Kosmo Online - Dunia |
Posted: Filipina bidas China
BANDAR SERI BEGAWAN, Brunei - Filipina menuduh China meningkatkan kekuatan tentera di kawasan tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Kenyataan berbaur amaran itu diutarakan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Campur Tiga ke-14 di sini semalam. Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Luar China, Jepun dan Korea Selatan. Komen oleh Setiausaha Luar Filipina, Albert Del Rosario itu mengesahkan bahawa pertelingkahan berhubung tuntutan bertindih di zon yang kaya dengan hasil minyak berkenaan sekali lagi menjadi fokus utama rundingan Asia-Pasifik selama empat hari tersebut. "Del Rosario hari ini melahirkan kebimbangan berhubung kekuatan tentera China yang semakin meningkat di Laut China Selatan," menurut satu kenyataan kerajaan Filipina pada hari pertama forum itu. Del Rosario berkata, terdapat kehadiran besar-besaran tentera dan kapal China di dua kepulauan kecil dalam zon yang dituntut oleh Filipina iaitu di perairan Scarborough Shoal dan Terumbu Thomas Kedua. Del Rosario menyifatkan kehadiran tentera China di zon berkenaan sebagai 'ancaman kepada usaha-usaha untuk mengekalkan keamanan maritim dan kestabilan di rantau ini'. Beliau tidak memberikan butiran lanjut berhubung kekuatan tentera China di zon tersebut tetapi menegaskan, tindakan Beijing itu melanggar perjanjian pada 2002. Perjanjian tersebut menyatakan, pihak yang membuat tuntutan bertindih di Laut China Selatan termasuk Kepulauan Spratly berjanji untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serantau. Persetujuan bersama mengenai tatalaku yang ditandatangani oleh 10 anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan China. Semua pihak turut komited dalam mencari penyelesaian berhubung konflik di Laut China Selatan itu tanpa penggunaan ancaman ataupun kekerasan. China menuntut hampir semua kawasan di Laut China Selatan termasuk zon yang menghampiri perairan negara-negara ASEAN. Anggota-anggota ASEAN termasuk Filipina, Vietnam, Brunei dan Malaysia serta Taiwan turut mengemukakan tuntutan masing-masing di zon berkenaan. - AFP | |
Posted: Obama lawat keluarga MandelaOBAMA melambai tangan dengan diiringi Wanita Pertama AS, Michelle Obama semasa tiba di Cape Town, Afrika Selatan semalam. PRETORIA - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama melawat keluarga ikon antiaparteid, Nelson Mandela kelmarin. Kunjungan tersebut dibuat ketika dunia menunggu perkembangan kesihatan pemimpin berusia 94 tahun itu yang sedang tenat di sebuah hospital di sini. Mandela dilaporkan terpaksa menggunakan mesin sokongan hayat untuk bernafas. Semasa berucap di Bangunan Grand Union di mana Mandela mengangkat sumpah sebagai presiden kulit hitam pertama negara itu, Obama memuji beliau sebagai seorang yang berani dan bermoral tinggi. Presiden AS itu turut menggesa para pemimpin benua Afrika termasuk jiran Afrika Selatan, Zimbabwe supaya mencontohi kewibawaan Mandela yang mengutamakan negara berbanding kepentingan peribadi. "Kita sebagai pemimpin memegang kuasa buat sementara dan kita jangan terpedaya untuk percaya bahawa nasib negara kita bergantung kepada berapa lamakah kita memerintah," kata Obama pada satu sidang akhbar bersama Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma. Obama berkunjung ke Afrika Selatan sebagai rangka lawatan selama seminggu ke benua Afrika. Dalam pada itu, keluarga Mandela bertelingkah berhubung lokasi pengebumiannya selepas beliau meninggal dunia. Menurut media Afrika Selatan, pergaduhan keluarga tersebut kini dibawa ke mahkamah. Anak perempuan sulung Mandela, Makaziwe dan 15 anggota keluarga yang lain mendapatkan perintah mahkamah supaya cucu Mandela mengembalikan mayat tiga anak bekas presiden tersebut ke kubur asal mereka di kampung Qunu, timur Afrika Selatan. Cucunya, Mandla Mandela mengakui mengebumikan semula ketiga-tiga mayat tersebut di kampung Mvezo, sekitar 20 kilometer dari Qunu. Dia merancang untuk mendirikan makam Mandela, sebuah hotel dan sebuah stadium bola sepak di lokasi tersebut. - Agensi | |
Robot bercakap akan dihantar ke ISS Posted: Robot bercakap akan dihantar ke ISSDUA robot Kirobo masing-masing dipegang oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Robo Garage Co.,Tomotaka Takahashi (kiri), dan Pengurus Projek Toyota Motor Corp., Fuminori Kataoka semasa pelancarannya di Tokyo kelmarin. TOKYO - Jepun dijangka menghantar sebuah robot angkasawan yang boleh bercakap ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk melakukan perbualan pertama melibatkan manusia dan robot di angkasa lepas. Robot tersebut, Kirobo dijadual berlepas ke ISS dari Pusat Angkasa Tanegashima, dalam Wilayah Kagoshima, barat daya Jepun. Robot kecil itu akan berlepas dengan menaiki kapal angkasa kargo, Kounotori 4 ke ISS pada 4 Ogos depan. Kirobo merupakan gabungan antara dua perkataan Jepun yang bermaksud robot harapan. Robot setinggi 34 sentimeter dengan berat sekitar satu kilogram itu jauh lebih kecil berbanding kebanyakan robot yang pernah dihantar ke angkasa lepas. Kirobo dibangunkan dengan kerjasama antara Universiti Tokyo, Toyota dan Dentsu Inc. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan