Rabu, 26 Januari 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tauke judi ‘berperang’

Posted: 25 Jan 2011 10:46 AM PST

HONG KONG: Taikun berusia 89 tahun yang uzur dan mengubah Macau daripada pekan kecil kepada pusat judi Asia, Stanley Ho dilaporkan menuduh anggota keluarganya sendiri mencuri harta kekayaannya.

Tuduhan itu dibuat melalui peguam Ho sehari selepas pasaran saham Hong Kong menyatakan beliau bersetuju untuk membahagi-bahagikan sahamnya dalam SJM Holdings antara anggota keluarga yang terdiri daripada 17 anak daripada empat isteri.


Ho yang dulunya cukup terkenal dengan gaya kehidupan playboy dan gemar menghadiri majlis tari-menari dimasukkan ke hospital pada pertengahan 2009 atas sebab tidak dapat dipastikan. Laporan mengatakan beliau jatuh di kediamannya dan mengalami kecederaan otak.

Sejak itu beliau jarang dilihat muncul di khalayak ramai hingga menimbulkan soalan mengenai masa depan SJM dan perniagaan lain yang melibatkan harta kekayaan bernilai AS$3.1 bilion (RM10 bilion) yang satu masa pernah mencetuskan permusuhan antara Ho dan adik perempuannya Winnie.


Akhbar The South China Morning Post dan The Wall Street Journal semalam memetik peguamnya berkata, Ho 'amat marah' mengenai pembahagian itu dan menuduh anggota keluarganya merampas saham empayar kasinonya.


"Stanley Ho berpendapat keadaan itu dimanipulasi anggota keluarganya dan kami diarahkan melindungi kepentingannya dan mendakwa mereka yang terbabit dengan hal itu," kata rakan kongsi syarikat guaman Oldham, Li & Nie, Gordon Oldham.

"Menyatakan beliau amat marah terhadap insiden ini adalah kurang tepat." Bagaimanapun, syarikat pegangan yang dikuasai anak-anak Ho menafikan bahawa pemindahan saham telah dilakukan tanpa kebenaran taikun itu. - AFP

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Facebook, Twitter atasi Myspace

Posted: 25 Jan 2011 10:44 AM PST

CANNES: Laman sesawang sosial Facebook dan Twitter mengatasi Myspace sebagai ruang baru paling popular untuk peminat berhubung dengan artis kegemaran mereka, kata sumber dalam industri berkenaan.

Laman itu turut menjadi medium terbaru untuk mereka menghebahkan konsert yang akan berlangsung dan menarik perhatian peminat muda supaya menggemari muzik mereka. Peminat berusia 16 hingga 24 tahun lebih gemar untuk membuat salinan cakera padat (CD) tanpa melakukan pembayaran, manakala peminat berusia 12 hingga 15 tahun pula adalah generasi digital hari ini dan esok, kata Timbalan Presiden Kaji Selidik Forrester iaitu kumpulan kaji selidik pasaran yang berpengaruh, Mark Mulligan kepada majlis tahunan industri muzik MIDEM di Cannes, semalam.


Walaupun hanya 15 peratus kumpulan orang muda ini memuat turun muzik melalui rakan dan 12 peratus lagi membeli album, tetapi 56 peratus mendengar muzik di telefon bimbit dan 53 peratus pula menonton video muzik di Internet.

"Mereka berusia 12 hingga 15 tahun yang mewakili pengguna masa depan dan membesar dengan Internet mahukan pengalaman muzik yang hebat di mana mereka boleh melihat, mendengar dan berkongsi," kata Mulligan dalam persidangan itu. Kebanyakan pemuzik sudah berubah kepada medium ini dan menggunakan pelbagai pendekatan kreatif untuk berhubung dengan peminat bagi meningkatkan populariti dan jualan muzik mereka. - AFP

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan