Jumaat, 5 Julai 2013

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Pakistan haram filem kisah cinta pasangan Hindu-Islam

Posted: 05 Jul 2013 09:20 AM PDT

ISLAMABAD 6 Julai - Kerajaan Pakistan mengharamkan penayangan sebuah filem India yang mengisahkan percintaan pasangan Muslim-Hindu yang dibimbangi akan menyinggung perasaan penonton di negara ini.

Filem Raanjhanaa mula ditayangkan pada bulan lalu, namun Lembaga Penapisan Filem Pakistan enggan meluluskan tayangan filem berkenaan di pawagam negara ini.

"Cerita dalam filem terbabit mungkin akan menyinggung majoriti penduduk Islam di Pakistan dan boleh mencetuskan kekecohan," kata pengarah lembaga berkenaan, Arshad Ali semalam.

Menurut laporan media, filem itu mengisahkan percintaan antara seorang lelaki beragama Hindu dengan seorang wanita beragama Islam. - AFP

Semua pihak dirayu berdamai

Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT

SEORANG penyokong Mohammed Mursi menunjukkan sokongannya kepada bekas Presiden Mesir itu di hadapan anggota tentera yang berkawal di Universiti Kaherah, Giza, kelmarin. - REUTERS

KAHERAH 5 Julai - Tentera Mesir, hari ini merayu kepada semua pihak supaya berdamai dan memberi amaran akan bertindak terhadap sebarang serangan balas, selepas Presiden Mohammed Mursi digulingkan tentera, kelmarin.

Polis Mesir dalam pada itu melancarkan operasi menahan pemimpin-pemimpin kanan Ikhwan Muslimin menjelang perhimpunan yang dijadual diadakan hari ini oleh penyokong Mursi.

Tentera dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook turut menyatakan, ramai yang cedera dalam pertempuran antara penyokong Mursi dan kumpulan penentang di Delta Nil menjelang perhimpunan, hari ini.

Pertempuran di Sharqiya itu berlaku beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Perlembagaan Agung Mesir, Adly Mansour, 67, mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden sementara negara ini sehinggalah pilihan raya baharu diadakan.

Dalam satu insiden serangan balas pula, seorang tentera Mesir terbunuh selepas kumpulan bersenjata menyerang pos tentera dan polis di Sinai awal hari ini dengan senjata berat dan roket.

Dalam pada itu, agensi berita MENA melaporkan, helikopter tentera dihantar untuk memburu kumpulan bersenjata itu yang turut menyerang sebuah lapangan terbang di utara Sinai.

Beberapa kumpulan bersenjata di semenanjung Sinai mengeluarkan ancaman serangan balas selepas tentera menggulingkan Mursi.

Tentera dalam pada itu berkata, mereka menyokong hak mengadakan demonstrasi secara aman, tetapi memberi amaran bahawa keganasan dan tindakan melanggar undang-undang seperti menyekat jalan raya akan 'merosakkan keamanan sosial'.

Menurut kenyataan tentera, tindakan luar biasa dan autokratik ke atas kumpulan politik perlu dielak, meskipun pasukan keselamatan sedang melakukan operasi penahanan pegawai-pegawai kanan Ikhwan Muslimin.

Polis menahan pemimpin agung Ikhwan Muslimin, Mohammed Badie kerana dituduh 'menghasut pembunuhan penunjuk perasaan'.

Pergerakan Ikhwan Muslimin dijadual mengadakan perhimpunan aman, hari ini bagi menentang tindakan tentera merampas kuasa.

Sementara itu, tentera Mesir hari ini mengisytiharkan darurat di wilayah Sinai Selatan dan Suez selepas kumpulan bersenjata menyerang sebuah lapangan terbang di bandar El-Arish, lapor akhbar milik kerajaan, al-Ahram.

Laporan itu memetik kenyataan Komander Third Field Army, Osama Asakar sebagai berkata, 'keadaan bersedia' di kedua-dua wilayah itu meningkat ke tahap tertinggi ekoran serangan tersebut.

Kesatuan Afrika (AU) dalam pada itu mengumumkan mengantung Mesir daripada semua aktiviti dengan pertubuhan itu selepas rampasan kuasa tersebut.

"AU dan majlis Keselamatan memutuskan untuk menggantung kenaggotaan Mesir dalam aktiviti AU sehinggalah Perlembagaan di negara itu dikuatkuasakan," kata Setiausaha Majlis Keamanan dan Keselamatan AU, Admore Kambudzi. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan