Selasa, 2 Julai 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Thai jumpa pemisah bukan BRN

Posted: 02 Jul 2013 01:40 PM PDT

Bangkok perluas rundingan cari keamanan di selatan

Bangkok: Majlis Keselamatan Negara (NSC) mengadakan rundingan rahsia dengan kumpulan pemisah selain Barisan Revolusi Nasional (BRN) dalam usaha menamatkan keganasan di selatan Thailand, kata penasihat NSC, Charoon Ampa.

Meletakkan tanggungjawab ke atas pemisah lain yang berbeza cara pemikiran dan menggunakan keganasan sebagai cara mencapai matlamat, Charoon berkata, NSC sedia berunding dengan lebih banyak kumpulan kerana tidak semuanya bersetuju dengan BRN.

NSC turut mendapatkan pandangan agensi lain dalam kerajaan mengenai tujuh tuntutan utama BRN bagi membolehkan mereka memberi maklum balas sebaik Ramadan berakhir, katanya.

Beliau menambah, mustahil mengundurkan tentera dari wilayah itu kerana mereka ada di bumi Thailand.

Pun begitu, tentera menimbang menyerahkan kawasan 'selamat' kepada agensi tempatan supaya anggota tentera boleh kembali ke kem.

Lapan terkorban
Ketua NSC, Paradorn Pattanathabutr, berkata letupan Sabtu lalu di daerah Krong Pinang di Yala yang mengorbankan lapan askar dilakukan kumpulan serpihan yang tidak menyokong rundingan damai dengan BRN.

Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Yutthasak Sasiprapha, berkata kerajaan akan membuat keputusan mengenai rundingan BRN sebaik Ramadan berakhir tetapi buat masa kini ia akan terus menggunakannya sebagai saluran untuk cuba mencapai keamanan.

Yutthasak berkata, tiga kumpulan beroperasi di wilayah itu; satu menyokong rundingan damai; kumpulan lain dengan kekuatan 2,000 anggota menentang usaha itu manakala satu lagi memantau keadaan. - AGENSI

Sri Lanka haram TIME

Posted: 02 Jul 2013 01:38 PM PDT

Colombo: Sri Lanka turut mengharamkan majalah Time isu 1 Julai kerana cerita muka depan mengenai sami militan yang disifatkan boleh menjejaskan sentimen agama di pulau itu.

Jurucakap jabatan kastam, Leslie Gamini berkata, isu yang memaparkan gambar foto sami Myanmar terkemuka dengan tajuk 'The Face of Buddhist Terror' akan diharamkan.

"Dengan pelaksanaan undang-undang majalah ini akan dirampas," kata Gamini.

"Kami tidak benarkan isu ini diedarkan di Sri Lanka kerana ia boleh menjejaskan sentimen agama penduduk."

Hubungan tegang

Sri Lanka dengan majoriti penduduk Buddha dilihat mempunyai hubungan tegang dengan masyarakat Islam dan minoriti lain yang semakin meningkat.

Ia adalah negara kedua mengharamkan edisi berkenaan selepas Myanmar. Versi online majalah itu masih didapati di Sri Lanka.
Ejen pengedaran tempatan, Emit International berkata, lebih 1,000 naskhah isu terbabit ditahan oleh kastam tetapi isu 8 Julai dilepaskan tanpa sebarang masalah.

"Kami diminta dapatkan kebenaran dari kementerian media tetapi sehingga kini tidak menerimanya," kata seorang pengurus di Emit.

"Sudah terlambat untuk edarkan isu ini (1 Julai) kepada pelanggan kami."

Ketegangan agama tercetus di Sri Lanka tahun ini selepas kumpulan Buddha radikal menolak sijil makanan halal yang dipantau oleh penduduk Islam.

Beberapa masjid dan perniagaan milik penduduk Islam juga menjadi sasaran kumpulan radik al yang kadang kala diketuai sami. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan