Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Pungutan suara selatan SudanJUBA 9 Jan. - Berjuta-juta penduduk di selatan Sudan mula mengundi hari ini dalam satu pungutan suara yang dijadual berlangsung selama seminggu bagi memutuskan sama ada mereka hendak merdeka atau terus berada di bawah pemerintahan Khartoum. Namun, pengutan suara itu dijangka membawa perpecahan kepada negara terbesar di Afrika ini serta penubuhan negara terbaru di dunia yang juga akan menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-193. Presiden selatan Sudan, Salva Kiir mengisytiharkan pengundian itu sebagai 'detik bersejarah' untuk penduduknya apabila beliau menjadi antara yang paling awal mengundi di ibu kota wilayah, Juba semasa pusat pengundian dibuka pada pukul 8 pagi (1 petang waktu Malaysia). Beribu-ribu penduduk selatan Sudan berbaris sejak malam tadi untuk menjadi kelompok awal menunaikan hak bagi menentukan sama ada wilayah miskin di selatan Sudan itu patut berpisah daripada pemerintahan pusat di Khartoum. "Inilah detik bersejarah yang sudah lama dinanti-nantikan oleh penduduk di selatan Sudan," kata Kiir, sambil menunjukkan jarinya yang mempunyai kesan dakwat untuk membuktikan beliau sudah mengundi. Duta-duta Amerika Syarikat (AS), Scott Gration dan John Kerry serta bintang Hollywood, George Clooney memerhatikan Kiir mengundi di sebuah pusat pengundian yang didirikan di tugu peringatan pemimpin pemberontak, John Garang di sini. Pusat pengundian dijadual ditutup pada 5 petang (10 malam waktu Malaysia), pada hari pertama pungutan suara selama seminggu yang menjadi tunjang perjanjian damai utara-selatan 2005 bagi menamatkan konflik paling lama di Afrika. Kerry bersama-sama Gration giat menjalankan kempen diplomasi selama berbulan-bulan bagi membolehkan pengundian bersejarah itu diadakan, menyifatkan pungutan suara itu sebagai 'babak baru' bagi Sudan. Kiir memberitahu penduduk di selatan menjelang pengundian itu bahawa tidak ada alternatif melainkan hidup secara aman dengan penduduk di utara. "Pungutan suara ini bukan menandakan berakhirnya perjalanan tetapi permulaan satu perjalanan baru," katanya merujuk kepada tempoh peralihan enam bulan sebelum pengiktirafan sebagai sebuah negara merdeka, seperti diperuntukkan oleh perjanjian damai 2005. Presiden Sudan, Omar al-Bashir telah memberi jaminan, beliau akan menghormati keputusan pungutan suara jika pengundian itu 'bebas dan telus'. - AFP | ||
Tentera Israel tembak mati pemuda Palestin Posted: Tentera Israel tembak mati pemuda Palestin
NABLUS 9 Jan. - Tentera Israel menembak mati seorang pemuda Palestin semalam semasa dia berlari ke arah satu sekatan jalan di Tebing Barat sambil melaungkan takbir. Sementara itu, satu tembakan mortar yang dilepaskan dari Genting Gaza mencederakan dua pekerja warga Thailand di selatan Israel. Saksi Palestin berkata, pemuda berkenaan, Khaldun Samudi, 23, terkena beberapa tembakan ketika dia berlari ke arah sekatan jalan yang didirikan oleh askar Israel di timur Nablus, sambil melaungkan 'Allahuakbar'. Samudi ialah anggota pertubuhan pejuang Palestin, Jihad Islam di bandar Jenin, utara Tebing Barat dan dia merupakan rakyat Palestin keempat yang dibunuh oleh tentera Israel di wilayah Palestin dalam tempoh seminggu. Tentera Israel mendakwa askar menembak mati Samudi semasa dia berlari ke arah sekatan jalan dengan 'membawa dua bahan letupan dan sebilah pisau'. Pemuda Palestin itu berlari ke arah sekatan jalan selepas turun dari sebuah teksi, kata seorang jurucakap tentera. Pihak Berkuasa Palestin (PA) pimpinan Presiden Mahmoud Abbas berkata, insiden tembakan semalam dan insiden lain seumpamanya 'berpunca secara langsung daripada tindakan Israel menduduki wilayah Palestin secara kekerasan'. "Tidak ada nilai Israel menyuarakan perasaan kesal sedangkan sikap tidak mengendahkan nyawa penduduk Palestin sudah menjadi perkara biasa," kata PA dalam satu kenyataan. Pada 2 Januari lalu, seorang lelaki Palestin ditembak mati di sekatan jalan yang sama. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan