Rabu, 20 Mac 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Penggodam dihukum penjara

Posted: 19 Mar 2013 08:43 AM PDT

New York: Seorang lelaki dihukum penjara tiga tahun lima bulan kerana menggodam dan mencuri data peribadi 120,000 pengguna iPad Apple Inc.

Antara mangsa termasuk beberapa datuk bandar, seorang penyampai berita televisyen dan tokoh Hollywood.

Andrew Auernheimer, 27, disabit kesalahan pada November lalu oleh juri di Newark, New Jersey membabitkan tuduhan konspirasi mengakses pelayan AT&T Inc tanpa kebenaran, dan satu tuduhan mencuri identiti.

Hukuman yang diputuskan hakim Susan Wigenton hampir dengan tuntutan pendakwa Jabatan Kehakiman supaya dia dipenjara selama 33 hingga 41 bulan.

Pendakwa berkata, hukuman penjara akan membantu menghalang penggodam menceroboh hak peribadi orang ramai di internet.

Antara mereka yang menjadi mangsa aktiviti Auernheimer itu termasuk penyampai berita ABC News, Diane Sawyer; Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg; Datuk Bandar Chicago, Rahm Emanuel dan penerbit filem Hollywood, Harvey Weinstein, kata pendakwa.

"Apabila sedar kesalahannya, Auernheimer mereka cerita bahawa dia cuba untuk menjadikan internet lebih selamat dan apa yang dilakukannya umpama memasuki pintu yang tidak berkunci," kata pendakwa raya, Paul Fishman dalam satu kenyataan.
"Juri tidak termakan dengan semua itu dan begitu juga hakim ketika menjatuhkan hukuman."

Auernheimer juga cuba mendapatkan keizinan mahkamah supaya dibebaskan dengan syarat tertentu.

Peguamnya berkata, tiada kata laluan yang digodam dan tempoh penjara lama tidak wajar kerana kerajaan baru-baru ini mendesak hukuman penjara enam bulan bagi seorang defendan dalam satu kes yang lebih serius.

Peguam bela, Tor Ekeland berkata anak guamnya itu akan membuat rayuan. Katanya, Akta Penyalahgunaan dan Pemalsuan Komputer tidak memberikan definisi jelas apakah maksud mengakses secara tidak sah. - REUTERS

Putera palsu dipenjara 14 tahun

Posted: 19 Mar 2013 08:42 AM PDT

Brisbane: Seorang lelaki kaki perempuan dan mendakwa dirinya putera Tahiti dipenjarakan 14 tahun semalam kerana mencuri AUS$16 juta (RM51.8 juta) daripada Jabatan Kesihatan Australia.

Hohepa Morehu-Barlow, juga dikenali sebagai Joel Barlow, kelahiran New Zealand, mengaku bersalah terhadap lapan kesalahan termasuk menipu sebagai pekerja dan pemalsuan di Mahkamah Daerah Brisbane.

Ketika menjatuhkan hukuman, hakim Kerry O'Brien, berkata Morehu-Barlow memindahkan dana daripada geran yang dikendalikan untuk membiayai gaya hidup mewahnya.

"Saya tidak boleh pandang ringan jumlah wang terbabit. Ia adalah wang rakyat," lapor akhbar The Australian memetik O'Brien sebagai berkata.

Tuduhan ke atas lelaki berusia 37 tahun itu berkaitan dengan menipu kerajaan negeri ketika bekerja sebagai pengurus pertengahan bagi Kesihatan Queensland antara 2007 dan 2011.

"Dana dipindahkan oleh Morehu-Barlow adalah wang awam bertujuan membantu badan kebajikan dan kumpulan komuniti lain.

"Wang berkenaan digunakan untuk menampung gaya hidup mewahnya yang kononnya putera Tahiti yang terpaksa bekerja untuk mendapatkan pusaka diraja," kata pendakwa, Todd Fuller, kepada mahkamah seperti dilaporkan Brisbane Courier-Mail. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan