Kosmo Online - Dunia |
- Presiden China berbalah pendapat dengan Obama
- India tak bayar kontraktor Sukan Komanwel
- Bursa Saham Dhaka cipta kejatuhan terpantas
Presiden China berbalah pendapat dengan Obama Posted: Presiden China berbalah pendapat dengan ObamaBARACK OBAMA (kanan) meraikan ketibaan Hu Jintao yang menghadiri jamuan makan malam di White House kelmarin. WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan rakan sejawatannya dari China, Hu Jintao berbalah berhubung hak asasi manusia. Jintao tidak berkongsi definisi Obama mengenai hak asasi manusia sejagat semasa mereka bertemu di White House kelmarin. Pertemuan itu dibuat susulan lawatan Jintao ke AS. Sebelum perbalahan itu, bunyi trumpet dan tembakan meriam 21 das bergema di Washington semasa Jintao tiba di White House yang dihiasi dengan bendera AS serta China. Bagaimanapun, pada satu sidang akhbar, terdapat tanda-tanda kedua-dua pemimpin itu gagal mencapai persetujuan berhubung nilai mata wang China, yuan, akses untuk memasuki pasaran China atau isu-isu strategi lain. Walaupun tidak mencapai persetujuan, kedua-dua pemimpin berjanji akan meningkatkan kerjasama dalam isu-isu dunia yang menjadi keutamaan. Obama pula menyambut baik kebangkitan China sebagai kuasa utama dan memandang ke hadapan satu era persaingan yang sihat. Presiden AS turut mengemukakan perbezaan AS dengan China. Obama mendesak untuk kebaikan firma-firma AS dengan menyatakan mata wang yuan di bawah nilai dan menggalakkan dialog dengan wakil pemimpin Tibet dalam buangan, Dalai Lama. Presiden AS mengakui China mempunyai satu sistem politik yang berbeza dengan AS tetapi Obama menyatakan beliau tidak akan mengelak daripada membangkitkan isu-isu hak asasi manusia. "Kami mempunyai beberapa pandangan keras sebagai rakyat Amerika mengenai beberapa hak asasi manusia sejagat, kebebasan berucap, kebebasan beragama, kebebasan berhimpun yang kami anggap amat penting dan mengatasi budaya," kata Obama. Seorang pegawai kanan AS kemudian menyatakan, Obama secara peribadinya membangkitkan isu mengenai pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Liu Xiaobo yang dipenjarakan sejak 2009 berhubung dakwaan subversif. Namun, pegawai tersebut tidak memberitahu reaksi Jintao berhubung isu Xiaobo itu. Dalam sidang akhbar kelmarin, Jintao berkata, China membuat perkembangan yang besar mengenai hak asasi manusia tetapi menyatakan beliau berada dalam sebuah negara yang besar dengan masalah sosial dan ekonomi. "Kami percaya bahawa kami perlu mengambil perkiraan perbezaan keadaan negara apabila ia melibatkan nilai-nilai sejagat hak asasi manusia," katanya. Dalam makan malam yang dihoskan Obama untuk Jintao di White House, beberapa selebriti keturunan China turut menghadirinya seperti pelakon Jackie Chan, pereka pakaian, Vera Wang dan bintang sukan AS, Michelle Kwan. - Agensi |
India tak bayar kontraktor Sukan Komanwel Posted: India tak bayar kontraktor Sukan KomanwelNEW DELHI - Penganjur Sukan Komanwel di India tidak membayar bil jutaan dolar kepada kontraktor asing dan badan-badan sukan, kata pemilik perniagaan dan diplomat semalam. Beberapa kakitangan pengurusan beberapa buah syarikat menyatakan mereka tidak dapat menghubungi pegawai-pegawai kerana e-mel dan nombor telefon mereka telah dibatalkan. Firma-firma di Australia, Britain, Perancis dan Jerman merupakan di antara yang mengalami masalah hutang tidak dibayar selepas melakukan kerja-kerja pembinaan untuk menjayakan Sukan Komanwel tahun lalu, kata beberapa pegawai di sini. Satu tuntutan undang-undang dijangka berlaku kerana syarikat-syarikat asing mahu mendapatkan wang tersebut. "Terdapat sehingga 15 buah syarikat yang terlibat dalam majlis pembukaan dan lebih banyak syarikat lagi terlibat dalam penganjuran sukan itu," kata Ric Birch yang merupakan seorang pengarah dari Australia yang terlibat dengan majlis pembukaan dan penutupan Sukan Komanwel. - AFP |
Bursa Saham Dhaka cipta kejatuhan terpantas Posted: Bursa Saham Dhaka cipta kejatuhan terpantasBEBERAPA anggota polis menyuraikan penunjuk perasaan di depan bangunan Bursa Saham Dhaka di Bangladesh semalam. DHAKA – Pihak berkuasa perdagangan saham di Bangladesh menghentikan dagangan di Bursa Saham Dhaka semalam selepas indeksnya jatuh 8.6 peratus dalam tempoh enam minit. Penurunan itu merupakan yang terpantas dalam sejarah bursa tersebut. Indeks bursa itu jatuh kepada 6,313.62 mata selepas dagangan bermula di Bursa Saham Dhaka pada pukul 1 petang waktu tempatan. Ia merupakan penangguhan kali keempat dalam tempoh 10 hari. Ekoran penangguhan itu, sejumlah pelabur kecil mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan bursa saham tersebut. Pihak polis terpaksa bertindak dengan menyuraikan para penunjuk perasaan itu. "Para penunjuk perasaan berkumpul di depan pejabat bursa saham itu tetapi kami berusaha untuk menyuraikan mereka," kata seorang pegawai polis, Abdul Momin. Kelmarin, dagangan turut dihentikan apabila indeks jatuh 225 mata atau 3.2 peratus sekali gus mencetuskan pertempuran di antara polis dan ribuan penunjuk perasaan. Kebanyakan pelabur kecil membuat pinjaman untuk membeli saham di bursa tersebut. – AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan