Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Mesir terus bergolak
KAHERAH 3 Feb. – Keadaan di Mesir semakin meruncing dengan lima orang dilaporkan terbunuh, apabila penyokong Presiden Mesir, Hosni Mubarak melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan di Dataran Tahrir awal hari ini. Tunjuk perasaan aman di negara ini sejak beberapa hari lalu bertukar ganas, sejak semalam apabila kira-kira 3,000 penyokong Mubarak yang dipercayai terdiri daripada polis berpakaian biasa menggempur penunjuk perasaan anti-kerajaan di Dataran Tahrir dan di beberapa bandar lain di Mesir. Jumlah penyokong Mubarak ada yang menyatakan hampir 20,000 orang menaiki kuda dan unta bertindak memukul penunjuk perasaan anti-kerajaan dengan kayu dan besi dan sebahagian lagi melempar bom api ke arah penunjuk perasaan dari atas bangunan di Dataran Tahrir menyebabkan dua terkorban dan ramai yang lain cedera. Angka korban terbaru hari ini akibat pertempuran yang menggegarkan tengah Kaherah dalam tempoh 24 jam lalu kini meningkat kepada tujuh orang dan sekurang-kurangnya 305 orang terbunuh sejak protes tercetus 25 Januari lalu dengan hampir 4,000 lagi cedera. Kejadian dilaporkan berlaku awal pagi apabila penyokong Mubarak dipercayai melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan anti-kerajaan bagi menimbulkan ketakutan di kalangan penunjuk perasaan. "Kesemua mereka terbunuh akibat tembakan termasuk seorang yang ditembak di kepala," kata Dr. Mohammed Ismail di sebuah klinik sementara di Dataran Abdulmenem Riad, bersebelahan Dataran Tahrir. Seorang lagi pakar perubatan yang merawat mereka yang cedera dalam pertempuran, Dr. Amr Bahaa sebelum itu melaporkan beliau menerima ramai penunjuk perasaan yang terkena tembakan. "Kebanyakan mangsa tiba dalam tempoh tiga jam lalu, ramai dengan luka terkena tembakan," katanya awal pagi ini, dengan menganggarkan jumlah yang cedera sejak semalam melebihi 1,000 orang. Saksi berkata, ramai penunjuk perasaan yang cedera akibat tembakan dari Jambatan Oktober, di mana penyokong Presiden Hosni Mubarak berhimpun. Menteri Kesihatan, Ahmed Hosni Farid berkata, tiga orang terbunuh dan 639 lagi cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan yang menyokong dan menentang Mubarak di tengah Kaherah. Pertempuran itu meletus apabila penyokong Mubarak menggempur Dataran Tahrir petang semalam dipercayai dalam usaha untuk menamatkan protes yang menuntut peletakan jawatan Presiden itu. Bunyi tembakan kedengaran dari semasa ke semasa mulai sekitar 4 pagi ini (10 pagi waktu Malaysia) dan berlarutan selama dua jam, manakala beberapa kereta kebal tentera yang ditempatkan di dataran tersebut kelihatan beralih dari kedudukan masing-masing tanpa meninggalkan kawasan itu. "Pertempuran bermula pada 4 pagi. Anggota polis berpakaian awam melepaskan tembakan dari Jambatan Oktober," kata seorang saksi di hospital Kasr El-Aini di mana banyak ambulans tiba. – Agensi | ||
Kerajaan cetus keganasan - White House Posted: Kerajaan cetus keganasan - White HouseWASHINGTON 3 Feb. - White House semalam membangkitkan kemungkinan kerajaan Mesir mencetuskan keganasan yang sedang memuncak di Kaherah semalam apabila puak yang menyokong Presiden Hosni Mubarak melakukan pertempuran. Jurucakap White House, Robert Gibbs juga mengulangi gesaan Presiden Barack Obama supaya peralihan kuasa yang teratur dimulakan 'sekarang'. "Sudah tentulah jika keganasan itu dicetuskan oleh kerajaan, ia perlu dihentikan segera," kata Gibbs. Pentadbiran Obama turut menghubungi ketua tentera Mesir, untuk menekankan keperluan ketenteraman dipulihkan di Kaherah sambil memuji peranan utama yang boleh dimainkan oleh tentera dalam menyelesaikan krisis itu. Gibbs tidak menggesa Mubarak meletakkan jawatan dengan segera tetapi katanya, peralihan kuasa mesti bermula serta-merta. Ketika ditanya sama ada White House boleh menerima Mubarak meneruskan perkhidmatannya sehingga September ini, Gibbs berkata, beliau enggan membincangkan butir perbualan Obama dengan Presiden Mesir itu. Namun, Senator John McCain yang menemui Obama di White House berkata, sudah tiba masanya untuk Mubarak berundur. "Situasi yang semakin buruk di Mesir mendorong saya membuat kesimpulan Presiden Mubarak perlu berundur dan melepaskan kuasa," kata McCain, anggota kanan Parti Republikan dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata di Senat, dalam satu kenyataan. - Reuters |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan