga 6,000 nyawa.

Pelancong juga didapati memendekkan cuti masing-masing dan syarikat antarabangsa menggesa kakitangan masing-masing untuk berpindah atau merancang memindahkan pejabat ke kawasan di luar Tokyo.

"Saya takut, saya terlalu takut dan berasa berada dalam puting beliung," kata Lucy Niver,10 dari Egan, Minnesota, yang sedang bercuti bersama keluarganya di Tokyo ketika gempa bumi dan tsunami melanda.

"Saya mahu balik," katanya lagi.
Media Jepun semakin kritikal terhadap cara Kan menangani krisis berganda ini dan mengecam Tokyo Electric Power Co (TEPCO) - pengendali loji nuklear Fukushima Daiichi - kerana gagal memberi maklumat yang memadai berhubung masalah di loji berkenaan yang lumpuh akibat gempa bumi.

Kan juga membidas TEPCO kerana mengambil masa terlalu lama untuk memaklumkan pejabat beliau berhubung letupan terbaru yang menyebabkan pengeluaran radiasi ke udara sehingga merebak sejauh 170 kilometer ke Tokyo semalam.

"Apa yang sebenarnya berlaku (di loji itu)?" agensi berita Kyodo memetik beliau sebagai berkata.

"Televisyen melaporkan letupan ketiga berlaku pagi semalam tetapi pejabat perdana menteri hanya dimaklumkan sejam kemudian," kata Kan.

Sejak ia rosak akibat gempa bumi Jumaat lalu, loji nuklear berusia 40 tahun itu mengalami empat letupan, dengan letupan terbaru berlaku terhadap reaktor dua dan empat.

Pihak berkuasa bimbang kebocoran akan berlaku menyebabkan bencana nuklear seperti Chernobyl di Ukraine pada 1986 yang menyaksikan kawasan sekeliling dicemari radiasi. - Agensi


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

2 letupan baru di loji nuklear Fukushima

Posted: 15 Mar 2011 01:02 PM PDT

Dunia

Reaktor No. 3  di loji nuklear Fukushima Daiichi terbakar akibat gempa bumi Jumaat lalu.

Reaktor No. 3 di loji nuklear Fukushima Daiichi terbakar akibat gempa bumi Jumaat lalu.

TOKYO: Loji nuklear Fukushima Daiichi yang lumpuh berikutan gempa bumi mengalami kebocoran radiasi yang serius semalam berikutan dua letupan baru dan satu kebakaran ketika kakitangan di tapak berkenaan bertungkus lumus mengelak kebocoran.

Krisis nuklear terbesar negara itu semakin buruk setiap hari berikutan empat daripada enam reaktor di loji nuklear Fukushima mengalami letupan hidrogen sejak gempa bumi melanda wilayah Tohoku Jumaat lalu.

Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) mengarahkan 800 kakitangannya berpindah dari loji terbabit tetapi meninggalkan 50 yang lain untuk mengepam air laut ke reaktor dalam usaha yang disifatkan terdesak untuk menyejukkan tiga daripada empat reaktor dan berusaha untuk mengelak pembocoran teras. Dalam satu taklimat malam kelmarin, Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano mengakui adanya risiko tiga daripada empat reaktor terjejas itu boleh mengalami kebocoran. Namun Kazuhiko Maekawa, profesor madya di Universiti Tokyo semalam berkata walaupun senario ini mungkin berlaku, sekurang-kurangnya pada masa sekarang, ia adalah berbeza dengan kebocoran teras di Chernobyl pada 1986 di Ukraine yang membabitkan letupan nuklear berskala besar.

Walaupun kebocoran berlaku, ia masih dalam keadaan cecair, kata Maekawa. Jika reaktor utama tidak musnah secara keseluruhan, bahan radioaktif membawa maut masih kekal dalam kawasan reaktor, katanya.

"Dalam insiden di Chernobyl, letupan merebak bahan nuklear yang mengandungi debuan maut dan mencemarkan kebanyakan penduduk," kata Maekawa, seorang kaunselor Persatuan Penyelidikan Keselamatan Nuklear, menolak satu letupan seumpama itu di Fukushima.

"Jika anda berjaya menghalang kebocoran, kemungkinan pencemaran radioaktif berskala besar adalah rendah. Penduduk tempatan perlu terus tenang dan tidak panik," katanya. – Agensi


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan