Isnin, 1 Julai 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Mesir makin tegang

Posted: 01 Jul 2013 02:31 PM PDT

Kaherah: Mesir terus tegang semalam selepas jutaan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya menuntut Presiden Mohamed Mursi meletak jawatan dan militan bertindak membakar ibu pejabat Ikhwanul Muslimin.

Lima maut ketika penunjuk perasaan memenuhi jalan raya seluruh Mesir mendesak Mursi berundur, dalam bantahan yang menyamai kebangkitan rakyat pada 2011.

Generasi muda bersatu dengan parti liberal dan pembangkang berhaluan kiri dalam tentangan hebat pada ulang tahun pertama Morsi sebagai presiden kelmarin, melaungkan rakyat menuntut kejatuhan rejim. Demonstrasi, yang mengumpulkan setengah juta rakyat di Dataran Tahrir di Kaherah dan jumlah sama di Iskandariah, adalah terbesar sejak kebangkitan rakyat yang menumbangkan pemerintahan Hosni Mubarak pada 2011.

Mursi beri penjelasan

Mursi, pemimpin yang dipilih secara bebas pertama di negara paling ramai penduduk itu, tidak kelihatan tetapi menjelaskan menerusi jurucakap yang beliau ada melakukan kesilapan sambil menambah sedang berusaha memperbaikinya dan terbuka untuk mengadakan dialog. Beliau juga tidak menunjukkan tanda meletak jawatan.

Bantahan besar-besaran itu menunjukkan Ikhwanul Muslimin bukan saja meminggirkan puak liberal dan sekular dengan berusaha menegakkan pemerintahan Islam tetapi juga menaikkan kemarahan jutaan penduduk biasa Mesir dengan salah urus ekonomi.
Pelancongan dan pelaburan merudum, inflasi semakin menjadi-jadi, bekalan minyak berkurangan manakala pemotongan bekalan elektrik dipanjangkan pada musim panas.
Puluhan militan menyerang ibu pejabat Ikhwanul Muslimin di Kaherah dengan senapang patah, bom petrol dan batu, membakarnya.

Tiada polis atau bomba memberi perlindungan kepada ibu pejabat parti itu, manakala saksi berkata, pengawal di bangunan menembak penyerang. Dua maut dan 11 cedera dalam pertempuran itu, kata sumber hospital.

Penganjur bantahan menggesa rakyat terus menawan dataran di seluruh negara dalam kempen aman bantahan secara aman sehingga Mursi berundur.

Berpuluh ribu penunjuk perasaan berada di Dataran Tahrir selepas tengah malam, meneruskan bantahan

Tentera menonjolkan sikap berkecuali menunjukkan isyarat muhibah kepada penunjuk perasaan selepas menggesa ahli politik bekerjasama menyelesaikan masalah negara.

Beberapa polis berarak dalam kalangan penunjuk perasaan di Kaherah dan Iskandariah, melaungkan polis dan rakyat adalah satu dan beberapa pegawai kanan memberi ucapan.
REUTERS

Rudd pilih 6 wanita

Posted: 01 Jul 2013 02:29 PM PDT

Canberra: Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd, memilih enam wanita dalam Kabinet, bilangan paling ramai dalam sejarah politik negara itu ketika beliau menjadikan ekonomi sebagai fokus utama menjelang pilihan raya tidak lama lagi.

Parti Buruh kini mendapat nafas baru selepas Rudd menggantikan Julia Gillard apabila tinjauan menunjukkan sokongan meningkat kepada mereka.

Saya gembira kerana Kabinet kita mengandungi bilangan wanita paling ramai dalam sejarah Australia, kata Rudd.

Senator Victoria, Jacinta Collins dilantik Menteri Kesihatan Mental, Catherine King menjadi Menteri Wilayah dan Julie Collins memegang portfolio perumahan, wanita dan gelandangan.

Mereka menyertai Menteri Kewangan, Penny Wong, Menteri Kesihatan, Tanya Plibersek dan Menteri Keluarga, Jenny Macklin dalam Kabinet 20 anggota.

Ahli perundangan Australia Barat, Melissa Parke dilantik sebagai Menteri Pertama bagi Pembangunan Antarabangsa, jawatan bukan Kabinet.

Rudd berkata, pelantikan itu adalah berdasarkan kelayakan pemegangnya dan bukan disebabkan jantina mereka.
Tugas utama kerajaan baru ialah memastikan ekonomi terus kuat, katanya.

Lantik Muslim pertama pegang jawatan

Turut mencipta sejarah ialah pelantikan Edham Nurredin Husic sebagai Setiausaha Parlimen, Muslim pertama memegang jawatan kanan kerajaan.

Penyokong kuat Rudd, Husic menggantikan Andrew Leigh yang menyokong Gillard.

Tinjauan pendapat menunjukkan Parti Buruh merapati sokongan pembangkang selepas menerima 49 peratus sokongan manakala lawan mereka, 51 peratus, lapor Galaxy.

Selain itu, menurut tinjauan membabitkan 1,002 orang pengundi itu, 51 peratus daripada mereka percaya Rudd lebih baik sebagai Perdana Menteri berbanding Tony Abbott (34 peratus).

Lima belas peratus responden lagi belum membuat pilihan.

AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan