Selasa, 29 Januari 2013

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Keganasan terus melanda Mesir

Posted:

Keganasan terus melanda Mesir

Keganasan terus melanda Mesir

BEBERAPA penunjuk perasaan membaling batu ke arah anggota polis dekat Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Seorang lelaki mati ditembak semalam dalam keganasan yang memasuki hari kelima di Mesir menjadikan 50 orang terbunuh setakat ini.

Lelaki itu yang merupakan seorang pejalan kaki mati akibat terkena tembakan di sini.

Bagaimanapun, masih tidak diketahui siapa yang menembaknya semasa tunjuk perasaan ganas berlaku bagi menentang pemerintahan Presiden Mohamed Morsi.

Ketika kejadian, polis melepaskan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan yang membaling batu ke arah anggota-anggota pasukan keselamatan itu dekat Dataran Tahrir.

"Kami mahu menumbangkan rejim (Morsi) dan menamatkan pemerintahan yang dikendalikan pergerakan Ikhwanul Muslimin," kata seorang tukang masak, Ibrahim Eissa yang berusia 26 tahun.

Dia memakai topeng yang mengelak terhidu gas pemedih mata.

Sejak memenangi jawatan Presiden pada pertengahan tahun lalu, Morsi diselubungi pelbagai krisis dan tunjuk perasaan ganas.

Tunjuk perasaan yang kerap berlaku itu menyebabkan dia sukar untuk menjalankan tugasnya bagi meningkatkan ekonomi negaranya.

Ia turut berlaku di beberapa buah bandar mengakibatkan Morsi terpaksa mengisytiharkan darurat di tiga buah bandar iaitu Port Said, Ismilia dan Suez.

Pihak tentera mengawal dua daripada bandar tersebut manakala Kabinet meluluskan kuasa kepada askar-askar untuk menangkap orang awam yang melakukan keganasan.

Morsi bersimpati dengan mangsa-mangsa rusuhan dan meminta dialog diadakan antara sekutu-sekutu Islamnya dan beberapa parti pembangkang.

Namun, perikatan Barisan Penyelamat kebangsaan menolak tawaran berdialog dengan menetapkan syarat seperti pembentukan sebuah kerajaan perpaduan.

Perikatan tersebut juga menuntut supaya Morsi bertanggungjawab berhubung pertumpahan darah yang berlaku di negara ini.

Keganasan itu bermula pada 25 Januari lalu semasa penduduk menyambut ulang tahun kedua kebangkitan rakyat yang menyebabkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden.

Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari 2011. - Agensi

Iran hantar monyet ke angkasa lepas

Posted:

Iran hantar monyet ke angkasa lepas

Iran hantar monyet ke angkasa lepas


IMej yang disiarkan saluran televisyen Al-Alam semalam menunjukkan roket yang membawa kapsul mengandungi monyet ke angkasa lepas dari sebuah lokasi rahsia di Iran.


TEHERAN - Iran semalam menghantar sebuah kapsul yang mengandungi monyet hidup ke angkasa lepas, lapor saluran televisyen berbahasa Arab, Al-Alam semalam.

Sebelum ini, beberapa percubaan republik Islam tersebut untuk menghantar monyet ke angkasa lepas menemui kegagalan.

"Iran berjaya melancarkan sebuah kapsul dengan kod nama Pishgam yang mengandungi seekor monyet," kata satu kenyataan daripada sebuah jabatan angkasa aeroangkasa di Kementerian Pertahanan.

Monyet itu dilaporkan kembali ke Bumi dengan selamat.

Laporan tersebut tidak menyatakan lokasi kapsul berkenaan dilancarkan.

Agensi berita Fars melaporkan bahawa monyet itu dihantar dengan kapsul yang dibawa roket Kavoshgar.

Roket berkenaan bergerak pada ketinggian lebih 120 kilometer.

Pada tahun 2011, Iran mengumumkan ia akan menghantar monyet ke angkasa lepas.

Negara-negara Barat bimbang teknologi balistik yang dimiliki Iran akan menyebabkan ia mampu melancarkan kepala peledak nuklear.

Bagaimanapun, Iran menafikan dakwaan itu dengan menyatakan ia digunakan untuk tujuan keamanan.

- Reuters

Argo menang lagifilem terbaik

Posted:

Argo menang lagifilem terbaik

Argo menang lagifilem terbaik


SALAH satu adegan yang terdapat dalam filem Argo.


LOS ANGELES - Filem yang memaparkan kisah tebusan Iran berjudul Argo mengukuhkan peluangnya untuk memenangi Oscar apabila ia memenangi hadiah utama pada Anugerah Persatuan Pelakon Skrin kelmarin.

Ia dinobatkan sebagai filem terbaik pada anugerah tersebut.

Sebelum ini, Argo menerima Anugerah Layar Terbaik daripada Persatuan Penerbit Amerika.

Filem arahan Ben Affleck itu mengisahkan tentang misi seorang ejen Agensi Perisikan Pusat bagi menyelamatkan tebusan Amerika Syarikat semasa revolusi Islam berlaku di Iran.

Affleck turut membawa watak sebagai ejen perisik dalam filem berkenaan.

Berdurasi 120 minit, Argo berjaya mengalahkan beberapa saingannya iaitu filem Beasts of Southern Wild, Django Unchained, Les Miserables, Life of Pi, Silver Linings Playbook dan filem Zero Dark Thirty.

Anugerah Oscar akan diadakan pada bulan depan.

Filem arahan Steven Spielberg, Lincoln turut menggondol dua anugerah apabila Daniel Day Lewis terpilih sebagai pelakon lelaki terbaik manakala Tommy Lee Jones pula memenangi anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik.

Pelakon wanita terbaik pula dimenangi oleh Jennifer Lawrence menerusi filem Silver Linings Playbook dan anugerah pelakon pembantu wanita terbaik pula dimenangi oleh Anne Hathaway menerusi filem Les Miserables. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan