Selasa, 2 Julai 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


47 tahun simpan tulang

Posted: 01 Jul 2013 09:33 AM PDT

Houston: Seorang doktor Amerika Syarikat yang menyimpan tulang tangan pesakit yang dipotong untuk dijadikan kenang-kenangan perang, mengembalikannya kepada lelaki terbabit 47 tahun kemudian.

Dr Sam Axelrad membawa pulang tulang tangan lelaki Vietnam itu pada 1966 selepas rakannya merebus anggota badan itu untuk menanggalkan semua daging dan otot yang ada padanya.


Tulang itu kemudian disusun semula seperti sepatutnya sebelum diserahkan kepada Axelrad sebagai cenderahati. Semalam melaporkan, Axelrad mengunjungi Vietnam sekali lagi untuk bertemu dengan lelaki pemilik tangan berkenaan, Nguyen Quang Hung, 73, yang pernah berkhidmat sebagai tentera Vietnam Utara.

Axelrad berkata, pada 2011 dia menemui tulang berkenaan dalam beg tentera di rumahnya yang dibiarkan selama beberapa dekad. Katanya, dia membawa pulang tulang tangan sebagai kenang-kenangan.


"Tetapi saya tidak melihatnya bertahun-tahun kerana ia boleh mengingatkan saya kepada pengalaman zaman perang," katanya. Selepas terjumpa tulang berkenaan, kata Axelrad dia berusaha mengesan lelaki terbabit dan cuba memulangkannya.


Sementara itu, Quang Hung berkata, dia pelik kerana ada doktor yang mahu menyimpan tulang manusia sebagai cenderahati.

Foto

AXELRAD (kiri) menunjukkan tulang tangan kanan Quang Hung.

Bagaimanapun, dia gembira kerana mendapat semula bahagian anggota badannya yang dipotong.


"Tangan saya terpaksa dipotong kerana dijangkiti kuman selepas terkena tembakan tentera AS," katanya. Axelrad bertemu Quang Hung di bandar An Khe, dekat Qui Nhon semalam. Quang Hung ditembak pada Oktober 1966 dalam serang hendap kira-kira 74 kilometer dari An Khe di tengah Vietnam.

Selepas terapung-apung mengikut aliran sungai, dia berlindung di kawasan gudang padi selama tiga hari sebelum dibawa helikopter tentera AS untuk mendapatkan rawatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Akrobat maut terjatuh dalam persembahan

Posted: 01 Jul 2013 09:24 AM PDT

Carson City (Nevada): Seorang akrobat berpengalaman dan ibu kepada dua anak terbunuh selepas terjatuh dari ketinggian 15 meter ketika mengadakan persembahan di Las Vegas semalam.

Sarah Guyard-Guillot, 31, terhempas ke kawasan lapang di tepi pentas selepas wayar keselamatannya dipercayai terlucut. Wanita berasal dari Perancis itu sedang dinaikkan sebagai persediaan melakukan babak terakhir di MGM Grand apabila kemalangan berlaku. Saksi, Dan Mosqueda berkata, dia terdengar jeritan dan bunyi mengerang sebelum seorang lagi anggota kumpulan berkenaan menangis di atas pentas. Mosqueda berkata, pada awalnya penonton menyangka aksi itu memang disengajakan sebagai sebahagian daripada persembahan akrobatik. "Namun, kami mendengar jeritan, kemudian suara mengerang kesakitan dan ada orang menangis di atas pentas," katanya. Pertunjukan dihentikan serta-merta sejurus kemudian. Penganjur juga menawarkan untuk memulangkan harga tiket yang dibeli penonton sebelum meminta orang ramai beredar. Sarah dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Tiada ulasan:

Catat Ulasan